Latest News

Sunday 30 November 2014

Laporan RCI: ISU PATI


ISU Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI); kata orang jangan salahkan IBU MENGANDUNG. 

Memuaskan semua orang tidak mungkin berlaku akan tetapi memuaskan majoriti boleh berlaku.

Masalah PATI di Sabah, sudah berdekad lamanya malah bermula sebelum Sabah merdeka lagi. Lokasi Sabah yang diapit dengan negara bergolak dan negara kurang maju, menjadi pemangkin kepada perpindahan manusia.

Pergolakan di Filipina yang berdekad lamanya serta lambatnya pembangunan di kawasan Utara Indonesia juga menyumbang kepada pergerakan manusia.

Manusia, ibarat semut di mana ada gula di situlah ada berkumpul.

Bagi PATI yang tidak berdokumen, menjadi masalah bagi kerajaan kerana kerajaan terpaksa berbelanja besar.

Kerajaan terpaksa membina depo-depo untuk tempat penahanan sementara. Penjara juga menjadi sesak. Makan minum terpaksa diberi semasa dalam tahanan kerana tuntutan kemanusian. Sedangkan kucing liarpun yang datang bertandang ke rumah, sanggup kita beri makanan, apatah lagi manusia.

Laporan RCI bukan mencari siapa pelakunya  akan tetapi mencari penyebab berlakunya PATI lalu kemudian mencari jalan penyelesaian bagi mencegah di masa akan datang agar ianya jangan berlaku lagi.

Mengawal seorang manusia adalah lebih sukar daripada mengawal seribu ekor kerbau.

Jika RCI mengenal pasti "mereka-mereka" yang merupakan PATI, namun sudah menjadi 'warganegara', apakah tindakan penyelesaian kita? Apakah dengan menangkap mereka dan simpan di sebuah pulau? Jika ya, pulau yang mana satu?

'Migrasi antara negara' memang berlaku di semua negara di dunia. Rakyat asing yang menjadi warganegara sesuatu negara boleh sahaja berlaku, sama ada melalui neutralisasi mahupun secara permohonan.

Melalui RCI yang hendak diketahui, adalah cara apa "PATI" mendapat warganegara? Apakah dengan melalui proses undang-undang? Atau ada pihak yang mengambil peluang seperti mana berlaku tahun 90-an di mana ada pihak menjadi kaya-raya secara mee segera dengan melakukan sindiket menjual kad pengenalan dan surat beranak Sabah.

Dalam proses bisnes itu, ramai PATI menjadi mangsa kerana dokumen yang mereka beli merupakan dokumen palsu. Menurut catatan pihak kerajaan, daripada tahun 1980 seramai 500 ribu PATI telah ditangkap kerana berbagai kesalahan termasuk memiliki kad pengenalan palsu. Di samping itu, kos yang tinggi telah digunakan bagi proses penghantaran pulang yang telah ditangkap.

Malah, pada Rabu lalu di Mahkamah Kota Kinabalu, seorang PATI dihukum penjara dan sebatan kerana memiliki kad pengenalan palsu yang dibelinya dengan harga RM3,500.

Bagi proses 'menang-menang', jika laporan RCI mengenalpasti, siapakah "PATI" yang mempunyai kad pengenalan; jalan terbaik adalah menukar kad pengenalan itu kepada status tertentu dan kemudian jika mereka telah mendaftar sebagai PENGUNDI, maka keluarkan daripada daftar pengundi; tujuannya agar mereka bukan lagi sebahagian daripada proses demokrasi di negeri kita.

Mungkin cara ini merupakan pendekatan yang diambil oleh satu badan yang diketuai oleh Tan Sri Pairin Kitingan selepas RCI dihebahkan kepada pengetahuan umum yang lalu.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook