Latest News

Tuesday 11 October 2016

Jenayah Rasuah Jabatan Air Negeri Sabah: RAKYAT SABAH MARAH!


RAKYAT yang menderita kerana sekian lama berdepan dengan masalah air. Bukan sahaja marah apabila terbongkarnya skandal jenayah rasuah Jabatan Air Negeri Sabah yang membabitkan Pengarah dan Timbalan Pengarah jabatan tetapi juga mahu pihak SPRM mempercepat pendakwaan dan seterusnya mahkamah menghukum mereka yang terbabit agar wang dan harta yang berjaya dirampas boleh kembali kepada rakyat untuk memperbaiki prasarana bekalan air.

Apa yang perlu berkaitan dengan pembongkaran jenayah rasuah di Jabatan Air Negeri Sabah itu, di mana setakat ini berjaya merampas wang tunai, harta bergerak, harta tidak bergerak termasuk wang yang disimpan di luar negara mendekati RM200 juta. Selain mendapatkan semula semua wang yang sepatutnya hak rakyat, juga menghukum para individu yang merompak hak rakyat sejak tahun 2010 lagi. Jika rompakan itu membabitkan pemimpin, maka selain pemimpin itu dikenakan hukuman wajar juga SPRM mengenal pasti kekayaan pemimpin tersebut.

Cuba bayangkan, pemimpin kerajaan negeri, setiap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa bersilat kerana diasak wakil rakyat yang bertanyakan berkaitan bekalan air di kawasan masing-masing. Selepas bersilat sekian lama, kini terbongkar bahawa wang yang sepatutnya membina prasarana keperluan rakyat rupanya-rupanya telah dirompak. Hasil rompakan bukan calang-calang selain wang tunai yang terkumpul beserta barangan serta harta peribadi seperti rumah Pengarah setinggi tiga tingkat yang juga turut dilengkapi kemudahan lif.

Kes rasuah Jabatan Air Negeri Sabah bukan kes rasuah biasa. Kes rasuah itu merupakan satu kes jenayah rasuah terancang. Pihak SPRM sudah tentu mempunyai mekanismenya tersendiri untuk membongkar, mengenal pasti modus operandi yang digunakan sehinggakan semua pihak dapat dikaburi termasuk Ketua Audit Negara, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Bayangkan selama 6 tahun, pihak kerajaan Negeri terpaksa bersilat dengan berbagai alasan kepada rakyat yang menderita. Tetapi, rupa-rupanya, peruntukan yang diberikan kerajaan dimanipulasi sedemikian rupa bagi kepentingan peribadi. Kalaulah kes ini berlaku di negara China, sudah pasti mereka-mereka yang terlibat akan dihukum bunuh.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook