Latest News

Friday 19 December 2014

Malaysia Kena Tempias Harga Minyak Dunia Turun


Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak di pasaran dunia yang menyebabkan nilai mata wang ringgit juga jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Selain matawang ringgit menjunam, pasaran saham juga turut jatuh 12 peratus untuk tempoh 3  bulan.

Ini diikuti oleh negara Asia Tenggara lain yang turut merasa tempias kejatuhan harga minyak dunia itu. Antaranya negara Indonesia sebanyak 0.8 peratus dan Thailand 2.5 peratus dalam tempoh yang sama. Kejatuhan ringgit pula menjangkau 11 peratus berbanding dolar AS sejak Ogos lalu.

Ringgit kini diniagakan pada RM3.49 berbanding satu dolar AS. Kejatuhan ini diikuti dengan rupiah Indonesia sebanyak 5.3 peratus, Bath Thailand pula sebanyak tiga peratus dan Peso Filipina adalah dua peratus. Inilah kesan daripada kejatuhan mendadak harga minyak di pasaran antarabangsa. Nilai minyak mentah di pasaran kini ialah sebanyak AS$59 dolar setong berbanding AS$115 setong yang diniagakan pada pertengahan tahun.

Keadaan yang berlaku ke atas harga minyak ini amat merisaukan penyelidik dan pelabur luar khususnya ahli ekonomi dan politik antarabangsa. Biasanya, kejatuhan harga berlaku apabila berlakunya keadaan penawaran melebihi permintaan. Jika berlaku konflik di dunia khususnya di Asia Barat, kebiasaannya harga minyak akan meningkat seperti yang berlaku pada tahun 1970an dan ketika Perang Teluk yang lalu.

Kini harga minyak yang jatuh teruk dilihat sebagai tindakan yang disengajakan oleh pihak tertentu untuk menjejaskan ekonomi sesebuah negara yang bergantung kepada minyak dengan cara menambahkan penjualan minyak dalam pasaran. Ramai penganalisis beranggapan bahawa krisis kejatuhan harga minyak ini adalah kesan daripada perbalahan antara Barat yang diketuai AS dengan Russia khususnya berkenaan konflik di Ukraine serta peristiwa tragedi pesawat MH17 di Ukraine pada Julai lalu.

Tindakan seperti ini adalah disengajakan

Mengikut akhbar The Washington Post pada 15 Disember lalu, kejatuhan harga minyak ini sememangnya satu tindakan disengajakan bagi menggugat ekonomi Russia. Sebelum ini, negara Barat khususnya AS dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan ekonomi dan diplomatik ke atas Russia. Namun, kesannya belum dapat menggugat Russia untuk keluar daripada Ukraine. Justeru, satu tindakan drastik perlu dilakukan Barat untuk terus menekan Russia.

Barat merasakan bahawa cara terbaik menggugat ekonomi Russia adalah dengan menjatuhkan harga pasaran minyak global. Oleh itu, AS dan Arab Saudi berpakat menambahkan penawaran minyak di pasaran ketika permintaan minyak dunia adalah rendah daripada Eropah, China dan Jepun.

Paras harga minyak yang rendah kini bermakna syarikat minyak Russia mempunyai kurang 1 dolar AS untuk ditukarkan kepada mata wang Ruble Russia. Dengan kekurangan permintaan terhadap Ruble Russia, maka nilai mata wang berkenaan jatuh. Ini menyebabkan nilai Ruble Russia dilihat jatuh lebih 22 peratus berbanding dolar. Untuk menyelamatkan ekonomi Russia, Bank Pusat Russia telah menaikkan kadar faedah kepada 6.5 peratus.

Menggugat ekonomi dunia

Tindakan Barat ini sebenarnya bukan sahaja menjejaskan Russia dan negara lain khususnya di Asia Tenggara, malah juga menjejaskan ekonomi AS dan Eropah. Namun, ia dirasakan risiko yang harus diambil bagi memastikan Presiden Russia, Vladimir Putin terus ditekan dan mendengar desakan pihak Barat khususnya dalam menyelesaikan isu pemberontakan di Ukraine.

Perbalahan antara Russia dan Ukraine juga sebelum ini dilihat menjejaskan ekonomi Russia yang terpaksa menaja puak pemberontak dalam menentang tentera kerajaan Ukraine yang mendapat bantuan Barat. Apa yang jelas, krisis politik dunia yang berlaku jauh di Eropah sebenarnya boleh menggugat kedudukan ekonomi sesebuah negara walaupun negara itu tiada kaitan dengan krisis berkenaan.

Meskipun Malaysia tiada kaitan dengan konflik di Ukraine namun kedudukan Malaysia kini seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga'. Selepas apa yang berlaku ke atas MH17 yang masih belum mencapai titik penyelesaiannya, Malaysia juga berhadapan masalah ekonomi yang disebabkan perbalahan pihak Barat dengan Russia yang berkaitan konflik di Ukraine. Malaysia kini harus bersedia berdepan kemungkinan berlakunya krisis ekonomi dan kewangan pada tahun hadapan jika kejatuhan harga minyak berterusan menggugat ekonomi dunia.

Jelas sekali Dasar Fiskal Malaysia amat bergantung kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan pada April 2015 ketika sumber pendapatan negara melalui minyak berkurangan. Namun, jika harga minyak terus rendah, kuasa membeli warga Malaysia akan meningkat dan ia dilihat mampu membantu merancakkan ekonomi negara ini. Kerajaan bagaimanapun harus terus berhati- hati menguruskan ekonomi negara supaya pendapatan dan perbelanjaan diseimbangkan pada masa hadapan.

  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook