Latest News

Tuesday 13 September 2016

Sampai Bila 1MDB Dipolitikkan?


TIDAK habis-habis isu 1MDB dipolitikkan.  Mungkin wang atau harta yang terlibat dalam syarikat itu begitu besar sekali? Malah, mantan Menteri Kewangan II, Dato' Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meletakkan jawatan pada Jun lalu mengakui bahawa isu 1MDB sudah menjadi cerita dunia. Tambah kata beliau, pemandu teksi di Australiapun berminat mengetahui isu syarikat Kementerian Kewangan itu.

Dalam negara, pembangkang masih menggunakan isu 1MDB sebagai bahan politik. Mereka itu memberi berbagai ulasan khususnya berkaitan laporan DOJ Amerika Syarikat yang mengetengahkan isu 1MDB sebagai satu skandal terbesar kewangan di abad ini.

Ironinya, hingga setakat ini belum ada mahkamah di dunia menerima kes 1MDB sebagai kes mahkamah untuk dibicarakan kecuali perbalahan antara syarikat itu dengan IPIC Abu Dhabi berkaitan jaminan bon di mahkamah timbang tara antarbangsa. Namun, mahkamah itu bukan bertindak sebagai mahkamah yang termasuk pengertian mahkamah sebenar kerana keputusan mahkamah timbang tara itu bukan termasuk keputusan mahkamah sebenar.

Berbagai cerita berkaitan 1MDB. Antara cerita yang sangat menarik apabila sejumlah wang didapati dalam akaun khas milik Dato' Seri Najib Razak di AmBank, Kuala Lumpur. Apabila wang itu didedahkan, maka ramai pihak menuding jari bahawa wang itu adalah wang 1MDB walaupun kemudiannya wang itu adalah sumbangan keluarga di Raja Arab Saudi. Walaupun wang itu merupakan sumbangan, namun sebahgaian besar wang itu dikembalikan kepada penyumbangnya walaupun tiada dokumen atau fakta menunjukkan bahawa wang itu telah dikembalikan. Dikatakan daripada 681 juta dolar, hanya 50 juta dolar digunakan oleh penerima sumbangan semasa PRU-13 lalu.

Walaupun berbagai dakwaan berkaitan kebocoran wang 1MDB, namun setakat ini tiada kenyataan daripada syarikat itu bahawa ada yang syarikat yang telah lesap kecuali pertikaian antara syarikat itu dengan IPIC. Kalau membaca atau mengikuti laporan kewangan syarikat itu termasuklah laporan PAC Dewan Rakyat, tiada sebarang wang syarikat itu yang lesap melainkan urusniaga syarikat itu berjalan seperti dalam MOA artikel syarikat itu walaupun terdapatnya kelemahan dari segi keputusan oleh beberapa individu yang mengurus syarikat itu. Namun, kelemahan itu tidak menjurus kepada masalah besar pengurusan syarikat. Setidak-tidaknya itulah yang dilaporkan oleh PAC Dewan Rakyat.

Jadi, di bahagian mana syarikat itu dijadikan sebagai bahan perbincangan masyarakat dunia termasuklah pemandu teksi di Australia seperti mana kata Dato' Seri Ahmad Husni Hanadzlah? AFS tidak mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu akan tetapi, mengapa minat terhadap 1MDB begitu meluas sekali sehingga menjadi perhatian semua peringkat? Hanya satu sebab mengapa ianya menjadi minat semua orang kerana laporan terhadap syarikat itu disensasikan sedmikian rupa sehingga ianya menjadi sesuatu yang ajaib di mata mereka. Adalah biasa jika sesuatu yang ajaib dilaporkan, sudah tentunya menarik minat semua pihak. Laporan berkaitan syarikat itu dilakukan secara “out of proportion” oleh berbagai pihak khususnya oleh MP Petaling Jaya dan MP Pandan kemudiannya disertai oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Laporan berkala oleh Sarawak Reports, The Wall Street Journal, malah The New York Times, menjadikan isu 1MDB sebagai bahan berita dunia. Tujuan kepada laporan berkala itu kerana 1MDB merupakan bahan yang boleh menjadi bahan berita yang dapat menaikkan jualan atau permintaan terhadap syarikat akhbar tersebut. Adalah biasa bagi surat khabar apabila sesuatu produk atau cerita menjadi carian pembaca, maka laporan atau siaran berkaitan produk/cerita itu diulang-ulang dengan berbagai cerita tokok tambah untuk menarik pembaca. Keadaan inilah yang berlaku terhadap 1MDB sehingga ianya menjadi bahan cerita di seluruh dunia.

Tidak dinafikan ekoran pengangkatan 1MDB di media antarabangsa, Malaysia menjadi terkenal. Nama Perdana Menteri Malaysia bukan sahaja diingati oleh penduduk dunia, malah sudah terhafal seperti mana laporan bersiri yang dijalankan oleh media antarabangasa berkaitan Idi Amin Dada, Saddam Hussien dan Muammar Gaddafi. Masyarakat antarabangsa hafal nama-nama pemimpin itu sesuai dengan acuan yang dibuat oleh media antarabangsa. Nama Malaysia dan Dato' Seri Najib Razak menjadi terkenal di pelosok dunia “with a wrong reasons”.

Kalau melihat dari segi kenyataan daripada kerajaan Malaysia dan syarikat itu, sememangnya tiada sesuatu yang bersifat “gigantic” kerana syarikat itu hanya bermodalkan RM1 juta apabila ditubuhkan pada tahun 2009. Mungkin, syarikat itu menjadi luar biasa apabila mampu mendapatkan pinjaman 42 ribu kali ganda berbanding modal asal sebabnya belum ada catatan mana-mana syarikat yang kita ketahui mampu mendapat sumber kewangan yang begitu besar jika dinisbahkan dengan modal asal.

Di Malaysia, walaupun 1MDB merupakan sumber berbagai cerita negatif, namun Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat itu terus berjalan umpamanya seperti program jemaah haji Yayasan 1MDB. Saban tahun, tidak kurang 1 ribu jemaah haji ditaja oleh syarikat itu. Ertinya, jika sesebuah syarikat mampu memberikan CSR, bermakna syarikat itu mendapat keuntungan dalam urusniaganya. Jika urusniaga untung, apa masalah dengan hutang? Ini bermakna, hutang mampu dibayar! Benar, bukan? 

Jika demikian, maka sebenarnya tidak ada masalah dalam syarikat itu tetapi ianya masih dipoilitikkan. Sebab utamanya adalah hanya isu sahaja iaitu hal yang boleh mengecam Dato' Seri Najib Razak. Fikir-fikirkanlah!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook