Latest News

Thursday 1 January 2015

Tahun 2015 - Harapan Datuk Musa


HARAPAN YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman sempena tahun baru ini, agar semua rakyat merapatkan barisan berganding tangan untuk memastikan kemajuan negeri berterusan.

Setiap rakyat perlu mengelak daripada pemikiran sempit kerana Sabah dan rakyatnya perlu bekerjasama dengan negeri-negeri lain di negara ini mahupun di dunia amnya.

Para pemimpin segenap lapisan juga digesa proaktif menjaga kebajikan rakyat. Kakitangan kerajaan juga digesa terus memberi perkhidmatan yang  terbaik bagi melaksanakan segala perancangan yang telah dibuat.

Musa melalui perutusan tahun baru beliau juga menyatakan bahawa Sabah akan terus berkembang dan menjadi sebuah negeri yang semakin kompetitif dalam Malaysia dan di rantau ini.

Musa juga memberi maklum balas bahawa semua inisiatif pembangunan negeri seperti Program Transformasi Ekonomi, Koridor Pembangunan Sabah selain hala tuju pembangunan negeri semuanya dalam landasan yang betul.

Untuk kemajuan perekonomian, kerajaan negeri juga menumpukan kepada sektor pelancongan dan logistik, sektor minyak dan gas serta kelapa sawit bagi penjanaan pendapatan selain membuka peluang kepada para peniaga dan peluang-peluang pekerjaan.

Menurut Musa, Sabah akan terus bersama Persekutuan Malaysia. Kerajaan Persekutuan adalah kerajaan yang mendengar suara rakyat dan mengambil langkah perlu dalam memastikan keperluan rakyat dipenuhi, terutamanya di Sabah.

Demi kemajuan rakyat Sabah berterusan, Ketua Menteri juga mengesa jangan ada rakyat yang terjebak dengan dakwaan liar bahawa rakyat Sabah tidak dilayan dengan adil!

Gesaan pihak-pihak tertentu untuk membawa Sabah keluar daripada Malaysia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan.

Mewujudkan suasana tegang dan meracuni fikiran rakyat supaya menentang Kerajaan Persekutuan akan hanya menggugat keharmonian serta meminggirkan rakyat daripada agenda mewujudkan Sabah yang lebih maju dan lebih baik.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook