Latest News

Saturday 27 December 2014

OPERASI GEMPUR PATI BERMULA


Operasi melibatkan 603 anggota kerajaan bagi membanteras pendatang asing tanpa izin dilancarkan di Sandakan  pada Sabtu ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah YB Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, operasi yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu merupakan langkah susulan kepada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Sabah yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri baru-baru ini.



"Kerajaan negeri memandang serius masalah ini di Sabah dan operasi ini merupakan permulaan kepada pelbagai langkah drastik yang kita akan ambil untuk menangani masalah ini.

  

"Niat murni kita ialah membersihkan Sabah daripada pendatang asing tanpa izin seperti yang diharapkan oleh rakyat tempatan di negeri ini," katanya.


Sukarti berkata operasi sama juga akan dilaksanakan di daerah lain khususnya di bawah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).



Beliau turut menasihati penduduk tempatan supaya memberikan kerjasama dan mengingatkan tindakan tegas akan diambil jika mereka bersekongkol atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).



Sementara itu pada operasi yang dijalankan sejak 4 pagi Sabtu, Sukarti berkata seramai 315 orang ditahan di mana 130 orang dihantar ke Pusat Tahanan Sementara Sandakan untuk tindakan pengusiran oleh Jabatan Imigresen. Tiga pula ditahan reman kerana kesalahan dadah manakala selebihnya dibebaskan selepas berjaya membuktikan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.



Beliau berkata operasi itu yang turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), juga menyaksikan lebih 32 buah rumah penempatan haram dirobohkan, manakala lebih 1,000 rumah lagi diberi notis arahan penerobohan oleh MPS kerana mendirikan rumah haram di tanah kerajaan.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook