Latest News

Saturday 3 January 2015

SABAH MODEL 1MALAYSIA


TAHUN 2015 bakal menguji kepimpinan negara dengan pelbagai cabaran dan kemungkinan baik cabaran dalam bidang politik mahupun ekonomi. Tahun baru yang penting bagi Malaysia di pentas dunia pastinya menguji dan mengujakan kesemua pihak.


Dalam bidang ekonomi, antara yang bakal menarik perhatian ialah pelaksanaan GST. Ramai masih tertanya-tanya, bagaimana senario ekonomi kesan dari pelaksanaannya terutama kepada kumpulan bawahan.



Malaysia juga menjadi perhatian di arena antarabangsa apabila menjadi satu daripada lima anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta menjadi sebagai Pengerusi ASEAN. Kedua-dua jawatan tersebut penting bagi menguji kewibawaan kita sebagai negara membangun di serantau dunia.



Sementara di gelanggang politik pula, suhunya dijangka panas pada 2015 dengan cerita-cerita seperti 1MDB Bhd, kisah Undang-undang Hudud (yang akan dibawa usul ke Parlimen), penghakiman kes liwat Anwar Ibrahim, pertelingkahan Pakatan Rakyat dan model politik baru UMNO serta perdebatan antara kumpulan liberal dan juga ekstremis Melayu.



Di Sabah, tahun 2015 juga memungkinkan beberapa cabaran termasuk dari segi aspek keselamatan dan kesudahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Kedua-dua hal ini saling berkaitan kerana menyentuh isu kebanjiran pendatang asing.



Dengan mengambil kira kemungkinan-kemungkinan itu adalah penting bagi rakyat seluruhnya mengukuhkan kesatuan selain kesederhanan dalam pendekatan. Ini kerana perpaduan dan kesederhanaan menjadi kunci penyelesaian terhadap setiap cabaran.



Dalam menghadapi cabaran ekonomi misalnya, kita hendaklah bijak dan senantiasa berhemah dalam berbelanja dengan menyusun keutamaan perbelanjaan asas. Kita sudah maklum mengenai pelaksanaan GST yang akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015. Maka sewajarnya, kita seharusnya membuat persediaan awal menghadapinya. Hari ini masih belum terlambat untuk merangka pelan tindakan masing-masing. Dielakkan membuat perbelanjaan atau pembelian yang tidak perlu dan ditangguhkan sementara sehingga sudah jelas kelihatan kesan-kesan GST kelak.



Dalam konteks politik hari ini adalah dirasakan bahawa suasananya sudah jauh berbeza berbanding dahulu. Kita kena terima hakikat ini. Rakyat sudah pandai menilai dan bukan mudah dipengaruhi. Maka, pemimpin kena lebih matang dalam menghadapi keadaan politik seperti ini.



Dalam konteks kita di Sabah, geopolitiknya juga berlainan dengan di Semenanjung. Perpaduan kita tetap utuh biarpun mempunyai kepelbagaian kaum etnik dan kepercayaan. Tidak wujud pergeseran antara kaum dan agama. ITULAH KEUNIKAN BUDAYA DI SABAH!



Sabah adalah model gagasan 1Malaysia yang sebenar! Dalam setiap keluarga di sini pasti akan ada bermacam latar belakang dan kepercayaan dan terikat kukuh. Antaranya disebabkan perkahwinan campur yang menjadi lumrah sejak dahulu lagi.


Oleh yang demikian sebagai orang Sabah, kita wajib untuk terus bersatu walau apa pun perbezaan kita. Kita perlulah bersama-sama menangkis fahaman ekstrem dalam agama dan kaum. Kita lakukan ini adalah demi untuk pertahankan keharmonian di antara kita.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook