Latest News

Monday 12 January 2015

Kita Tanam Kita Tuai: Iktibar Peristiwa Pembunuhan 'Charlie Hebdo'


SERANGAN ganas terhadap pejabat majalah haluan kiri Charlie Hebdo di Paris, Perancis pada 7 Januari 2015 mengorbankan lapan (8) orang wartawan termasuk editor, dan selebihnya dua orang anggota polis. Orang yang pertama terbunuh adalah salah seorang polis, Ahmed Merabet yang beragama Islam. Beliau bertugas mengawal bangunan menempatkan majalah tersebut.

Tiga (3) orang suspek yang dikenalpasti sebagai orang-orang yang bertanggungjawab terhadap serangan keganasan tersebut ialah Hamyd Mourad, Said Kouachi dan Cherif Kouachi. Mereka dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas, al-Qaeda cawangan Yaman.

Sesetengah orang mengatakan, "jika kita menanam sesuatu, maka itulah yang kita tuai". Dalam hal ini majalah Charlie Hebdo sering mempersendakan pelbagai tradisi agama dan faham kepercayaan, termasuklah Katolik, Yahudi dan tentulah Islam. Antara kartun yang diperaga oleh Charlie Hebdo dikatakan mengejek Nabi Muhammad SAW.

Memang siri kartun itu tidak payah diambil pusing pun. Ia ternyata bodoh, dan tidak ada yang benar-benar berisi. Jerome Taylor misalnya telah menulis betapa bodohnya Charlie Hebdo di The Independent pada 2 Januari 2013. Rasanya tidak ada kehidupan umat Islam di Eropah yang terjejas secara signifikan oleh penyiaran kartun bebal itu. Ia tidak menarik perhatian. Mungkin ada sedikit "hu hah tetapi ia mati andar secepatnya".

Dua tahun sesudah itu, Hamyd Mourad, Said Kouachi dan Cherif Kouachi percaya mereka akan dapat mengembalikan maruah Rasulullah SAW dengan laungan Allahuakbar sebelum menabur peluru di pejabat Charlie Hebdo. Sekelip mata, mereka yang tidak mengenal Charlie Hebdo pun menyatakan ‘Kami Semua Charlie’.

"Aku sendiri menghantar satu tweet menyatakan demikian. Tetapi adakah aku menyetujui kartun-kartun memperlekehkan Rasulullah SAW seperti terkandung dalam Charlie Hebdo? Tentu tidak. Tetapi mengapakah aku turut sama mengungkapkan ‘Kami Semua Charlie’?"

Kerana memang sebetulnya ‘Kita Semua Charlie’. Kartunis Charlie Hebdo memang bodoh menghina dan mengejek Nabi Muhammad SAW.  Tetapi mereka yang melakar kartun bangang itu melihat inilah kesempatan untuk digunakan bagi melakukan provokasi.

"Atas nama kebebasan bersuara, mereka mepercayai orang Islam di Eropah akan melatah. Bagusnya sejak 2013 saudara seislamku di Eropah tidak melatah. Mungkin ada segelintir yang berasa marah, dan kemudian marah-marah tetapi mereka tidak berfikir untuk membunuh kartunis-kartunis Charlie Hebdo. Kecuali Hamyd Mourad, Said Kouachi dan Cherif Kouachi yang diresapi keganasan fikiran, jika benar mereka . Mereka melatah dengan kartun bodoh, kerana mereka juga bodoh."

(Mereka bagaimanapun hanya suspek yang belum dibuktikan bersalah. Di tahap ini, semuanya masih di tahap tanggapan.)

"Tidak ramai yang mengerti kartunis Charlie Hebdo yang mati dibunuh itu adalah orang yang tertindas. Bukan, mereka bukan orang jahil; mereka orang tertindas. Mereka hanyalah sekumpulan manusia yang tidak dijelaskan dengan baik siapakah Nabi Muhammad SAW; kerana itulah mereka tertindas, kerana mereka tidak beroleh kebenaran. Jika mereka mengenal Nabi Muhammad SAW, mereka akan melakar kartun yang jauh lebih bermaruah."

"Jadi, kartunis Charlie Hebdo memang menjadi mangsa sebanyak dua kali. Mangsa buat pertama kali kerana ia tidak pernah mendapat kebenaran tentang junjungan besar Rasulullah SAW. Mangsa kedua kali kerana ia dibunuh dalam keadaan tidak mendapat kebenaran tersebut. Jadi mereka kekal tidak tahu. Mungkin, kerana tidak tahu itu mereka boleh menghadap Tuhan dan memberitahu perihal ketidaktahuan mereka. Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang."

"Jadi Charlie Hebdo tidak tahu. Aku ingin membuat kalian berfikir dan bercakap mengenai orang yang tahu. Para ulama. Atau mereka yang mengaku ulama. Mereka yang menyangka ilmu mereka cukup dan Islam mereka benar. Mereka lebih teruk dari Charlie Hebdo. Mereka mencemar nama Islam. Mereka melakukan keganasan atas nama Islam. Mereka mencopot hak wanita".

"Mereka melakukan diskriminasi mazhab. Mereka memanipulasi agama. Mereka bersekongkol dengan kapitalis. Kadang mereka sendiri menjadi hantu dengan menjual agama untuk keuntungan, dari semudah-mudah air jampi kepada sebesar-besar balak dan takdir Ilahi."

‘Kami Semua Charlie’, atau ‘Kita Semua Charlie’, mengapa dan bagaimana? Kita semua orang tertindas. Hak-hak kita untuk mendapat kebenaran tentang peribadi Rasulullah SAW hanyalah satu hala. Selalu, setiap kali Maulidur Rasul bukan Nabi Muhammad yang dibesarkan, tetapi sahabat-sahabatnya, dengan alasan sahabat Nabi adalah produk baginda. Kita kadang malah keliru siapakah yang perlu diraikan dan dilebihkan dahulu? Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas pernah menulis dan menegur gejala ini dalam satu artikel membantah tulisan Nik Aziz Nik Mat di Harakah dengan judul ‘Nik Aziz Salahkan Rasulullah’.

Nik Aziz dalam satu karangan di Harakah, 2 April 1999 telah menyatakan Rasulullah SAW telah melakukan kesilapan dalam hal 70 orang tawanan perang Badar, kerana baginda Nabi Muhammad membuat keputusan membebaskan semua tawanan sekiranya mereka membayar sejumlah wang tebusan. Saidina Umar bagaimanapun menyarankan supaya mereka semua, ketujuh puluh orang itu dibunuh sahaja. Ini kerana mereka orang kafir dan tentulah mereka, iaitu 70 orang itu sudah terbiasa menghina dan mengejek Rasulullah SAW. Menurut Nik Aziz (seperti dipetik Syed Hussein), turunlah 'ayat 67 surah al Anfal;'

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

(Ini adalah terjemahan Nik Aziz).

Menurut Nik Aziz, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT menegur Rasulullah kerana ayat ini merupakan percanggahan dengan pelan tindakan Nabi. Seolah-olah Allah bersetuju dengan Saidina Umar.

Nik Aziz menulis mengatakan Rasulullah salah dan Omar yang ingin membunuh 70 orang tawanan itu sebagai betul;

“Malangnya pendirian Nabi SAW itu tidak menepati dengan kehendak Allah SWT. Secara kebetulan pendapat Umarlah yang sejajar dengan kehendak Allah SWT yang menghendaki agar musuh yang ditawan tidak dibebaskan dalam keadaan pihak musuh belum dapat dilemahkan.”

"Demikian ada ‘kebetulan’ dalam urusan agama kita sehingga Rasulullah, utusan Allah dan kekasih Allah tersilap membuat keputusan politik yang sangat penting. Padahal kisah di Badar itu lain sama sekali, dan ruang yang tidak memadai di sini tidak memungkinkan aku menghuraikannya".

Kan, sekiranya kartunis di majalah Charlie Hebdo mengetahui betapa bagusnya Rasulullah yang ingin membebaskan tawanan perang Badar, mereka tidak akan mengejek Nabi dengan melukis kartun-kartun bodoh. Mereka tentu akan mengejek Umar yang tindak-tanduknya hari ini barangkali disamakan oleh mereka dengan pengganas ISIS yang membunuh tawanan perang dan meletakkan video pembunuhan di Internet. Sayang tiada yang menceritakan kemuliaan Rasulullah kepada orang di Charlie Hebdo. Tulisan Nik Aziz menunjukkan betapa dalam banyak hal, sahabat Nabi Muhammad SWT akan dilebihkan berbanding Rasulullah sendiri. Mungkin ini kebiasaan. Kebiasaan yang salah.

Ini semua kekeliruan yang dilakukan oleh ulama yang jauh lebih buruk dan bodoh berbanding Charlie Hebdo. Mereka bukan tidak tahu, mereka tahu dan mereka tuan guru, tetapi mereka menjunjung sahabat Rasulullah SAW berbanding Nabi. Mereka tidak menjelaskan yang sahabat tetaplah di bawah Nabi statusnya. Bahawa status Nabi Muhammad adalah maksum, bukan sahabat yang maksum.

Akibatnya kekeliruan dan imej-imej negatif mengenai Nabi Muhammad ini disebarkan tanpa sedar dan menjadi citra. Hamyd Mourad, Said Kouachi dan Cherif Kouachi adalah contoh orang yang menerima bulat dan menelan semua citra tidak betul tentang Nabi Muhammad ini. Mereka fikir mereka juara jika mereka membunuh pekerja Charlie Hebdo. Mereka rasa akan membuatkan Nabi Muhammad bangga. Mungkin mereka tidak belajar habis, atau mengagumi sahabat tertentu berbanding Rasulullah SAW. Jika mereka betul pengikut Rasulullah SAW, mereka tidak akan menembak buta di pejabat Charlie Hebdo.

Dalam kuliah agama di masjid, kalau ustaz ingin bercerita perihal romantisnya Rasulullah, yang akan disampaikan adalah bagaimana Rasulullah melayan isterinya Ummul Mukminin Aisyah dengan penuh intim seraya menempel-nempelkan pipi. Imej-imej seperti ini, antara lain hanya menimbulkan tanda tanya dan dengan mudah akan dipetik untuk disensasikan orang yang tidak tahu seperti kartunis Charlie Hebdo.

Peribadi Rasulullah yang mulia dicemari kerana ada ‘Charlie Hebdo jadian’ dalam kalangan kita. Betapa Charlie Hebdo-nya kita tentang Rasulullah SAW, kita sendiri menjaja kisah Nabi Muhammad mengahwini perempuan di bawah umur. Padahal yang benarnya adalah Ummul Mukminin Aisyah telah melampaui usia dewasa pada zaman itu. Maka tidaklah menghairankan Charlie Hebdo mempersendakan perkahwinan Rasulullah SAW, sebab ‘Charlie Hebdo jadian’ memang ramai.

Siapa ‘Charlie Hebdo jadian’? Ramai; antaranya para ustaz yang membuat lawak bodoh dan lucah di masjid bila ditanya soalan remeh seperti hukum tertelan air mani suami. Mereka adalah citra Charlie Hebdo dalam kalangan kita. Jadi, janganlah mengeluh jika aku mengatakan ‘Kita Semua Charlie Hebdo’. Paling tidak kita mengizinkan kebodohan Charlie Hebdo menyerap masuk.

Padahal kartunis Charlie Hebdo yang sebenar itu, mungkin mereka memang jahil dan tidak tahu atau tidak sampai kebenaran. Entah-entah, kartunis Charlie Hebdo itu yang akan masuk syurga, dan yang konon tahu tentang peribadi Rasulullah tetapi tidak menyampaikan dan kadang mempersendakannya pula yang akan ke tempat sebaliknya.

Pembunuhan dan terror di Charlie Hebdo adalah isu kebebasan untuk menyatakan (freedom of expression). Kebebasan menyatakan meskipun tanpa kata-kata sangat penting. Pernah Saidina Ali hendak membunuh seorang musuh di medan perang. Musuh itu sudah terjelepok di kakinya. Saidina Ali bersiap mengangkat pedangnya untuk menebas musuh. Tiba-tiba si musuh menyatakan kebebasannya dengan meludah Saidina Ali. Apakah yang Ali lakukan? Dia meletakkan pedang kembali dalam sarungnya. Dan musuh pun lekas terpinga-pinga.

"Mengapa?" tanya musuh.

Saidina Ali membalas: “Kerana aku tidak mahu membunuhmu dengan alasan yang salah.”

Kalau Saidina Ali tidak melampau hak asasi seorang musuh meski diludah, apakah alasan untuk kartunis Charlie Hebdo dibunuh? Tidakkah Hamyd Mourad, Said Kouachi dan Cherif Kouachi mendengar kisah-kisah yang benar tentang Rasulullah SAW dan menantunya?

Keganasan di Paris itu berlaku kerana adanya keganasan fikiran. Keganasan fikiranlah yang menggerakkan keganasan fizikal. Syed Hussein Alatas ada menyebut keganasan fikiran ini adalah pucuk atau benih kepada ‘program bertindak tertentu seperti pembunuhan, tekad korban diri, letupan bom dan sebagainya’ dalam artikelnya ‘Ciri-Ciri Keganasan Fikiran’ dalam tahun 2002.

Dalam hal ini, Syed Hussein telah menggariskan lima ciri fikiran ganas; Pertama, pihak sendiri sahaja yang benar dan yang lain tidak perlu dihormati atau dianggap penting. Tidakkah kita melihat perangai seperti ini berleluasa dengan kukuhnya sejak mutakhir ini?

Kedua, segala tindakan boleh diambil asal sahaja diperlukan untuk mendatangkan kepuasan. Ketiga, permusuhan dan sangka jahat atau tidak baik diterapkan kepada golongan luar pihak sendiri.

Keempat, sifat estetik dan kehalusan moral dan pekerti tidak diendahkan dalam melaksanakan tujuan atau menyatakan keinginan. Kelima, segala bidang penghidupan dapat diserapi oleh keganasan fikiran, termasuk bidang agama dan budaya. Tidakkah semua ini sudah menular dalam kalangan kita. Demikian mewabak ia dilakukan sendiri oleh pihak berkuasa agama. Demikian ia menular sehingga ada orang Melayu sanggup membunuh dan terbunuh menjadi militan ISIS di Timur Tengah.

Adalah sangat mendukacitakan keganasan fikiran yang disebut Almarhum Syed Hussein di atas sedang berkembang piak dalam masyarakat kita. Ia malah dijaja dalam khutbah Jumaat, dalam seminar dan bengkel organisasi dengan kulit Islam.

Kita pun ke surau dan masjid seraya meraikan dan tidak membantah kebodohan-kebodohan ‘Charlie Hebdo jadian’ serupa ini.

Tidak termungkir lagi, kita semua Charlie Hebdo. Jangan buat tidak tahu.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook