Latest News

Sunday 7 August 2016

IMPAK TAMBAHAN DUN SABAH, MEDIA SOSIAL & PARTI BARU SHAFIE APDAL PADA PRU-14 SABAH


TAMBAHAN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Sabah akan dibentangkan pada 8 Ogos ini. Diura-urakan bakal terdapat 13 tambahan DUN baru walaupun sebelum ini hanya 7 kerusi.

Pada 8 ogos ini akan diketahui dengan pasti jumlah tambahan DUN baru dan diharapkan juga akan diketahui kawasan mana yang akan mendapat tambahan tersebut. Oleh kerana adanya tambahan baru DUN, maka senario keputusan PRU-14 kembali pada keadaan segar, ertinya, tiada standard boleh digunakan sebagai perbandingan.

Jika tambahan DUN itu menjadi rasmi dan jumlahnya 13 kerusi, maka jumlah DUN Sabah akan menjadi 73 kerusi berbanding 60 pada ketika ini.

Pada PRU-13, daripada 60 DUN, BN Sabah menguasai 48 kerusi manakala pembangkang 12 kerusi. 

Berasaskan pengamatan lapangan pada masa ini, jika jumlah DUN tetap dengan jumlah yang sediakala, dikatakan BN Sabah berdepan dengan senario sengit kerana didapati kawasan putih hanya berjumlah 29 DUN, kelabu sejumlah 15 dan hitam 16 kerusi. Namun, dengan persempadanan baru seperti yang dikatakan pada awal tulisan ini, tiada aras pengukur yang boleh dijadikan perbandingan.

Sudah tentu tambahan baru DUN bagi Sabah yang bakal diguna pakai pada PRU-14 akan mengubah komposisi atau jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti-parti dalam Barisan Nasional (BN).

Parti UMNO yang merupakan parti tulang belakang, sudah tentu akan mempertahankan 32 kerusi yang ditandingi dan jumlah itu akan bertambah berikutan beberapa kawasan baru dikatakan berada di kawasan di mana majoriti ahli parti itu atau kawasan bumiputera Islam.

Jika benarlah 13 DUN baru bakal diwujudkan, sekurang-kurangnya 5 kawasan itu bakal ditandingi UMNO. Melihat kepada jumlah DUN yang bakal dipertandingkan, 37 kerusi kedudukan majoriti mudah manakala kuasa 2/3 (49 kerusi). 

Jika UMNO mendapat tambahan 5 kerusi, ertinya jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti itu adalah 37 kerusi. Ini bermakna pada kedudukan itu, parti tunjang itu boleh menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah tanpa parti-parti lain jika menang keseluruhan yang ditandingi. Namun, berasaskan senario politik Sabah, UMNO berdepan dengan keadaan sengit khususnya, di kawasan-kawasan Pantai Timur ekoran pergolakan politik dalaman sehingga MP Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga mantan Naib Presiden UMNO keluar daripada parti untuk menubuhkan parti baru agar beliau boleh dilantik Ketua Menteri Sabah jika berjaya menumpaskan BN Sabah.

Dalam sejarah persempadanan baru pilihan raya, biasanya kemenangan di pihak Barisan Nasional atas sebab berkurangnya unsur “sabotaj” antara pemimpin kerana pemimpin yang saling bersaing untuk menjadi calon, dipilih sebagai calon. Melalui keadaan demikian, maka yang muncul adalah kerja berpasukan untuk mencapai kemenangan.

Jika kita lihat bagaimana sesebuah kawasan di mana sebelumnya merupakan wilayah BN, namun boleh kalah dalam sesebuah pilihan raya antara sebabnya adalah berlakunya persaingan pemimpin dalam kawasan tersebut. Melalui persaingan itu, maka timbul “cantas mencatas” dan sabotaj yang akhirnya parti menjadi korban. Melalui persempadanan semula, sekurang-kurangnya mengurangi pergeseran antara pemimpin kerana masing-masing mendapat peluang.

Masalah dalam politik, sebenarnya bukan disebabkan parti yang dinaungi tetapi terletak kepada pemimpin yang tidak memberi peluang kepada pemimpin lain. Atas sebab itu, kita dapati di banyak kawasan, ada wakil rakyat berpenggal-penggal walaupun setiap penutup penggal, tiada perubahan di kawasan yang diwakilinya. Dengan situasi demikian, maka timbullah perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin separti. 

BN Sabah perlu mengambil iktibar pada PRU-13 lalu di kawasan-kawasan di mana BN kalah selain isu semasa juga faktor dendam rakyat terhadap wakil rakyat yang mewakili parti yang tidak membawa kemajuan di kawasan masing-masing.

Pada PRU-14, selain faktor kepartian, faktor pemimpin, faktor kemajuan dan faktor yang menghantui Barisan Nasional adalah isu perkauman dan agama yang diitiupkan pembangkang ditambah dengan isu fitnah penaklukan oleh pemimpin Malaya.

Pembangkang kembali memainkan 'Sabah for Sabahan' bagi menggambarkan bahawa Sabah kini dikuasai Malaya. Dengan sebab itu, mereka mahu rakyat bangkit menjatuhkan kerajaan BN dengan menuduh kerajaan yang sedia ada kononnya menjadi keldai kepada pemimpin Malaya.

Mungkin ramai kalangan pemimpin Barisan Nasional menganggap bahawa isu yang dimainkan pembangkang adalah perkara remeh kerana ianya tidak dilaporkan melalui media cetak. Namun, apa yang pasti pembangkang mempergunakan media sosial sebagai perantara utama dengan rakyat.

Oleh kerana pembangkang mempergunakan media sosial sebagai perantara, maka kerap kita dengar para pemimpin kerajaan berkata, bahawa rakyat jangan percaya atau terpengaruh dengan dakyah atau propaganda yang dimuat naik. Sebaliknya, perlu meneliti sebarang maklumat atau berita daripada pemimpin atau kerajaan.

Sebenarnya, rakyat dalam keadaan dilema, apakah mempercayai maklumat yang disebarkan melalui media sosial? Kerana media itu merupakan jaringan termurah dan tersedia untuk mereka pada setiap waktu. Manakala berjumpa pemimpin tidak semudah yang dikatakan. 

Memang diakui, semua media arus perdana di negara ini menyediakan berita dalam talian. Namun, standard berita atau maklumat yang dilaporkan berbentuk laporan aktiviti seseorang pemimpin atau laporan berkaitan dengan polisi kerajaan yang semuanya bersifat searah, bukan interaktif.

Pembangkang memanfaatkan kelemahan itu dan atas sebab itulah mereka menyediakan laskar media alternatif untuk membanjiri media dalam talian dengan berbagai dakyah, dakwaan, fitnah, putar belit atau meminjam kata-kata Datuk Seri Salleh Said Keruak menyebarkan surat layang moden.

Tidak dinafikan, ramai pemimpin Sabah tidak memberi perhatian kepada isu-isu yang dimainkan di media alternatif. Atas sebab itu, mereka memilih untuk mengenepikan media itu sebaliknya lebih yakin kepada media cetak atau media arus perdana. Sebenarnya, mereka lupa bahawa media alternatif atau media sosial merupakan perantara untuk menyampaikan “surat layang” dan surat layang itu diulang-ulang sehingga dianggap sebagai benar dan bukan sahaja dalam lingkaran pengamal media sosial, bahkan melebar di luar. Sebagai contoh, semasa PRU-13, isu yang dimainkan di media sosial berkaitan undi 40 ribu Bangladesh. Akibat daripada isu itu, maka berlaku kesepakatan antara pengundi untuk menyokong pembangkang pada banyak kawasan kerana mendakwa BN menipu untuk menang.

Ramai pemimpin BN alpa bahawa media sosial adalah media online, bererti maklumat yang disampaikan serta-merta. Manakala media cetak atau media arus perdana adalah media penyedia maklumat tertangguh atau berita basi. Sebenarnya, media cetak di zaman ini hanya sesuai untuk perantara penyampai ilmu atau peristiwa yang dijadikan bahan sejarah dan bukannya penyampai berita untuk mempengaruhi emosi manusia.

Harus diakui bahawa suasana politik sekarang, lebih dikuasai oleh media alternatif berbanding media cetak atau arus perdana. Sebagai contoh terkini, bagaimanakah isu 1MDB diledakkan melalui media alternatif, yakni laman Sarawak Reports.

PRU-14 akan datang, sudah pasti akan dipenuhi oleh berbagai dakwaan berpunca daripada media sosial kerana saban hari berbagai dakwaan baru muncul yang meliputi semua aspek, di mana dakwaan-dakwaan itu boleh mempengaruhi emosi rakyat.

Para pemimpin pembangkang beserta penyokong mereka, mempergunakan pembunuhan karakter terhadap pemimpin utama kerajaan. Saban hari, dimuat naik berbagai dakwaan khususnya dakwaan yang menyebabkan kebencian seperti penguasaan projek-projek, kekayaan peribadi, pemilikan tanah, konsensi kayu balak dan rumah-rumah agam atau kereta-kereta mewah.

Adalah bohong jika tiada rakyat yang terpengaruh dengan dakyah mereka ini. Manusia mempunyai kelemahan kerana manusia tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi. Apabila emosi manusia tersentuh, fantasi menjadi realiti. Atas sebab itu, apabila emosi terganggu, maka manusia bertindak! Dalam dunia politik, keadaan inilah yang kerap berlaku. Akibatnya, seseorang pemimpin boleh kalah dalam sesuatu pertandingan termasuk dalam pilihan raya.

Melalui media sosial atau media alternatif yang tersedia di mana-mana, setiap rakyat sekarang dengan mudah menjadi wartwan dengan memuat naik berbagai berita atau cerita dengan ulasan masing-masing. Bagi penyokong kerajaan, sudah tentu menulis berbagai berita baik atau cerita sebenar yang berlaku. Manakala pembangkang pula memutar belit cerita seperti mana yang berlaku terhadap fitnah gambar antara Datin Seri Rosmah Mansor dengan DYMM Sultan Pahang.

Acara-acara perayaan seperti sambutan Hari Raya, tidak terlepas dengan dakyah pembangkang apabila memuat naik gambar-gambar pemimpin dengan juadah yang sedap-sedap. Kemudian gambar itu digandingkan dengan makanan rakyat yang hanya dalam bungkusan lalu mengulas dengan tulisan yang mengarah kepada kebencian.

Nampaknya, bermula dari sekarang, penggunaan media sosial akan mewarnai PRU-14 dan jika pemimpin BN mahu menang dalam penggunaan media sosial, maka para pemimpin diminta untuk lebih interaktif dengan pengguna media sosial dengan memuat naik berbagai cerita benar dan menarik bermula dari sekarang.

Manakala kewujudan parti baru yang bakal diterajui Datuk Seri Shafie Apdal akan berimpak pada kawasan-kawasan di Pantai Timur Sabah sahaja khususnya Semporna dan Lahad Datu. Kewujudan parti baru tersebut boleh mengurangi majori undi di kawasan-kawasan yang bakal ditandingi UMNO. Namun, diperkirakan masih belum boleh sampai ke tahap mengalahkan calon-calon parti UMNO. Tetapi, apa yang bakal berlaku seperti mana kemenangan parti DAP dan PKR di Semenanjung kerana sokongan penyokong parti PAS? Maka, itu yang bakal berlaku di Sabah khususnya di kawasan-kawasan yang tidak ditandingi oleh UMNO.

Kewujudan parti yang bakal diterajui Shafie akan menguntungkan parti-parti pembangkang jika berlaku pertembungan satu lawan satu dengan BN. Kemungkinan besar kawasan yang bermajoriti kaum KDM dan Cina, bakal dimenangi parti-parti pembangkang. Keadaan ini tidak terkecuali di kawasan DUN yang bakal diwujudkan yang bakal ditandingi calon bukan daripada UMNO.

Nampaknya, pemimpin BN Sabah kena bekerja keras bermula dari sekarang khususnya menangkis isu-isu yang diviralkan melalui media sosial terutama berkaitan dengan pembunuhan karakter, keagamaan dan sentimen suku kaum.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook