Latest News

Sunday 5 April 2015

Hubungan Tun Dr. Mahathir & Dato' Seri Najib Perlu Dipulihkan


1. TIADA pihak dalam Bn yang mendapat keuntungan daripada pertikaian antara mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak, melainkan pihak pembangkang.

2. Perlu ada pihak yang berwibawa menjambatani agar kedua belah pihak bertaut semula demi Umno (Bn) dan negara.

3. Mungkin mantan Perdana Menteri mempunyai sebab-sebab tertentu, mengapa beliau menyerang bertali arus kepada Perdana Menteri. Sebagai mantan Perdana Menteri selama 22 tahun dan Presiden Umno, sudah tentu beliau melihat sesuatu yang tidak kena.

4. Sebagai mantan Perdana Menteri dan negarawan, mungkin Tun Dr. Mahathir merasa terkilan, apabila teguran-teguran beliau tidak diperhalusi dan tidak diperbetulkan.

5. Pembangkitan isu 1MDB, yang menjadi senjata utama mantan PM itu menyerang Najib perlu ditangani dengan cepat kerana isu itu mengena dengan perasaan rakyat jelata.

6. Seharusnya pihak Jabatan Perdana Menteri khususnya Perdana Menteri memperjelas kedudukan sebenar 1MDB kepada Tun Dr. Mahathir secara terperinci, jika boleh melalui perjumpaan empat mata.

7. Oleh kerana isu 1MDB tidak dijelaskan dengan terperinci kepada mantan PM itu, kini Tun Dr. Mahathir memperlebar jangkauan kritikan beliau kepada peribadi Najib, termasuk mempersoalkan dari punca mana anak tiri beliau, Riza Aziz mendapat sumber kewangan ratusan juta untuk membeli harta di New York, menerbitkan filem Hollywood berkos ratusan juta ringgit akan tetapi filem itu tidak mendapat sambutan aka rugi.

8. Kedudukan kewangan 1MDB termasuk menyimpan di Singapura, kedudukan aset dan hutang perlu dijelaskan sendiri oleh Perdana Menteri kepada Tun Dr. Mahathir walaupun Najib tidak mempunyai kewajiban kepada tindakan itu.

9. Seyogianya, Najib dapat mempergunakan Tun Dr. Mahathir untuk menangkis serangan pihak pembangkang berhubungan dengan 1MDB, jika dari awal-awal lagi satu penjelasan terperinci diberikan.

10. Sebenarnya hubungan antara Najib dan Tun Mahathir adalah masalah teknikal yang boleh dirungkai dan diselesaikan.

11. Pihak kepimpinan Bn perlu melihat cara terbaik membaiki pulih hubungan antara Najib dan Tun Dr. Mahathir. Mungkinkah pemimpin seperti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman boleh menjadi perantara?
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook