KEDUDUKAN hutang 'Kerajaan Persekutuan' kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.
Pada akhir 2014, keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan
di dalam negeri dan luar pesisir, adalah berjumlah RM582.8 bilion atau 54.5%
daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Daripada jumlah tersebut, 97.1% atau RM566.1 bilion
adalah hutang domestik, sementara bakinya RM16.8 billion atau 2.9% merupakan
hutang luar pesisir.
Kerajaan terus komited dalam memastikan paras hutang
Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55% daripada KDNK.
Selaras dengan keperluan pelaporan hutang di peringkat
antarabangsa mengikut konvensyen standard Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),
kedudukan hutang luar negeri Malaysia dikira berdasarkan definisi baharu yang
terdiri daripada pinjaman luar pesisir oleh Kerajaan Persekutuan, perusahaan
awam dan sektor swasta; dan pegangan sekuriti hutang, deposit dan kredit
perdagangan dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin (foreign holders).
Pada akhir 2014, jumlah hutang luar negeri Malaysia
berada pada paras RM744.7 bilion atau 69.6% daripada KDNK.
Pada tahun 2013, hutang luar negeri ini mencatat RM696.6
bilion atau 70.6% daripada KDNK. Walaupun jumlah hutang luar negeri meningkat
sederhana sebanyak 6.9%, namun peratusannya kepada KDNK adalah lebih rendah
berbanding tahun 2013.
Daripada jumlah ini, sebanyak 42% merupakan pegangan
sekuriti hutang dan deposit oleh bukan pemastautin; 37% adalah hutang sektor
swasta; 10% hutang perusahaan awam; 9% adalah kredit perdagangan dan lain-lain
pinjaman serta 2% adalah hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan.
Hutang luar negeri berdasarkan definisi baharu
mencerminkan paras pegangan sekuriti hutang dan deposit dalam denominasi
ringgit oleh bukan pemastautin yang tinggi, yang mencakupi lebih 40% daripada
jumlah keseluruhan hutang luar negeri.
Ini adalah disebabkan oleh kedalaman (depth), keterbukaan
(openness) dan daya tarikan (attractiveness) yang lebih meluas terhadap pasaran
kewangan Malaysia. Pasaran kewangan Malaysia telah berkembang dengan pesat
hasil daripada kemajuan dalam liberalisasi sektor kewangan.
Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa hutang luar
pesisir bagi Kerajaan Persekutuan adalah kecil, hanya meliputi 2% daripada
jumlah keseluruhan hutang luar negeri tersebut. Hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan kekal tidak
berubah dan rendah pada paras RM16.8 bilion atau 1.6% daripada KDNK.
Kementerian Kewangan Malaysia
12 Mac 2015
12 Mac 2015
0 comments:
Post a Comment