Latest News

Monday 27 April 2015

PENCAPAIAN DATO' SERI NAJIB RAZAK



SEJAK kebelakangan ini, terdapat terlalu banyak usaha untuk memperkecilkan kemampuan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional di dalam menguruskan ekonomi negara. Dalam kebanyakan keadaan kritikan yang dibuat adalah tidak bersandarkan fakta tetapi hanya merupakan permainan angka dan persepsi semata-mata.

Terbaru adalah tulisan Dato' Dr. Mohd Khairudin Aman Razali yang cuba mempertikaikan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mengaitkannya dengan keborosan kerajaan berbelanja.

Anti Fitnah Sabah (AFS) suka menjelaskan bahawa tulisan Dr. Mohd Khairuddin ini mempunyai beberapa kecacatan kerana dia tidak benar-benar memahami. Antaranya seperti berikut:

i. kronologi perubahan defisit perbelanjaan negara sejak tahun 1997 sehingga sekarang;
ii. takrif hutang negara yang terbaru dan sebab-sebab negara berhutang serta konteksnya bagi memastikan pertumbuhan positif ekonomi negara;
iii. sumber pendapatan sebenar negara, termasuk kekhilafannya bila menyebut bahawa petroleum adalah penyumbang lumayan pendapatan negara sedangkan Malaysia merupakan negara pengimport bersih petroleum; dan
iv. manfaat sebenar GST kepada rakyat, peniaga dan negara berbanding SST termasuk kefahaman tentang bagaimana GST menghalang kehilangan pendapatan oleh peniaga melalui shadow economy dan sebab Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan kutipan GST.
Masalah negara memang bermula daripada tahun 1997 dan 1998 akibat krisis matawang dan berlanjutan sampai ke hari ini.

Kedudukan defisit bajet negara selepas krisis ekonomi tahun 1998, surplus 2.4% dan berada pada paras 5.3% pada tahun 2003.
Defisit perbelanjaan negara meningkat selepas krisis ekonomi tahun 2008 dan memberi kesan kepada perbelanjaan negara tahun 2009 pada kadar 4.6% dan tahun 2010 pada 6.7%.
Pada tahun 1998, krisis mata wang menyebabkan pertumbuhan ekonomi kita menguncup sehingga negatif 7.4 % ( -7.4% ). Bagi menyokong kembali ekonomi yang menguncup di bawah paras negatif tentulah memerlukan perbelanjaan yang banyak dan atas dasar itu perbelanjaan negara mengalami defisit.
Selain membantu pertumbuhan ekonomi, negara juga perlu mengekalkan jumlah subsidi yang telah diberi kepada rakyat termasuk subsidi minyak. Pada tahun 1997 dan 1998, subsidi hanya sekitar RM934 juta sahaja tetapi pada tahun 2014, jumlah subsidi sudah meningkat kepada RM40 bilion iaitu meningkat sebanyak RM39 bilion.

Subsidi tahun 1997 adalah sebanyak RM934 juta dan pada tahun 1998 dianggarkan RM895 juta. Manakala subsidi tahun 2013 adalah sebanyak RM43.3 bilion diikuti tahun 2014 sebanyak 40.5 bilion dan 2015 dianggarkan RM 37.6 bilion.
Pada tahun 1996 hutang negara sekitar RM247 billion tetapi selepas krisis matawang 1997/98 terdapat satu lagi krisis ekonomi global iaitu pada tahun 2008 yang menyebabkan ekonomi negara juga terjejas dan mengalami penguncupan pertumbuhan sekitar negatif 1.5% ( - 1.5% ).
Sekali lagi kerajaan terpaksa menyokong ekonomi negara dan defisit ketika itu (tahun 2010) adalah 6.7%. Ketika ini Dato' Seri Najib baru sahaja mengambil alih pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Badawi.
Pada tahun 2011, iaitu hanya selepas dua (2) tahun Dato' Seri Najib menjadi Perdana Menteri defisit sebanyak 6.7% pada tahun 2010 dikurangkan kepada sekitar 5.4% sahaja. Selain berjaya mengurangkan defisit sebanyak 1.3%. Dato' Seri Najib juga berjaya memastikan pertumbuhan ekonomi negara melonjak daripada 1.5% pada tahun 2009 kepada 7.4 %. Satu pencapaian yang amat baik di saat banyak negara Eropah yang jatuh bankrap
Selepas 2009, memang hutang meningkat tetapi ekonomi juga meningkat dan defisit perbelanjaan tahunan menurun.
Terbaru, hutang luar negara bertambah sebab takrif baru hutang luar negara IMF yang jadikan pegangan modal asing juga sebagai hutang luar negara. Kenapa hutang luar negara bertambah begitu banyak? Ini kerana ketika ini pasaran bon dan sukuk Malaysia adalah paling besar di Asia Tenggara dan ketiga terbesar di Asia. Ramai pelabur asing yang membeli bon dan sukuk terbitan Malaysia dan jumlah ini turut dikira sebagai hutang negara.
Walaupun tercatat Hutang Luar Negara sebanyak RM744 bilion, namun 42% adalah hutang bukan pemastautin, 37% hutang swasta, 19% lain-lain dan Hutang Luar Negara Kerajaan Persekutuan hanya 2%, iaitu RM16.8 bilion sahaja.
Adalah silap untuk mengatakan berlaku ketirisan dan pembaziran yang berleluasa pada zaman Dato' Seri Najib kerana defisit perbelanjaan menurun setiap tahun sejak beliau mengambil alih pentadbiran iaitu dari 6.7% pada tahun 2009 selepas itu ia turun kepada 5.4% (2010); 
seterusnya 4.8% (2011);
4.5% (2012);
3.9% (2013);
3.5% (2014); dan 
dalam bajet 2015, 3.0%. 

Bagaimanapun, sasaran ini dinaikkan sedikit kpd 3.2% semasa ucapan pengubahsuaian bajet 2015, kesan daripada penurunan harga minyak dunia dan bencana banjir besar.
Penurunan defisit perbelanjaan dari 6.7% pada tahun 2009 kepada 3.2% pada tahun 2015 menunjukkan Dato' Seri Najib bersungguh-sungguh berusaha membetulkan kembali perbelanjaan negara.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook