Latest News

Friday 2 January 2015

Persepsi kenaikan harga barang dan akibatnya


Bagi yang berpendapatan lumayan, kenaikan harga barang tidak sangat menganggu dan membebankan perjalanan hidup harian mereka. Namun, mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, kenaikan harga barangan sangat terasa sekali.

Pendapatan RM2,000 atau kurang sebulan dengan bilangan anggota keluarga antara 5 hingga 6, disertai anak-anak yang masih bersekolah adalah golongan yang sangat terpukul dengan fenomena kenaikan harga kini.


Data statistik yang ada, pendapatan per kapita adalah RM23,000 ribu setahun atau purata RM1,900 sebulan. Dengan mengambil kira jumlah penduduk negara seramai 27 juta orang dengan taburan berpendapatan di bawah pendapatan per kapita mewakili 65 peratus daripada jumlah penduduk, maka jumlah mereka yang terpukul akibat kenaikan harga berjumlah 17.55 juta orang.


Data statistik menunjukkan, 19 juta penduduk negara ini mendiami perkampungan dan supra bandar. Data juga menunjukkan bahawa pendapatan per kapita penduduk yang mendiami perkampungan dan supra bandar adalah di bawah pendapatan per kapita negara.


Jika dilihat daripada sudut politik, kerajaan yang memerintah yakni UMNO/BN, penduduk luar bandar itulah merupakan 'bank votes' setiap pilihan raya. Dengan kenaikan harga barang yang sukar terkawal pada dewasa ini, maka telah timbul persepsi bahawa kerajaan yang ada tidak mampu lagi membela nasib rakyat luar bandar. Persoalannya kini, apakah fenomena kenaikan harga barang yang sukar dikawal itu boleh menjejaskan sokongan rakyat majoriti terhadap kerajaan UMNO/BN?


Pilihanraya umum ke-14 bukan sahaja isu harga barangan yang menjadi perhatian rakyat, malah juga masalah-masalah lain termasuk masalah pengangguran. Jangan kita lupa, persepsi merupakan pembunuh yang zalim dalam dunia politik; rakyat memangkah biasanya berdasarkan persepsi.


Pihak pembangkang ketika ini, saban hari meniup isu bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak mampu lagi membela rakyat majoriti yang berpendapatan di bawah pendapatan per kapita negara. Sebaliknya, kerajaan sekarang ini tertumpu kepada 'bail-out' kepada segelintir pengusaha yang sememangnya sudah menikmati kehidupan sejak puluhan tahun yang lalu.


Pembangunan luar bandar kini tertumpu kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air bersih dan perumahan rakyat serta bekalan elekrik untuk masuk kampung; dimana projek-projek itu sangat lambat memberi sumbangan kepada pendapatan per kapita penduduk.


Seharusnya pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk pada masa ini, memberikan insentif kepada setiap penduduk di luar bandar bagi memajukan diri sendiri mengusahakan tanah-tanah terbiar. Dengan memberikan insentif dalam bentuk wang tunai kepada penduduk luar bandar misalnya setiap penduduk yang berumur 18 tahun ke atas yang tinggal di luar bandar diberikan saguhati RM500 sebulan, dengan jumlahnya boleh mencecah (anggaran: ambil angka 10 juta penduduk), maka jumlah wang beredar di kawasan luar bandar berjumlah 5 billion sebulan atau 60 billion ringgit setahun. Bayangkan 'multi effect'nya kepada peredaran wang tersebut di kawasan luar bandar? Dari segi ekonomi, suntikan RM1 dalam perekonomian akan mempunyai 'multiple effect' RM5 untuk sesuatu masa. Ini bererti, saluran penjanaan suntikan bagi RM60 bilion setahun di desa atau luar bandar akan ada pengaruh ekonomi RM300 bilion setahun.


Jumlah RM300 bilion hampir sama dengan jumlah mata wang negara yang boleh menampung perbelanjaan tertangguh negara untuk 6 bulan.


Selagi kerajaan tidak mengambil tindakan yang agresif terhadap rakyatnya yang berpendapatan di bawah pendapatan per kapita negara, selagi itu isu subsidi akan terus menghantui perekonomian negara. Menghentam skim subsidi seperti pendekatan PEMANDU sekarang ini tidak akan ke mana-mana dan hanya terus mencetus kemarahan rakyat biasa.


Apabila rakyat sudah marah, bukan sahaja Idris Jala kehilangan kerja, malah kerajaan UMNO/BN juga akan kecundang. Fikir-fikirkanlah!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook