AGBIMUDDIN KIRAM@DATU PUING yang mengetuai militan bersenjata dari selatan Filipina untuk menceroboh Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013 yang lalu, dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung di Simunul, Tawi-Tawi, semalam - lapor portal berita Rappler.com.
Portal berita Filipina itu
mengatakan Agbimuddin meninggal dunia akibat serangan jantung di kampung
halamannya Pulau Tawi-Tawi pada Selasa kelmarin.
Abangnya, “Sultan Jamalul
Kiram” meninggal dunia enam (6) bulan selepas pencerobohan Lahad Datu di Manila
juga kerana sakit jantung.
Menurut laporan Rappler.com,
selain polis, tiga sumber yang berbeza mengesahkan Agbimuddin atau nama lainnya
Datu Puing meninggal dunia di rumahnya di bandar Simunal Tawi-Tawi.
Agbimuddin adalah individu
yang bertanggungjawab melatih ratusan “tentera diraja Sulu”, di Tubig Simunul,
sebelum kira-kira 200 daripada mereka menyerang Sabah atas alasan itu adalah tanah
warisan Kesultanan Sulu.
Pencerobohan diketuai
Agbimuddin, manakala timbalannya adalah bekas pegawai kanan dalam pasukan
tentera Filipina Jeneral Musa Abdulla yang kemudiannya terbunuh dalam serangan
pasukan keselamatan Malaysia.
Sepanjang pencerobohan pengganas Sulu yang
berlarutan hampir dua bulan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan
terkorban dalam mempertahankan bumi Malaysia yang tercinta.
0 comments:
Post a Comment