Latest News

Sunday 11 January 2015

LIGA PERDANA 2015: Sabah Sasar Tempat Ketiga Ke Atas - Tawfiq


PERSATUAN Bola Sepak Sabah (SAFA) menyasarkan skuad negeri berada pada kedudukan tiga terbaik dalam Liga Perdana musim 2015 sekali gus layak ke Liga Super pada tahun depan.

Timbalan Presiden SAFA, YB Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata sasaran berkenaan mampu dicapai berdasarkan kehadiran empat pemain import baharu yang dilihat boleh membantu menguatkan 'skuad Badak'.

"Aspirasi ini sebenarnya juga adalah impian seluruh rakyat Sabah dan bukan SAFA sahaja. Harapan untuk mencapai sasaran ini amat tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Tahunan SAFA, mewakili Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden SAFA, YAB Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata kebenaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan empat pemain import bermain dalam setiap perlawanan liga adalah satu perkara baik yang boleh dimanfaatkan Sabah untuk perbaiki kedudukan dalam liga.
  
Beliau berharap pengurusan pasukan dapat menggunakan peluang itu untuk memberi saingan hebat kepada pihak lawan.

Sabah berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf dan penyerang Libya, Eamon Zayed serta mengambil bekas pertahanan Hull City, Abdoulaye Faye dan pemain sayap skuad kebangsaan Singapura, Fazrul Nawaz.

Sementara itu, Musa dalam teks ucapan dibacakan oleh Tawfiq, yakin pencapaian pasukan Liga Perdana Sabah boleh dimantapkan lagi menerusi pengurusan yang teratur, perancangan pasukan komprehensif serta pemain yang komited.

Katanya, pengambilan khidmat pemain import hanyalah perancangan jangka pendek dan SAFA perlu memiliki perancangan jangka panjang mengukuhkan keupayaan pasukan dengan mencungkil bakat-bakat tempatan.

Sebagai contoh katanya Sabah pernah melahirkan pemain bola sepak handalan seperti James Wong, Matlan Marjan dan Hassan Sani menerusi program pembangunan bola sepak belia di setiap daerah.

"Kita memerlukan pemain yang menunjukkan komitmen, disiplin, kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi terhadap pasukan kerana itu faktor utama kejayaan sesebuah pasukan," katanya.

Menurutnya pihak pengurusan dan kejurulatihan perlu berusaha memastikan aspek pengurusan dan kejurulatihan berada pada tahap terbaik dan perbaiki kelemahan pada semua peringkat sekiranya ada.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook