Latest News

Monday 30 May 2016

TADAU KAAMATAN


BAGI mereka yang bukan etnik Kadazandusunmurut (KDM), pemahaman berkaitan pesta itu dikaitkan denganl limpahan hasil padi. Selepas limpahan hasil padi, maka disambutlah dalam bentuk pesta sebagai 'tanda kesyukuran'. Kini, apakah sambutan itu boleh dikaitkan dengan limpahan hasil padi? Ataukah ianya hanya sambungan kepada simbolik tradisi tersebut? 

Secara garis besarnya, Tadau Kaamatan kini tidak boleh lagi dihubungkan dengan limpahan hasil padi kerana hasil padi tidak sebanyak lagi seperti mana asas kepada pesta itu. Sabah, sudah merupakan pengimport beras untuk keperluan penduduk. Hasil padi hanya 30 peratus daripada keperluan rakyat. Ertinya, pesta yang dikaitkan dengan hasil limpahan padi tidak lagi relevan. Malah, pelukis grafik bagi tujuan iklan yang dipasang di merata tempat menggantikan padi dengan gandum menandakan ada yang tidak menghayati sambutan pesta itu yang berasaskan hasil padi.

Berasaskan keadaan dan perkembangan masa, Tadau Kaamatan bukan lagi dikaitkan dengan hasil limpahan padi tetapi ianya menjadi pesta sambungan tradisi atas sebab pesta itu merupakan perantara rakyat sebagai media perpaduan antara berbagai etnik. Kini, pesta itu bukan sahaja melibatkan etnik KDMR malah semua lapisan masyarakat.

Tadau Kaamatan,  di mana puncaknya  setiap tanggal 30 hingga 31 Mei di mana permulaannya setiap 1 Mei adalah pesta terlama di dunia dan ada yang mengatakan 'pesta termahal'. 

Pada tahun 1977, abang kepada Datuk Maximus Ongkili, James Ongkili pernah berkata, Tadau Kaamatan perlu dijadikan sebagai 'Pesta Rakyat' kerana pesta itu bukan lagi terhad kepada kaum KDMR sahaja tetapi kesemua lapisan masyarakat di Sabah dan amnya Malaysia. Namun, kenyataan itu menjadi perbalahan sehingga menyebabkan Parti Berjaya, di mana James sebagai pemimpin kalah dalam pilihan raya tahun 1985.

Mengingat kepada keadaan itu, maka Tadau Kaamatan terus dipanggil Tadau Kaamatan tanpa mengubahnya atau menokok tambah dan terus mengguna pakai asas kepada pesta itu iaitu pengorbanan seorang gadis bagi tujuan meningkatkan hasil padi bagi keperluan penduduk atau rakyat.

Sejak tahun 80-an, selepas sahaja Hongkod Koisaan (Kadazandusun Cultural Association - KDCA) siap dibina, sambutan puncak Tadau Kaamatan diadakan di bangunan itu. Tadau Kaamatan tahun 2016 juga bertempat di bangunan tersebut. Tadau Keaamatan 2016 pada kali ini adalah dengan tema “Pibabasan Om Piombolutan” atau “Keamanan dan Persahabatan”. Merujuk kepada tema itu, Tadau Kaamatan tahun ini membawa mesej bahawa masyarakat Malaysia yang majmuk diharap dapat bersama-sama menghayati erti sebenar perpaduan agar keamanan dan persahabatan kekal berpanjangan.

Mengingat kepada pesta itu, Ketua Menteri Sabah mengajak semua masyarakat di Sabah betapa pentingnya perayaan Tadau Kaamatan (Pesta Kaamatan). Menurut Musa, masyarakat di Sabah harus mencerminkan tentang pentingnya Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai untuk merapatkan barisan dan mengukuhkan perpaduan demi kemakmuran negara. Ertinnya, pesta itu telah menjurus kepada perayaan yang berkait rapat dengan perpaduan dan kemakmuran.

Apa yang perlu diakui bahawa keluasan tanah sawah di Sabah semakin berkurang. Jika dahulu, kawasan daerah Penampang, Tuaran dan Papar merupakan pengeluar padi tetapi kini tidak lagi. Sebabnya, sawah-sawah tersebut telah bertukar kepada bangunan-bangunan kekal. Sementara keluasan tanah sawah berkurang, berlawanan dengan pertambahan penduduk, maka “hasil limpahan” padi yang menjadi asas kepada Tadau Kaamatan, lama-kelamaan tidak diguna pakai lagi sebaliknya apa yang diguna pakai adalah “semangat” kepada pesta itu.

Oleh kerana hanya semangat padi yang melekat pada pesta itu, maka penjelasan dan penerangan mengenainya dari masa ke semasa perlu dijalankan kerana untuk mengelak penggantian padi kepada gandum seperti mana berlaku pada papan iklan yang dipasang untuk menandakan bermulanya sambutan pesta tersebut.

Di Malaysia, seharusnya ikatan perpaduan rakyat tidak akan longgar berikutan banyaknya pesta atau sambutan perayaan yang boleh mengikat kerjasama dan perpaduan rakyat. Perayaan seperti Hari Raya Puasa (Aidil Fitri), Hari Raya Haji (Aidil Adha), Hari Natal, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Tadau Kaamatan memungkinkan seluruh rakyat saling bertemu dan saling bersalaman. Sebenarnya, keadaan inilah menjadikan Malaysia sebagai negara yang berpaksikan kepada perbedaan di mana perbedaan itu dijadikan sebagai 'satu kekuatan'.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook