Latest News

Monday 10 October 2016

DANA PERSEKUTUAN Untuk Jabatan Air Negeri Sabah


HAKIKATNYA, dana untuk prasarana luar bandar seperti Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah daripada Persekutuan selain daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), juga daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan jika dana itu berbentuk pinjaman akan bersumber daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Apa yang ingin diketahui rakyat, apakah semua dana itu disalurkan terus ke Jabatan Air Negeri Sabah dan hanya dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri?

Melihat kepada besarnya hasil tangkapan SPRM kerana terbongkarnya monopoli pemberian projek-projek Bekalan Air Luar Bandar, maka penjelasan berkaitan dana mana yang dimonopoli perlu segera dihebahkan kepada rakyat agar rakyat mengetahui bahawa prasarana itu tidak dapat dinikmati atas sebab jenayah rasuah terancang sehingga membantutkan pembinaan infrastruktur Bekalan Air Luar Bandar.

Di mana-mana kawasan di Sabah, bukan sahaja luar bandar akan tetapi juga di kawasan bandar mengeluh berkaitan dengan bekalan air yang kerap terganggu selain banyak kawasan langsung tidak mempunyai bekalan meskipun dikatakan “jaringan’ perpaipan telah dipasang.

Kalau membaca akhbar tempatan, kononnya, monopoli projek yang dilakukan oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah adalah berpunca daripada dana KKLW bermula tahun 2010 yang berjumlah lebih RM3.3 bilion. Laporan akhbar itu, bagaimanapun disanggah mantan Menteri KKLW kerana menurut beliau  dana Persekutuan bagi tujuan pembinaan prasarana bekalan air bukan seluruhnya daripada KKLW melainkan bersumber daripada kementerian-kementerian lain.

SPRM pada 4 Oktober lalu telah menahan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah beserta ratusan juta harta bergerak, tidak bergerak, wang tunai termasuk wang asing juga akan didedahkan sedikit masa lagi, sejumlah wang yang disimpan di luar negara selain harta yang dibeli oleh dua pegawai kanan Jabatan Air Negeri Sabah itu.

Melihat kepada kesimpangsiuran maklumat, maka hanya melalui penjelasan daripada SPRM sahaja dapat merungkai dana mana yang dimonopoli sehingga menyebabkan penyelewengan. Jika demikian, maka rakyat terpaksa menunggu lama mengetahui maklumat mengenainya kerana maklumat seumpama itu akan didedahkan semasa perbicaraan di mahkamah. Jika demikian, boleh-boleh sahaja memakan masa yang panjang!

Jika pendedahan berkaitan skandal rasuah Jabatan Air Negeri Sabah tidak dapat dirungkai sebelum PRU-14, maka perkara itu akan menjadi isu besar baik isu kepada BN mahupun pemimpin pembangkang khususnya Datuk Seri Shafie Apdal. Atas sebab itu, demi keadilan, maka seharusnya SPRM mempercepatkan siasatan dan seterusnya menghadapkan para tertuduh ke mahkamah dengan pertuduhan yang jelas termasuk perincian pertuduhan supaya rakyat tidak tersalah anggap.

Memang tiada siapa-siapa yang dapat mempengaruhi SPRM, namun, demi kesamarataan mendapatkan maklumat, maka agensi itu perlu bertindak proaktif supaya tiada pihak yang dirugikan atau teraniaya.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook