Latest News

Wednesday 7 September 2016

Di Sebalik Bersatunya Tun Dr. Mahathir x Datuk Seri Anwar Ibrahim


KINI, jelas bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak yakin dengan parti baru yang ditubuhkan oleh beliau yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Bagi memperkuatkan hala tuju parti baharu tersebut, maka perlu menumpang kepopularan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melalui cara demikian, parti mantan Perdana Menteri itu boleh mendapat undi banyak pada PRU-14 akan datang.

Memang tujuan penubuhan parti baru tajaan Tun Dr. Mahathir itu adalah untuk mendapat sokongan penyokong UMNO. Namun, melihat sambutan daripada penyokong atau ahli UMNO terhadap parti itu sangat dingin, maka mantan Perdana Menteri itu khuatir bahawa parti tajaan beliau tersebut bukan sahaja gagal mendapat undi, malah kemungkinan besar calon-calonnya bakal kehilangan wang pertaruhan.

Tun Dr Mahathir melihat melalui kerjasama dengan Datuk Seri Anwar sahaja boleh mempengaruhi penyokong pembangkang mengundi parti tajaan beliau itu kerana jika mengharapkan sokongan penyokong parti UMNO seperti mana tujuan penubuhan parti itu, pasti tidak bakal berlaku.

Pada PRU-13, telah berlaku kesepakatan antara DAP-PKR-PAS (Pakatan Rakyat) bertanding satu lawan satu dengan calon-calon UMNO/BN. Melalui cara itu, maka parti pembangkang menang 89 kerusi Parlimen. Namun, pada PRU-14 akan datang tidak berlaku lagi kesepakatan seumpama itu kerana parti PAS sudah tidak bersama dengan Pakatan Rakyat dan kini digantikan pula dengan Pakatan Harapan (DAP-PKR-Amanah). Parti Amanah merupakan serpihan parti PAS. 

Pakatan Harapan, tidak akan dapat mengulangi pencapaian Pakatan Rakyat sebabnya parti Amanah tidak akan mampu menguasai atau menarik penyokong PAS, seperti mana terbukti pada PRK berkembar Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak. Sementara parti BERSATU masih belum ada rekod kerana masih mentah dan belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Walaupun dalam politik semuanya boleh berlaku, namun melihat perlakuan parti DAP terhadap parti PAS pasti tidak memungkinkan kerjasama seperti pada PRU-13 yang lalu berikutan PAS tidak akan lagi masuk ke lubang ular yang sama. Parti PAS, memang sejak bekerjasama dengan parti DAP dan PKR hanya menguntungkan kedua-dua parti tersebut. Sebaliknya, parti PAS senantiasa menjadi parti tunggangan.

Jikapun berlaku kerjasama antara DAP-PKR-Amanah-BERSATU dengan mengemukakan calon tunggal berdepan dengan UMNO/BN dan parti PAS bersendirian, maka UMNO/BN akan mendapat undi pengundi tradisinya demikian juga PAS. Jika demikian, keadaannya boleh diduga awal-awal lagi iaitu pemenang adalah calon-calon UMNO/BN seperti mana berlaku pada PRK berkembar baru-baru ini.

Bagi UMNO/BN, kehadiran parti tajaan Tun Dr. Mahathir bekerjasama dengan parti-parti pembangkang membuatkan pengundi atas pagar menyokong UMNO/BN. Ini kerana mereka menilai bahawa kerjasama itu hanya bermatlamat peribadi yang bukannya untuk membela rakyat jelata! Rakyat atas pagar mengetahui bahawa penubuhan parti baru tajaan Tun Dr. Mahathir itu hanya untuk kepentingan peribadi serta bukannya atas asas kepentingan rakyat.

Rakyat negara ini sudah masak dan tahu benar bahawa usaha Tun Dr. Mahathir yang bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sudah tentunya bersama anak mantan Perdana Menteri itu Dato' Seri Mukhriz Mahathir adalah semata-mata untuk menjatuhkan Dato' Seri Najib Razak. Apabila usaha mereka gagal, maka mereka membentuk parti baru yang kononnya sebagai cara menjatuhkan Dato' Seri Najib Razak dengan mengalahkan UMNO/BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Politik tanah air, tidak sama lagi dengan keadaan tahun 2008 dan 2013. Politik tanah air sekarang, semacam telah kembali ke keadaan tahun 2004. Rakyat telah bosan dengan retorik pembangkang yang lebih 10 tahun. Rakyat sedar bahawa pemimpin pembangkang apabila mendapat kuasa, rupanya rakyat menjadi mangsa, malahan lebih teruk lagi. Rakyat mengambil iktibar tindakan para pemimpin DAP di Pulau Pinang dan Selangor. Malah, di Selangor kini keistimewaan Melayu/Bumiputera dalam pemilikan hartanah telah ditarik balik.

Rakyat menyedari bahawa kerajaan UMNO/BN senantiasa dinamik dan senantiasa mengikut aspirasi rakyat. Kesediaan pemimpin UMNO/BN mendengar degup jantung rakyat termasuklah penglibatan rakyat merumuskan bajet tahunan negara, merupakan tindakan proaktif pemimpin UMNO/BN dan tentunya mendapat sambutan baik. Sememangnya, sambutan baik itu adalah daripada rakyat majoriti yakni terjemahan melalui PRN Sarawak 2016 dan PRK berkembar Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Keputusan Dato' Seri Najib Razak memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bukan sahaja diterima baik oleh golongan sasar, juga mendapat pujian daripada pakar-pakar ekonomi baik dalam negara mahupun luar negara. BR1M, merupakan kaedah memperkuatkan daya beli golongan sasar dan pengaruh bergandanya terhadap ekonomi peruncitan yang sangat ketara dan besar.

BR1M, memang tidak disukai oleh kumpulan Tun Dr. Mahathir kerana pendekatan mantan Perdana Menteri itu berorientasi kepada projek-projek mega yang hanya menguntungkan para kontraktor atau syarikat besar. Berapa ramaikah kontraktor dan pemilik syarikat berbanding golongan sasar BR1M yang berjumlah hampir 8 juta orang? Apa yang menarik, golongan sasar itu adalah pengundi sendiri dan merupakan ketua sesebuah keluarga.

Melihat pendekatan yang dilakukan kerajaan UMNO/BN yang diketuai Dato' Seri Najib Razak, kumpulan pembangkang khususnya Tun Dr. Mahathir seakan-akan tidak ada isu yang bakal dijual kepada rakyat. Atas sebab itu, kumpulan itu mempergunakan taktik memesongkan rakyat melalui berbagai dakwaan rasuah khususnya berkaitan 1MDB dan derma RM 2.6 bilion kepada Dato' Seri Najib Razak.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook