Latest News

Friday 9 January 2015

Perkembangan undang-undang Islam sebelum Sabah merdeka


Perkembangan undang-undang Islam dan penubuhan Mahkamah Syariah di Sabah berkait rapat dengan kewujudan Mahkamah Anak Negeri di negeri ini. 

Penubuhan Mahkamah Anak Negeri secara tidak rasmi dikatakan telahpun berlaku sejak tahun 1881 oleh pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB). Bagaimanapun, penubuhan mahkamah berkenaan berlaku secara rasminya pada penghujung 1800-an apabila SBBUB mula memperkenalkan undang-undang bertulis bagi melicinkan pentadbiran keadilan ketika itu. 

Undang-undang yang dilaksanakan ketika itu adalah menurut undang-undang 'diri pribumi'. Jika kes berkenaan melibatkan orang Islam, pengadil atau perunding yang dilantik adalah dari kalangan orang Islam yang arif dan berpengetahuan tinggi dalam undang-undang adat dan undang-undang Islam. 

Mereka dikenali sebagai Ketua Anak Negeri (KAN).

Pengiktirafan terhadap institusi ini semakin terserlah apabila SBBUB memperkenalkan The Village Administration Proclamation 1891.

Melalui undang-undang ini, KAN diserapkan dalam pentadbiran kerajaan bagi membantu Majistret mengendalikan pentadbiran undang-undang dan kehakiman.

Menariknya, majoriti KAN yang dilantik oleh pihak SBBUB sepanjang tempoh pentadbirannya dari 1881 sehingga 1941 adalah dari kalangan orang-orang Islam.

Pada tahun 1915 sebagai contohnya, lapan (8) dari sembilan (9) orang ahli Majlis Penasihat Ketua Anak Negeri adalah beragama Islam. [4] Semenjak tahun 1881 sehingga Sabah merdeka pada tahun 1963, undang-undang Islam terus berjalan dan berkembang selari dengan perkembangan undang-undang adat.

Antara undang-undang bertulis yang diperkenalkan oleh SBBUB dan kerajaan selepasnya yang ada kaitan dengan undang-undang Islam sepanjang tempoh berkenaan selain The Village Administration Proclamation 1891 adalah Muhammadan Custom Proclamation of 1902, Mohammadan Ordinance 1914, The Native Administration Ordinance 1937, Muslims Ordinance 1953 dan Native Courts Ordinance 1953.
Semasa pendudukan Jepun di Sabah antara tahun 1941 hingga 1945, pentadbiran hal ehwal Islam tetap berjalan.

Menariknya, dalam keadaan genting dan tidak menentu, KAN yang majoritinya terdiri dari kalangan orang-orang Islam telah diambil dan dilantik oleh pentadbiran tentera Jepun untuk menjadi Majistret di bawah pengawasan tentera Jepun.

Pengalaman berkhidmat dalam kerajaan walaupun singkat di bawah pentadbiran tentera Jepun sedikit sebanyak memberi pengalaman dan pengetahuan tambahan dalam pengurusan pentadbiran keadilan di kalangan mereka yang dilantik.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook