Latest News

Tuesday 6 January 2015

PUNCA PATI DI SABAH


ADA dua faktor mengapa Pendatang Tanpa Izin (PATI) membanjiri Sabah. Pertama, kerana pergolakan di Selatan Filipina dan kedua adalah faktor ekonomi.

Pergolakan di Filipina pada tahun 70-an menyebabkan ramai rakyat Filipina terpaksa menjadi pelarian; tahun 70-an juga ramai pendatang daripada Indonesia datang ke Sabah semata-mata untuk tujuan perladangan terutama sektor perladangan kelapa sawit. Nilai Upahlah merupakan tarikan kepada pendatang-pendatang tersebut.

Pada mulanya yang datang itu mempunyai dokumen yang sah, namun lama-kelamaan apabila dokumen itu luput maka jadilah mereka menjadi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Mereka yang menjadi PATI pada awalnya datang bersendirian tanpa keluarga. Namun, oleh kerana keperluan bagi sektor tenaga buruh di Sabah meningkat dengan itu mereka mengambil peluang tersebut dengan membawa keluarga mereka untuk datang, ada yang menggunakan dokumen sah  tetapi ada juga yang menggunakan 'saluran tikus'.

Panjangnya pantai Sabah yang meliputi 1,400 KM menjadi pemangkin kepada mudahnya PATI masuk selain adanya dalang-dalang tempatan terutama penguasa ladang, penternakan dan perikanan serta pembinaan.

Oleh kerana mereka yang datang ini bukan tinggal di bandar tetapi memilih untuk tinggal di kawasan-kawasan terpencil, maka mereka bebas bergerak 'berasimilasi' dengan penduduk tempatan sambil mempelajari bahasa tempatan selain bahasa melayu. Oleh sebab itu, ada dikalangan mereka apabila ditanya mengaku daripada suku dusun, tetapi menyebutnya “dusong” atau “iranong” bagi suku iranun.

Sejak awal 90-an lagi apabila jumlah PATI mula dirasai, kerajaan sudah beberapa kali mengadakan operasi pemutihan untuk merekod PATI; sehingga tindakan kerajaan itu disalahgunakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan menjadikannya suatu bisnes.  Dalang-dalang itu mengambil manfaat tersebut dan kemudiannya menjadi kaya-raya dengan menjual surat beranak dan  kad pengenalan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).  Niat jahat dalang-dalang ini tidak akan berjaya jika bukan kerana mendapat bantuan kerjasama daripada pihak pegawai-pegawai tidak amanah di Jabatan Pendaftaran negara. Dalang-dalang merekrut para pegawai dengan membayar mereka dalam bentuk wang untuk memperlancar kegiatan mereka.

Apabila pihak kerajaan mengetahui adanya kegiatan subersif ini, dengan itu pihak kerajaan bertindak dengan melakukan operasi penangkapan beramai-ramai; dan di antaranya ada juga yang melibatkan ahli-ahli politik.

Tiada kerajaan di dunia ini yang sanggup mengimport rakyat asing semata-mata untuk bersaing dengan rakyat sendiri; seperti sangkaan daripada pihak-pihak tertentu bahawa kerajaan merupakan dalang kepada kebanjiran PATI dalam negeri ini.

Untuk merungkai penyebab utama kebanjiran PATI di Sabah, maka dengan itu diwujudkan (RCI PATI) pada ogos 2012. Kini tugas RCI itu telahpun tamat dan laporannya sudah diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong, yang kemudiannya YDP Agong menyerahkan laporan itu kepada kerajaan untuk dibentangkan di dewan rakyat.

Kini, semua rakyat Sabah sedang menunggu pembentangan RCI itu; dan sedang menunggu apakah yang terkandung dalam laporan tersebut; apakah sama dengan persepsi kebanyakan rakyat termasuk penulis? Sebenarnya, punca kedatangan PATI hanya berasaskan kepada dua faktor yang disebut pada muqaddimah tulisan ini; namun faktor-faktor lain juga akan terungkai melalui RCI itu.

Sebagai rakyat, baik yang menyokong pembangkang atau kerajaan sebenarnya dirugikan oleh kebanjiran PATI; antaranya kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk membina depo-depo penahanan, menanggung makan minum semasa di depo-depo dan juga terpaksa berbelanja bagi proses penghantaran pulang ke negara-negara di mana PATI itu berasal.

Kerajaan juga berdepan dengan gejala sosial yang ditimbulkan oleh PATI, selain penyebab berbagai sumber penyakit yang sebenarnya sudah tidak menjadi apidemik dalam negara seperti polio; kusta dan tibi.

Selain gejala sosial PATI juga penyumbang kepada jenayah, jika dahulu di Sabah tiada yang mengenal apa itu menghisap gam, menghisap syabu, namun selepas kedatangan PATI, mereka membawa budaya itu; sehingga menjadi apidemik di negara ini.

Juga kegiatan pelacuran, jika pada tahun 70-an atau lebih awal daripada itu; para pelacur kebanyakannya berketururan tionghua, di mana mereka ditempatkan di hotel-hotel di Bandar; namun akibat kedatangan PATI, pelacur bukan lagi di monopoli oleh kaum tionghua, malah diambil alih oleh PATI. Kini, di mana-mana sahaja apabila berlakunya penangkapan, warganegara yang paling ramai terlibat dalam kegiatan pelacuran ini rata-rata adalah berasal daripada Filipina atau Indonesia.

Kebanjiran PATI sebenarnya menjadi cabaran kepada pihak kerajaan, apatah lagi apabila perkara itu dipolitikkan kononnya itu sebenarnya sebagai usaha untuk mendapatkan kuasa.
Sebenarnya jika diteliti dengan lebih terperinci, penduduk secara amnya bertambah dengan drastik; namun daripada purata  jumlah  pengundinya amat sesuai dengan pertumbuhan penduduk secara natural; itupun jika dibandingkan dengan jumlah yang layak mengundi; hanya 70 peratus secara keseluruhan; ertinya masih ramai penduduk asal yang belum mendaftar untuk mengundi.

Sistem pengundian negara kita berasaskan kepada Pusat Daerah Mengundi; walaupun banyak sangat dakwaan yang mengatakan bahawa terdapat PATI yang ikut mengundi namun setakat ini tiada laporan daripada mana-mana pihak bahawa terdapatnya pengundi yang tidak dikenalpasti ikut mengundi di mana-mana pusat pengundian. Dalam erti kata lain kehadiran PATI tidak sedikitpun menjadi punca kepada parti-parti yang menang; kerana tidak ada PATI yang ikut mengundi.

Sebenarnya, kebanjiran PATI bukan penentu kepada kemenangan sesebuah parti; kemenangan sesebuah parti ditentukan  oleh rakyat tempatan sendiri.

Sebagai contoh, jika benar PATI dapat menentukan kemenangan sesebuah parti seperti mana yang didakwa selama ini, USNO tidak akan kalah demikian juga BERJAYA; dan jika benar bahawa PATI boleh menjadikan sesebuah parti menang, maka BN yang ditunjangi UMNO pada PRU-1994 pasti menang, kerana pihak-pihak tertentu menuding jari kepada UMNO/USNO yang kononnya mendaftarkan PATI sebagai pengundi.

Kemenangan BN bukan kerana PATI, akan tetapi peralihan selera rakyat tempatan daripada PBS kepada BN pada PRU-1999. Dengan adanya peralihan selera itu, maka PBS memutuskan untuk kembali kepada pangkuan BN pada tahun 2002, menjelang PRU-11.

Pendek kata, kehadiran PATI tidak menambah jumlah rakyat yang mengundi sebaliknya menambah jumlah rakyat negeri ini. Dengan pertambahan itu; bukan sahaja membebankan kerajaan dalam perancangan pebelanjaan juga mempengaruhi stok keperluan rakyat seperti keperluan asas dan sebagainya.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook