BAGI negeri-negeri yang mempunyai raja atau sultan, ketua bagi agama Islam adalah raja atau sultan di negeri masing-masing.
Bagi negeri-negeri yang tidak beraja, Perlembagaan
memperuntukan bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri
berkenaan.
Semasa menjalankan tugas sebagai Ketua Agama Islam, Raja-Raja
dibantu dan dinasihati oleh Majlis Agama Islam di negeri masing-masing.
Walaupun istilah Raja
Berperlembagaan dimaksudkan bahawa raja bertindak atas nasihat kabinet, namun
pada akhirnya terpulang kepada raja itu sendiri untuk membuat pilihan samada ingin
menuruti ataupun tidak. Bagi Abdul Aziz Bari; seorang pakar undang-undang
perlembagaan, prinsip ini adalah suatu prinsip yang umum yang tertakluk kepada pengecualian-pengecualian
tertentu. Tambahan pula, peranan raja dalam perlembagaan lebih bersandar kepada
mekanisma check and balance atau semak dan imbang.
Dalam hal ini, Raja-Raja
perlu berbuat sesuatu untuk mengelak dari berlakunya keadaan yang lebih teruk
dalam Negara yang melibatkan kepentingan umat Islam seperti murtad.
Perlembagaan jelas memberi
kuasa mengikut budi bicara Raja-Raja dalam menjalankan tugas mereka sebagai
ketua agama Islam.
Mengenai perkara ini, Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa
dalam hal ehwal mengenai kedudukan dan kuasa raja sebagai ketua agama, raja
tidak perlu mendapat atau mendengar nasihat kerajaan yang memerintah.
Pandangan ini boleh diterima kerana kesulitan boleh berlaku sekiranya kabinet
yang memerintah negeri itu bukan terdiri dari orang Islam. Hal ini boleh
berlaku kerana tidak ada mana-mana peruntukan dalam perlembagaan yang
menyatakan bahawa jawatan Perdana Menteri atau kabinet semestinya dipegang oleh
orang Melayu atau Islam. Adapun pihak yang diberi tanggungjawap oleh
perlembagaan untuk menasihati raja dalam hal ehwal agama Islam adalah Majlis
Agama Islam sendiri yang sudah tentu turut dianggotai oleh ulama.
Peranan YDPA dalam hal ini
jelas sekali bertepatan dengan lafaz sumpah yang diungkapkannya sewaktu
pertabalan baginda. Sumpah yang dilakukan dengan nama Allah itu antara lain menyebutkan
bahawa YDPA berikrar dan mengaku untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.
Majlis Raja-Raja juga boleh memainkan peranannya dalam konteks membendung
gejala murtad. Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa
antara lainnya bahawa Majlis Raja-Raja boleh memberikan persetujuan atau
menolak untuk bersetuju dengan apa-apa perbuatan atau upacara keagamaan dalam
Persekutuan. Selain itu disebutkan juga bahawa Majlis Raja-Raja juga hendaklah
menjalankan tugasnya bagi menimbangkan apa-apa perkara yang difikirkannya patut.
Boleh dihujahkan bahawa
perkataan “apa-apa perkara yang difikirkan patut” merupakan ungkapan yang umum.
Bagi Penulis, gejala murtad yang berlaku di Negara ini merupakan salah satu
perkara yang patut dan perlu diberi perhatian serius oleh Raja-Raja kerana ia
melibatkan kepentingan umum dan agama Islam itu sendiri.
Tindakan keluar dari Islam
adalah tindakan yang menjejas dan membelakangkan kepentingan dan kemurnian
Islam sebagai agama Persekutuan. Tindakan murtad lebih-lebih lagi melibatkan
orang Melayu bukan saja satu bentuk pengkhianatan terhadap Islam tetapi juga
penghinaan terhadap institusi raja yang sememangnya dari kalangan orang Melayu.
Boleh dihujahkan bahawa sebagai ketua agama Islam, tindakan keluar Islam secara
tidak langsung dilihat sebagai membelakang dan mencabar institusi raja sebagai
ketua bagi agama Islam di negerinya.
Apa yang boleh dilakukan oleh
Raja-Raja umpamanya adalah dengan menganjurkan pihak berkuasa agama dan
badan-badan NGO supaya diadakan lebih banyak forum dan muzakarah berkenaan
fenomena murtad. Oleh kerana tindakan keluar Islam ada kaitan langsung dengan
kedangkalan ilmu dan kerosakan akidah seseorang, adalah wajar institusi raja
memberi penekanan kepada rakyat supaya usaha meningkatkan ilmu pengetahuan
mengenai Islam diperhebatkan.
Memandangkan bahasa rasmi
Negara adalah Bahasa Melayu, tambahan pula ia merupakan salah satu unsur
tradisi dalam perlembagaan adalah wajar sekali institusi raja menitahkan umat
Islam untuk mempergiatkan penulisan mengenai ajaran Islam dalam Bahasa Melayu.
Hal ini tidak menghairankan kerana penulisan kitab-kitab kuning mengenai agama
Islam dalam bahasa Melayu telah lama dilakukan ratusan tahun sebelum
kemerdekaan dicapai pada tahun 1957.
Institusi raja juga boleh
berperanan untuk membendung gejala murtad dengan memberikan galakan kepada
aktivis-aktivis agama untuk menubuhkan pusat atau rumah perlindungan atau
tumpangan bagi golongan muallaf. Ini kerana, golongan ini berhadapan dengan
cabaran hebat terutama tindakan pemulauan dari keluarga mereka yang bukan
Islam.
Dalam aspek undang-undang, Raja-Raja boleh berperanan dengan menitahkan agar Badan Perundangan Negeri
menggubal undang-undang bagi menyekat dan mengawal penyebaran dan pengembangan
doktrin atau agama lain di kalangan umat Islam. Hal ini selaras dengan
peruntukan Perlembagaan yang memberi ruang kepada negeri-negeri untuk mengubal
undang-undang sedemikian di negeri masing-masing. Meskipun diberikan ruang,
tidak semua negeri telah mengambil tindakan menggubal undang-undang sedemikian
rupa.
Dalam kontek penguatkuasaan
undang-undang, raja-raja boleh mengesyorkan dan menitahkan kepada pihak
berkaitan agar disegerakan pembinaan pemulihan akidah. Di Sabah umpamanya,
mana-mana pesalah yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah kerana melakukan
percubaan murtad hendaklah dihantar ke Pusat Bimbingan Islam selama 36 bulan
untuk pemulihan akidah.
Pusat Bimbingan berkenaan telahpun didirikan di
Kinarut dalam Daerah Papar, Sabah dan hanya menunggu masa untuk beroperasi.
Sebagai ketua agama Islam di Sabah, Yang di-Pertuan Agong boleh menasihatkan
atau mengesyorkan kepada pihak kerajaan negeri untuk mengambil tindakan yang
perlu bagi memastikan pusat berkenaan dapat menjalankan operasinya menurut
undang-undang yang ada. Di samping dapat menguatkuasakan undang-undang murtad,
usaha ini sekaligus dapat pula menyumbang bagi mengurangkan gejala murtad yang
semakin bertambah di Malaysia dan khususnya di Sabah.
Kewujudan unsur tradisi
perlembagaan yang kesemuanya mempunyai kaitan dengan Islam sesungguhnya
mempunyai nilai dan peranan tersendiri untuk memastikan Islam terus terpelihara
dan terjamin dalam perlembagaan. Dalam hal ini, Penulis amat bersetuju dengan
pandangan Abdul Aziz Bari yang menyatakan bahawa tindakan pertubuhan Islam
menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja berkaitan isu-isu kepentingan
agama Islam merupakan satu pengiktirafan tinggi terhadap institusi Raja di
peringkat Persekutuan.
0 comments:
Post a Comment