Latest News

Wednesday 7 September 2016

Tun Dr. Mahathir x Datuk Seri Anwar Ibrahim: Impak Kepada UMNO/BN


APA yang jelas, kepimpinan Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berlalu. Kepimpinan mereka tidak lagi sesuai di era ini.

Kepimpinan Tun Dr. Mahathir, sebenarnya sudah dinoktahkan sebaik sahaja beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri pada tahun 2003. Bukti bahawa kepimpinan beliau sudah sampai ke noktahnya, apabila cubaan menjadi wakil 7 di Bahagian UMNO yang pernah beliau pimpin lebih 20 tahun, tidakpun dipilih oleh perwakilan.

Kemudian itu, kepimpinan beliau sudah dnoktahkan apabila cubaan anaknya, Dato' Seri Mukhriz Mahathir merebut jawatan parti semuanya berakhir kegagalan. Mukhriz dilantik ke jawatan MB Kedah bukan kerana kedudukannya dalam parti tetapi ihsan daripada Perdana Menteri/Presiden parti.

Bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, meskipun setiap kali bertanding di kawasan tradisinya, Permatang Pauh, beliau menang namun parti yang didokongnya tidakpun mendapat sokongan untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan. Pada PRU 2008, di mana parti pembangkang berjaya merampas Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak, yakni adalah merupakan pencapaian tertinggi Anwar di luar parti UMNO. Kemudiannya, melalui PRU-13 meskipun undi popular menyebelahi pembangkang dan pertambahan jumlah kerusi di peringkat Parlimen, namun pembangkang kalah di Kedah dan tidak dapat mengulangi kejayaan di Perak.

Melihat kepada dua PRU 2008 dan 2013, memang itulah pencapaian maksima Anwar sebagai pemimpin. Pencapaian itu tidak akan berulang lagi! Sebabnya tidak berulang lagi adalah seperti mana terbukti pada PRN Sarawak 2016 dan selepas itu PRK berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, terbukti parti pembangkang kalah dengan teruk sekali.

Kerjasama antara Tun Mahathir Mohamad x Anwar Ibrahim, tidak akan memberi impak kepada Barisan Nasional kerana kerjasama itu boleh menyebabkan impak berangkai kepada parti pembangkang sendiri. Selain impak berangkai, rakyat di atas pagar juga melihat bahawa dua pemimpin itu adalah pemimpin yang membawa pendekatan menghalalkan cara. Mereka boleh bersatu hanya untuk mencapai tujuan peribadi, bukannya untuk rakyat jelata.

Rakyat perlu menilai selama 18 tahun, dalam benak Tun Dr. Mahathir, Anwar adalah seorang yang tidak boleh menjadi pemimpin kerana mempunyai moral yang rendah. Namun, kerana matlamat menghalalkan cara, Tun Dr. Mahathir boleh hadir berjumpa Anwar di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada Isnin bertarikh 5 September yang lalu, kononnya menyokong de facto leader PKR itu kerana bertindak menghalang pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah berkuatkuasa bermula 1 Ogos 2016 melalui campur tangan mahkamah. Akta MKN telah diluluskan oleh Dewan Rakyat akhir tahun 2015 dan digazetkan sebagai undang-undang pada Jun 2016.

Rakyat negara ini sebenarnya telah maklum bahawa tindakan Tun Dr. Mahathir berseteru dengan Perdana Menteri, hanya kerana Perdana Menteri tidak memberi sokongan kepada anaknya menduduki jawatan penting dalam parti untuk menjamin masa depan anaknya agar boleh dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Rakyat negara ini juga tahu bahawa desakan mantan Perdana Menteri agar Tun Abdullah Ahmad Badawi perlu meletakkan jawatan hanya kerana pembatalan pembinaan jambatan bengkok antara Johor dan Singapura kerana pembatalan projek itu, menyebabkan kroni mantan Perdana Menteri kehilangan projek berbilion ringgit.

Tun Dr. Mahathir berharap, jika Dato' Seri Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, maka Perdana Menteri ke-6 itu merasa terhutang budi dan akan ikut telunjuk apa yang dikehendaki mantan Perdana Menteri tersebut. Namun, apa yang berlaku Dato' Seri Najib Razak mempunyai pendekatan sendiri untuk membangun dan memerintah negara. Sebenarnya, perkara itu tidaklah sangat membuatkan mantan Perdana Menteri itu marah. Akan tetapi, yang membuatkan beliau benar-benar marah apabila Mukhriz kalah merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Di atas kertas memang Mukhriz dikatakan dengan mudah boleh mengalahkan YB Khairy Jamaluddin kerana Khairy telah hilang tempat bersandar akibat ayah mentuanya tidak lagi berkuasa. Pertandingan yang pada mulanya hanya dua penjuru, kemudiannya dihangatkan apabila Dato' Seri Dr. Khir Toyo menyertai pertandingan sehingga menyebabkan Mukhriz kehilangan peluang untuk menang. Pada pertandingan itu, Mukhriz mendapat undi ke-3 selepas Khairy dan Dato' Seri Dr Khir Toyo.

Rakyat negara ini memang melihat bahawa atas desakan Tun Dr. Mahathir terhadap Khairy sebagai Ketua Pemuda dan seorang Ahli Parlimen, julung kalinya seseorang yang berjawatan Ketua Pemuda Umno tidak dilantik di kabinet persekutuan, sebaliknya calon yang kalah serta Naib Pemuda pula dilantik ke jawatan Timbalan Menteri.

Tun Dr. Mahathir tidak puas dengan kedudukan anaknya sebagai Timbalan Menteri dan atas sebab itu, mendesak agar Mukhriz bertanding di peringkat DUN untuk membolehkan dilantik sebagai Menteri Besar. Atas desak Tun Dr. Mahathir, maka menjelang pembuangan undi pada PRU-13, Perdana Menteri mengumumkan jika BN menang di Kedah, maka Mukhriz akan dilantik sebagai Menteri Besar.

Dengan kedudukan sebagai Menteri Besar, Mukhriz berfikiran besar meskipun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti hasil pertandingan, tetapi beliau mencalonkan diri merebut jawatan Naib Presiden. Dalam persaingan yang sengit, meskipun beliau mendapat undi popular berbanding Datuk Seri Hishammuddin Hussein, namun dari segi undi Bahagian, beliau kalah. Kekalahan itu menimbulkan kemarahan Tun Dr. Mahathir kerana Mukhriz langsung tidak mendapat undi bahagian di Pahang, iaitu negeri Perdana Menteri. Melalui keputusan itu, menunjukkan bahawa Dato' Seri Najib Razak langsung tidak menyokong Mukhriz.

Melihat kepada  kegagalan Mukhriz menduduki sebarang jawatan dalam parti, adalah tanda bahawa beliau tidak akan bakal mewarisi kepimpinan negara. Tun Dr. Mahathir sedar bahawa beliau tidak mempunyai masa yang panjang menyaksikan anaknya dijamin kedudukannya dalam kerajaan. Maka, atas sebab itu, beliau menyusun strategi untuk memaksa Dato' Seri Najib Razak melepaskan jawatan kerana melalui cara itu, maka Mukhriz akan mendapat peluang yang lebih baik kerana para pemimpin yang dipergunakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri telah akur dengan perancangan tersebut.

Tun Dr. Mahathir memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memang satu kesepakatan atau pendekatan biasa apabila Perdana Menteri meletakkan jawatan, maka pemimpin nombor dualah yang mengambil alih kedudukan. Muhyiddin memang merasakan melalui strategi itu sahajalah beliau boleh menjadi Perdana Menteri kerana apabila menunggu proses biasa, yakni menunggu Perdana Menteri melepaskan jawatan adalah pendekatan yang sukar kerana dari segi umur, Dato' Seri Najib Razak jauh lebih muda berbanding beliau. 

Orang politik, kalau tidak mengimpikan kedudukan tertinggi dalam politik, maka pemimpin itu bukanlah ahli politik. Perasaan itu sememangnya hadir juga di lubuk hati Muhyiddin. Atas sebab itu, apabila Tun Dr. Mahathir mencadangkan pendekatan itu, maka Muhyiddin bersetuju. Muhyiddin bergerak dari dalam manakala Mahathir pula dari luar. 

Justeru itu, untuk menjatuhkan Dato' Seri Najib Razak, maka perlu satu isu besar diwujudkan. Maka, dipilihlah isu 1MDB. Apabila 1MDB menjadi pilihan, maka terbongkarlah isu derma RM2.6 bilion dan perkara remeh-temeh syarikat milik Kementerian Kewangan tersebut.

Rancangan dimuktamadkan! Berbagai pihak terarah kepada 1MDB dan masa telah ditentukan untuk bertindak. Tuhan masih menyebelahi Najib sebelum tindakan memerangkap beliau melepaskan jawatan, beliau telah bertindak mendahului “kumpulan” itu. Pada tarikh 28 Julai 2015, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal dipecat daripada jawatan serta Peguam Negara diganti serta-merta. Terselamatlah Dato' Seri Najib Razak! Pun demikian, “kumpulan” yang mahu Dato' Seri Najib Razak meletakkan jawatan, masih tidak berhenti. Pada 20 Julai 2016, DOJ Amerika Syarikat mengeluarkan satu laporan sivil berkaitan kehilangan wang 1MDB dan mempergunakan istilah Malaysian Offical One (MO1). Kumpulan itu dengan berbagai kaedah, terus menyerang MO1 sehingga ada kumpulan mahasiswa berdemonstrasi mendesak menangkap MO1.

Untuk menyertai PRU, maka ditubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), akan tetapi penubuhan parti itu tidak mendapat sambutan. Tun Dr. Mahathir melihat bahawa BERSATU semacam tiada keupayaan dan atas sebab itu, untuk menghimpun tenaga dengan tanpa pilihan, perlu juga berjumpa Anwar Ibrahim. Dalam politik, memang bersatu merupakan cara untuk menang! Tun Dr. Mahathir, berfikiran hanya bersatu dengan Anwar dan semua pembangkang, maka parti-parti mereka akan mampu bersaing dengan UMNO/BN kerana tanpa bersatu, lupakanlah sahaja hasrat untuk mengalahkan UMNO/BN. Tindakan Tun Dr. Mahathir bersatu dengan Anwar, bukanlah penyelesaian kepada masalah pembangkang. Malah, ramai penganalisis menduga, cara itu menjadikan pembangkang tambah berantakan!

Jika penyokong pembangkang berantakan, apa bezanya dengan rakyat atas pagar? Rakyat atas pagar melihat, tindakan Tun Dr. Mahathir bersatu dengan Anwar merupakan tindakan terdesak, malah membuktikan bahawa mantan Perdana Menteri itu mempunyai perjuangan menghalalkan cara semata-mata untuk mencapai tujuan peribadi.

Sebenarnya, negara ini tidak memerlukan kepimpinan Tun Dr. Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi kerana kepimpinan mereka sebenarnya sudah lama berlalu. Kepimpinan mereka tidak sesuai lagi dengan era masa kini. Era masa kini, memerlukan kepimpinan seperti mana yang dilakukan oleh Dato' Seri Najib Razak. Kepimpinan yang proaktif kepada keperluan rakyat majoriti dan bukannya seperti pendekatan Tun Dr. Mahathir dan Anwar semasa mereka berkuasa yakni hanya berbentuk glamour dan mahu pengiktirafan dunia melalui projek-projek mega yang hanya menguntungkan para kontraktor dan peniaga golongan atasan.

Pendekatan Dato' Seri Najib Razak yang berorientasikan massa seperti pembelaan kumpulan sasar melalui berbagai kaedah seperti BR1M, 1Azam, MESEJ dan pendekatan menyeluruh, sebenarnya pendekatan yang diperlukan rakyat negara ini agar semua lapisan rakyat boleh menikmati kekayaan negara.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook