Latest News

Tuesday 6 January 2015

Mengapa Sabah terus bertukar-tukar kerajaan?


SABAH bertukar-tukar Kerajaan kerana ada pemimpin yang ingin mendapatkan kuasa, USNO dijatuhkan oleh pemimpinnya sendiri. Demikian juga BERJAYA dan PBS dijatuhkan oleh pemimpin sendiri.  Mengapakah parti-parti tersebut dijatuhkan oleh pemimpin sendiri? jawapannya adalah kerana pucuk pimpinan yang ada kuasa itu 'lupa diri' sehingga pemimpin yang mahu mendapatkan kuasa tersebut menyalah gunakan kuasa sehingga suara rakyat tertindas.




Selepas UMNO memerintah sejak tahun 1994 di Sabah dengan bantuan serpihan parti-parti yang memerintah sebelumnya, kemudian semua parti bergabung sehingga membentuk BN Sabah yang ditunjangi oleh UMNO yang menjadi simpanan tetap BN pada setiap pilihanraya. Walaupun kelihatannya BN cukup stabil, namun perkara lama berlaku di mana ada pemimpin mengulangi cara apa yang pernah dilakukan oleh pemimpin terdahulu. Mula melupakan siapa pejuang asal, sebaliknya memberi keutamaan kepada mereka yang merupakan peniaga politik.

Peniaga politik adalah mereka yang memberi sokongan kerana hanya memerlukan sokongan ekonomi sahaja. Mereka ini akan berpaling tadah jika sekiranya melihat ada pemimpin yang mereka fikir akan mendapat sokongan. Oleh sebab itu di dalam kerajaan BN pada masa ini, mereka yang ditentang sebelum BN mengambil alih kerajaan, kini menjadi 'tulang belakang' kerajaan.

Bukan sahaja mereka yang berjawatan sebagai ahli politik, malah pegawai-pegawai kerajaan juga yang dahulunya pelaksana kepada penindasan kaum-kaum tertentu terutama rakyat yang beragama Islam, kini merupakan 'pembuat kebijakan' dalam kerajaan BN yang ditunjangi UMNO.

Mereka yang berjuang menentang PBS bukan sahaja berkorban masa, tenaga, kewangan, malah darah. Namun, mereka itu kebanyakannya tidak tersenarai sebagai 'pembuat kebijakan', malah dilupakan. Bagi mereka yang terlibat menjatuhkan PBS yang bermula pada tahun 1989, kini dianggap sebagai 'hantu politik' bukan sahaja diketepikan. Malah ditakuti untuk didekati, bukan kerana mengancam kedudukan akan tetapi takut mereka-mereka ini mohon perhatian.

Keadaan politik Sabah kini, agak berbeza. Kerana apa? jika selama 30 tahun setiap 9 tahun pasti ada sahaja berlaku pertukaran kerajaan. Namun, selepas sahaja Umno menjadi 'tulang belakang' (UMNO masuk atas jemputan USNO, kemudian USNO dibubarkan) tidak ada lagi berlakunya penggantian kerajaan. Walaupun berlakunya penggantian Ketua Menteri di setiap dua tahun dan berakhir pada tahun 2004.

Memandangkan keadaan itu menyebabkan penggantian kerajaan sukar untuk berlaku kerana tiada lagi "God Father" sepertimana berlaku seperti sebelum-sebelum ini, maka penekanan kepada asas pembentukan Malaysia diangkat sebagai asas telah menukar persepsi rakyat. 

Membangkitkan asas pembentukan negara, seperti perkara 20 serta kandungannya. Berpendapat bahawa ianya dapat merangsang minda rakyat yang sudah celik untuk membandingkan apa yang terkandung dalam perkara itu dengan fakta lapangan sehingga timbul istilah "ADA YANG MUNGKIR JANJI".

Nampaknya isu pembentukan Malaysia akan diangkat menjadi isu utama bermula dari sekarang sehingga pilihanraya ke-14 yang akan datang nanti. Masing-masing pihak sama ada kerajaan yang memerintah mahupun pembangkang, melihat tiada isu utama yang perlu dijual kepada rakyat melainkan isu yang terkandung dalam perkara 20. 

Rakyat kini kian celik, yakni sudah mampu untuk mendapatkan maklumat, sudah nampak perbezaan, sudah nampak derap pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah. Rakyat sudah tahu bahawa emas hitam hasil yang dikorek di negeri ini adalah bukan untuk negeri ini, akan tetapi perlu dikongsi oleh semua orang. Rakyat tahu, bahawa hasil yang berpunca daripada tanah utara Borneo ini perlu dikongsikan dengan penduduk lain. Tetapi yang paling malang, kebanyakan hasil itu bukan milik penduduk negeri melainkan rakyat daripada negeri-negeri lain.

Isu seumpama ini akan menghantui pemikiran pemimpin walaupun pada masa ini cuba dibalas dengan berbagai alasan. Namun hakikatnya, saban hari isu-isu yang dibangkitkan semakin melekat di hati rakyat.

Persoalannya sejak akhir-akhir ini, bagaimana pemimpin seperti Datuk Salleh mengangkat isu ini? Ianya seolah-olah berlaku ketempangan. Kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Sabah itu semasa dikunjungi oleh Barisan Pemuda Umno Sabah yang diketuai Hafiz Musa bahawa pemuda perlu menjaga dan memperjuangkan kepentingan Sabah dalam negara.  Jika diperhalusi kenyataan itu, apa yang mahu diperjuangkan lagi? dan apa yang dipertahankan lagi? Sedangkan Sabah diperintah oleh sebuah parti yang menjadi tunjang belakang kepada kerajaan persekutuan.

Nampaknya Salleh terbaca perasaaan rakyat Sabah menjelang PRU-14 atau PRU-15, bahawa pada masa itu, isu pembangunan atau sebarang pembelaan berbentuk wang ringgit tidak akan dapat menawan hati rakyat; sebaliknya isu seperti yang terkandung dalam Perkara 20, akan menjadi pertimbangan utama. Oleh itu, agar memastikan UMNO atau BN masih lagi sebagai pilihan rakyat, maka pemimpinnya perlu menjuarainya! Jika tidak, maka alamatlah ceritanya ditumbangkan oleh rakyat yang akan menjadi kenyataan.

Para pemimpin BN Sabah menyedari walaupun bukan semua begitu bahawa untuk mengharapkan sokongan rakyat, BN termasuk pemimpinnya perlu menyesuaikan diri dengan harapan rakyat. Jika tidak, pihak lain akan menjuarainya!
Nampaknya, kematangan politik pemimpin Sabah telah mengambil iktibar kepada kepimpinan Sarawak. Sejak merdeka, kepimpinan Sarawak tidak dapat ditembusi dalang dan peniaga politik. Atas sebab itu, kepimpinan negeri itu sehingga kini bersifat autonomi. Mereka memutuskan siapa pemimpin mereka. Berlainan dengan Sabah yang terpaksa menagih simpati kerana tiadanya autonomi itu. 

Sebenarnya, kehilangan autonominya pemimpin Sabah atas sebab ada pemimpin yang mampu dipengaruhi atau dimanipulasi oleh dalang dalam politik. Ini terbukti apabila Sabah sejak merdeka berlaku sebanyak empat (4) kali pertukaran kerajaan.

Namun, politik Sabah kini tidak sama lagi dengan keadaan politik 40 tahun yang lalu. Generasi muda pasca merdeka, tidak lagi berfikiran seperti yang difikirkan oleh generasi yang lalu. Mereka berfikir tentang sesuatu yang telah hilang juga memikirkan tentang hak mereka yang telah hilang. Perkara utama sandaran mereka adalah melalui Perkara 20. Mereka meneliti apa yang terkandung dalam perkara 20 itu walaupun ianya bukan suatu perjanjian akan tetapi sebagai terma rujukan.  

Lalu berfikir, itulah asas kepada pembentukan negara!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook