Latest News

Monday 19 September 2016

APA MANFAAT SABAH DALAM MALAYSIA?

 TULISAN DI BAWAH ADALAH/FAKTA/IDEA/PENERANGAN/PENCERAHAN/PENDAPAT/MAKLUM BALAS PENULIS TERHADAP ISU:

(i) Either Najeeb and Musa are both demented or they both lied through their teeth... Oleh FB Page The Voice Of Borneo (screenshot)
(ii) Sabah dapat 'manfaat'... Oleh FB Ds Chazy Chaz (screenshot)
(iii) Sabah dapat manfaat dari Penubuhan Malaysia antaranya... Oleh FB Page Tulun Sabah (screenshot)

SEBENARNYA jika dibandingkan di antara keadaan tahun 1963 berbanding sekarang, manfaat Sabah dalam Persekutuan Malaysia sangatlah besar. Daripada negeri daif serba kekurangan, kadar buta huruf hampir 90 peratus, perhubungan jalan yang serba kurang, bangunan-bangunan usang termasuk di Api-Api atau Jesselton (kini Kota Kinabalu) dan tiadanya sekolah untuk pembelajaran kecuali di sekolah-sekolah sukarelawan. Namun selepas 53 tahun, semua kawasan telah terdapatnya sekolah, jalan perhubungan, pejabat daerah, klinik kesihatan atau hospital, malah kini dibangunkan UTC di pelusuk tempat di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Keningau dan di kawasan-kawasan lain yang akan menyusul.

Pada tahun 1963, kadar kemiskinan Sabah hampir 70 peratus manakala Malaya dalam lingkungan 40 peratus. Sesuai dengan perkembangan masa sudah tentu melalui program pembasmian kemiskinan, maka Malaya sampai dahulu ke destinasi menghapuskan kadar kemiskinannnya. Manakala Sabah kadar kemiskinan kini masih dalam lingkungan 6 hingga 8 peratus.

Manfaat Sabah dalam Persekutuan Malaysia apabila kos pendidikan, keselamatan, kesihatan dan pembinaan jalan raya telah ditanggung Persekutuan. Tiga bidang itu merupakan bidang yang memerlukan kos yang sangat tinggi. Jika Sabah sendiri menanggung kos tiga bidang itu sejak tahun 1963, sudah tentu infrastruktur dalam ketiga-tiga bidang itu tidak seperti ada pada masa sekarang ini. Oleh kerana kalau dikira kos yang terlibat walaupun 80 peratus sumber Sabah seperti menebang hutan dan hasil minyak, jika Sabah yang mengoperasikannya belum tentu dapat membiayai kos infrastruktur yang sedia ada.

Jangan memberi komen pada sesuatu yang sudah terjadi! Misalnya, industri minyak kerana sebelum industri itu menjadi maju seperti yang ada sekarang telah puluhan bilion ringgit digunakan sebagai pelaburan untuk sampai ke tahap yang ada sekarang.

Bagi yang pernah hidup pada awal kemerdekaan, masih panjang umur dan masih hidup sampai sekarang pasti dapat membezakan keadaan sebenar! Pada tahun 70-an, Sabah menebang hutan kerana itu sahaja sumber pendapatan negeri berikutan kelapa sawit dan minyak masih belum menjadi sumber pendapatan. Bayangkan selama lebih 30 tahun Sabah menebang hutan untuk membangunkan negeri, yakni tahun 1994 kadar kemiskinan Sabah di atas 30 peratus, malahan tahun 2009 masih pada paras 19 peratus. 

Kadar kemiskinan Sabah berkurang sehingga 8.1% pada tahun 2011 apabila kerajaan Persekutuan benar-benar menyalurkan berbagai peruntukan kepada negeri untuk membangun dan pembasmian negeri. Kemajuan Sabah sangat tersendat pada tahun 1985 hingga tahun 1994 apabila kerajaan Persekutuan tidak memberikan peruntukan lebih kepada Sabah. Pada tempoh itu, Persekutuan memberikan apa yang sepatutnya Sabah terima. Namun keluasan Sabah, peruntukan itu tidak dapat menampung kos pembangunannya.

Sejak tahun 1963, Sabah diperintah oleh parti tempatan dan terakhir adalah parti PBS sehingga tahun 1994. Jika Parti UMNO tidak menjadi tunjang kerajaan negeri, Sabah tidak akan mampu mengumpul kewangan negeri sehingga RM3 bilion dan tidak akan mampu mengemukakan bajet sehingga RM4 bilion. 

Manfaat Sabah dalam Malaysia sebenarnya cukup besar! Akan tetapi pada masa kini apabila ramai rakyat yang telah menjadi tersangat pandai, maka mereka membanding-bandingkan keadaan di Malaya dan Sabah. Mereka tidak memikirkan bahawa Malaya lebih dahulu maju berbanding Sabah. Biasanya, kalau berlari dengan kelajuan yang sama, individu yang bertolak dahulu akan sampai dulu. Manakala individu yang bertolak kemudian akan sampai kemudian. Oleh kerana ramai rakyat Sabah tidak lagi berfikiran rasional, maka mereka terfikir manfaat itu datang bergolek, sedangkan manfaat itu sebenarnya bergantung masa dan perancangan.

Tahukah anda jika benar PATI menjadi pengundi Sabah, mengapa Sabah hanya ada 995,700 pengundi untuk seluruh negeri setakat 2016? Berasaskan kepada jumlah pengundi itu, maka rakyat Sabah sebenarnya hanyalah berjumlah 2.5 juta. Namun, berasaskan statistik Sabah mempunyai penduduk 3.2 juta. Ini bermakna 700 ribu penduduk itu hanya merupakan penduduk akan tetapi tiada peranan dalam penentuan kerajaan kerana bukan 'pengundi'. Keberadaan rakyat asing itu sebenarnya menjadi sebahagian pengguna dan boleh menyebabkan perniagaan rakyat Sabah mempuyai pelanggan.

Sebagai sebuah negara membangun, wajib memikirkan setiap negeri itu perlu maju. Hal ini kerana melalui kemajuanlah negara mendapat pendapatan melalui percukaian. Sebab itu, Persekutuan membina Lebuhraya Pan Borneo agar lebuh raya itu dapat mewujudkan pekan-pekan baru dan pekan-pekan itu seterusnya dapat mewujudkan aktivti ekonomi yang akhirnya mampu untuk membayar cukai kepada kerajaan semula. Tidak ada negara di dunia ini tidak mahu memajukan negara atau negerinya kerana hanya melalui kemajuanlah negara akan bertambah maju dan terus maju.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook