Latest News

Saturday 15 October 2016

Jenayah Rasuah Jabatan Air Negeri Sabah: Nama Lim Beng Lam menjadi isu


PELANTIKAN Lim Beng Lam sebagai Penasihat Teknikal dan Kejuruteraan oleh Kerajaan Negeri Sabah di Kementerian Kewangan Negeri pada tahun 2015, selepas beliau bersara wajib semata-mata berasaskan kepada “good faith” kerana pengetahuan dan pengalaman beliau dalam pembinaan prasarana bekalan air bersih semasa bertugas di Jabatan Air Negeri Sabah. Jawatan terakhir beliau adalah Timbalan Pengarah di jabatan tersebut.

Nama Lim Beng Lam menjadi isu kerana dikatakan terbabit dalam kes jenayah rasuah Jabatan Air Negeri Sabah yang melibatkan dana persekutuan daripada KKLW berjumlah RM3.3 bilion dari tahun 2010.

Semalam, Jumaat 14 Oktober 2016, SPRM mendapat perintah tahanan reman selama 6 hari bagi maksud siasatan keterlibatan bekas Timbalan Pengarah tersebut dalam kes jenayah rasuah itu. Melalui siasatan awal, pihak SPRM tidak menjumpai wang tunai akan tetapi  merampas dua buah kenderaan iaitu sebuah pacuan 4 roda dan sebuah kereta Mercedes-Benz. 

Siasatan awal SPRM terhadap Pengarah dan Timbalan Pengarah jabatan itu serta abang kepada Timbalan Pengarah beserta Akauntan syarikat beliau bermula 4 Oktober lalu, SPRM telah merampas hampir RM200 juta wang tunai, harta bergerak, harta tidak bergerak termasuk barangan lifestyle seperti barangan kemas, jam tangan berjenama, beg wanita berjenama dan wang tunai dan juga harta di luar negara. Selain itu, SPRM juga telah merakamkan percakapan hampir 40 individu termasuk beberapa kakitangan jabatan itu sehingga ada daripada beberapa individu menyerahkan wang tunai RM1 juta yang dipercayai berpunca daripada dana yang sedang disiasat.

Penahanan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah itu sejak awal-awal lagi memang telah diduga selepas SPRM membuka kertas siasatan Ops Water setahun lalu. Namun, kerana “good faith” kerajaan terhadap beliau selain seseorang itu tidak bersalah sebelum mahkamah membuat keputusan bersalah, maka bekas Timbalan Pengarah itu dilantik dan diberi tanggungjawab bagi mengkaji kaedah meningkatkan Hasil Perolehan dari Sumber Air Negeri selain untuk mengurangkan Non Revenue Water (NRW) yang dialami kerajaan.

Penangkapan Lim Lam Beng adalah tiada hubungan dengan kedudukan baru beliau. Lagipun, kedudukan beliau di Kementerian Kewangan hanya sebagai Penasihat dan tidak mempunyai kuasa eksekutif.

Memang memeranjatkan berbagai pihak apabila Kerajaan Negeri melantik bekas Timbalan Pengarah tersebut pada tahun lepas sebagai Penasihat di Kementerian Kewangan berkaitan dengan prasarana air kerana menurut berbagai pihak, beliau itu seperti, "harapkan pagar, pagar makan padi". 

Walaupun timbul berbagai cerita berhubung dengan Timbalan Pengarah itu yang rata-ratanya daripada para kontraktor, namun Kerajaan Negeri belum menjumpai sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa berkaitan pembinaan prasarana bekalan air yang menggunakan dana kerajaan negeri. Atas sifat itulah kerajaan negeri melantik beliau sebagai Penasihat Teknikal dan Kejuruteraan di Kementerian Kewangan Negeri.

Penangkapan bekas Timbalan Pengarah itu yang dikaitkan dengan dana persekutuan bagi maksud pembinaan prasarana luar bandar Sabah sejak tahun 2010 menunjukkan Kerajaan Negeri tiada akses terhadap dana yang dikawal selia KKLW. Apapun perkembangan siasatan ini, orang awam akan mengetahui kelak, siapa sebenarnya yang menjadi petualang yang menyebabkan ketirisan luar biasa di Jabatan Air Negeri Sabah.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook