Latest News

Saturday 3 January 2015

Bahana Cemburu dan Marah


Cemburu dan Marah adalah dua perasaan yang berada di dalam hati setiap manusia. Apa yang menjadi isu ialah bagaimana cara kita menghadapi dan mengatasi perasaan negatif yang terbit dalam hati manusia.

Memang menjadi fitrah di dalam setiap hidup manusia menghadapi kedua-dua perasaan ini, iaitu sama ada sesorang itu berasa cemburu dan marah dengan diri kita ataupun disebaliknya kita yang berasa cemburu dan marah terhadap orang lain.

Kebiasaannya perasaan cemburu ini timbul daripada rasa cinta atau rindu seseorang itu kepada insan yang lain.

Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak mempunyai rasa cinta, perkataan cemburu langsung tidak timbul di dalam dirinya. Begitu juga dengan pernikahan di antara suami dan isteri, tidak akan wujud kebahagiaan dalam kehidupan mereka sekiranya tidak wujud rasa cinta dan kasih sayang antara kedua-duanya.

Perasaan cemburu itu timbul ketika misalnya seseorang itu mempunyai harta yang sangat bernilai dan dia berasa takut kehilangan harta bernilai tersebut jatuh ditangan orang lain.

Oleh sebab itu, harta tersebut hendaklah dijaga dengan baik agar sentiasa selamat berada dalam genggamannya. Begitulah juga disebaliknya, iaitu seseorang yang berasa cemburu terhadap orang lain yang mungkin akan merampas haknya, sama ada pasangan, harta, masa dan sebagainya.

Perasaan cemburu lahir daripada perasaan bimbang di dalam hati seseorang itu terhadap haknya yang berkemungkinan besar tidak tertunai.

Perasaan cemburu yang lahir dalam hati sesorang juga adalah salah satu cara Allah SWT mendidik hamba-Nya untuk mengingati bahawa setiap nikmat yang dikurniakan di dunia ini adalah bersifat sementara dan bila-bila masa sahaja Allah berhak untuk mengambilnya semula.

Kebiasaannya apabila perasaan cemburu timbul di dalam hati, kita akan lebih cenderung untuk menyalahkan orang lain atau persekitaran berbanding melihat dan muhasabah diri sendiri.

Sebagai contoh, seorang suami yang sayang akan isterinya tidak sepatutnya membiarkan isterinya itu memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan bergaul bebas tanpa batasan.

Mana mungkin harta yang disayangi, dan takut dirampas oleh orang lain dibiarkan tanpa pengawalan di tepi jalan. Sudah pasti harta tersebut akan diambil orang, sekurang-kurangnya awasinya dengan mata-mata untuk sentiasa mengawasinya. Begitulah juga perihal seorang isteri yang dikasihi tidak patut dibiarkan bebas tanpa ada pengawasan. Kerana, hal ini boleh menimbulkan perasaan cemburu.

Setiap manusia, baik lelaki atau perempuan pasti akan ada timbul perasaan cemburu di dalam hati mereka, bahkan isteri kepada Rasulullah SAW sendiri.

Diriwayatkan oleh Anas dari Sahih Bukhari, dalam satu kisah pernah sekali ketika giliran Rasulullah SAW bersama Aisyah, isteri Baginda yang lain bernama Zainab menghantar makanan kepada Baginda melalui seorang khadam.

Namun, Aisyah berasa sedikit terganggu kerana pada ketika itu adalah gilirannya dengan Rasulullah. Lantas Aisyah menolak makanan yang dihantar lalu jatuh dan pinggan yang digunakan untuk membawa makanan itu pecah.

Rasulullah sedikit pun tidak menunjukkan rasa marah, malah Baginda sendiri mengutip serpihan pinggan yang pecah itu dan memberitahu kepada khadam untuk makan makanan yang dibawa itu. Kemudian Baginda menggantikan pinggan yang pecah itu dengan pinggan baru.

Perasaan cemburu di dalam hati manusia adalah fitrah, namun perasaan cemburu yang berlebihan dan tidak berasas boleh mendatangkan musibah.

Sabda Nabi SAW bermaksud: "Rasa cemburu ada yang disukai Allah dan ada pula yang tidak disukai-Nya. Kecemburuan yang disukai Allah adalah yang disertai alasan yang benar. Sedangkan yang dibenci ialah yang tidak disertai alasan yang benar (cemburu buta)." (Riwayat Abu Daud).

Perasaan cemburu yang dibenci Allah SWT adalah cemburu yang berlebihan atau lebih tepat cemburu buta dan membawa kepada tohmahan, iaitu menyebabkan keraguan dan buruk sangka hingga akhirnya membawa kepada hasad dengki.

Cemburu buta boleh mendatangkan kesan yang besar di dalam kehidupan seseorang yang akhirnya boleh memutuskan hubungan suami isteri, kekeluargaan, persahabatan dan juga mengakibatkan kes jenayah.

Kisah Imam Sibawaih boleh dijadikan teladan. Beliau seorang yang sangat mencintai ilmu dan menghabiskan masa menulis kitab hingga akhirnya menimbulkan rasa cemburu di dalam hati isterinya dengan merasakan dirinya tidak dipedulikan.

Pada suatu hari isterinya membakar kitab yang sedang diusahakan beliau. Namun Imam Sibawaih tidak berasa marah, malah menulis semula kitab itu sehingga menjadi lima jilid dan menjadi rujukan sehingga kini.

Perasaan cemburu yang berlaku disebabkan dunia adalah sia-sia kerana dunia itu sendiri adalah sementara seperti firman Allah SWT di dalam Surah at-Taubah, ayat 24 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik (derhaka)."Renung-Renungkan.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook