Latest News

Monday 3 October 2016

Kaedah Kalahkan BN?


NAMPAK gayanya pemimpin pembangkang Sabah menyedari bahawa hanya kesepakatan antara mereka menggunakan parti tempatan boleh memberi cabaran kepada BN Sabah pada PRU-14 nanti. Memang mereka menemukan kaedah itu kerana hanya menerusi cara itu pembangkang mampu menggugat kedudukan BN Sabah.

Menemukan kaedahnya masih belum cukup! Ianya perlu dilengkapi seperti mana kaedah BN mengatur parti-parti komponen yang bergabung. Tanpa mengikut langkah seperti mana dilaksanakan BN, maka kaedah yang disepakati mereka tidak akan ke mana-mana.

Para pemimpin pembangkang perlu sepakat bahawa kumpulan mereka perlu ada 'ketua pasukan'. Melihat kepada kumpulan para pemimpin pembangkang Sabah itu adalah terlalu banyaknya kapten. Kelemahan mereka, mereka tidak mampu menamakan seorang ketua pasukan secara mutlak. Berlainan dengan BN, kumpulan parti itu telah lama menamakan pemimpinnya. Kapten yang dinamakan itu bukan sahaja disokong, malahan satu kedudukan yang perlu dipertahankan yang bukan sahaja oleh para pemimpin tetapi juga oleh kesemua ahli.

Di Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman merupakan kapten pasukan. Telah terbukti sejak tahun 2003 lagi, Musa adalah kapten pasukan. Sebagai kapten, beliau membuktikan bahawa rakyat Sabah menyokong pasukan beliau. Tiga Pilihan Raya Umum, beliau telah bertindak sebagai kapten pasukan yang cemerlang. Ketiga-tiga PRU itu juga, rakyat Sabah telah memberikan kuasa 2/3 di Dewan Undangan Negeri.

BN Sabah dengan jelas mempunyai kapten pasukannya. Manakala pembangkang, masih terkial-kial mencari kapten mereka. Malah, di antara sekian ramai yang mengaku kapten pasukan, masing-masing mendakwa lebih unggul berbanding yang lain. Datuk Seri Shafie Apdal mengaku lebih unggul demikian juga Datuk Seri Lajim Ukin, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan juga Datuk Seri Yong Teck Lee masing-masing mengaku sebagai yang terbaik.

Walaupun pembangkang mampu bersepakat melantik seorang kapten tetapi rakyat majoriti melihatnya hanya sebagai sandiwara. Sebabnya, setiap pemimpin itu mempunyai sejarahnya sendiri. Rakyat Sabah akan senantiasa melihat jikalaupun mereka mampu melantik seorang kapten, ianya hanya untuk masa yang singkat. Mereka itu akan berpecah kerana setiap mereka mempunyai ideologi masing-masing. Ideologi yang bersifat peribadi tidak akan dapat mengikat mereka dalam masa yang panjang. Berbeza dengan BN, parti BN mempunyai hala tuju yang panjang. Setiap pemimpin mempunyai matlamat memajukan negeri dan rakyatnya, bukannya berasaskan kepada misi peribadi. Oleh kerana ketiadaannya misi peribadi, maka para pemimpin BN mampu berketuakan atau berkaptenkan hanya seorang dalam masa yang panjang.

Shafie, Lajim, Bumburing, Jeffrey dan Yong, semuanya mempunyai misi peribadi. Sebab itu, mereka tidak dapat bekerja di bawah kepimpinan orang lain. Sifat mereka hanya berketuakan diri mereka, maka kepimpinan mereka jadi afdal. Jika orang lain yang menjadi ketua, maka mereka hanya bermatlamat peribadi menjayakan misi masing-masing. Apabila keinginan mereka tidak lagi boleh dipenuhi, maka mereka bertindak menentang termasuklah menjadi 'musang berbulu ayam'. Dengan kedudukan demikian, maka akhirnya mereka terpaksa dipecat atau terpaksa keluar berikutan kehadiran mereka hanyalah merosakkan pasukan.

Rakyat Sabah yang mengikuti perkembangan politik Sabah di mana senarai pemimpin yang disebutkan hanya meramaikan pesta demokrasi pada PRU-14 akan datang. Mereka tidak akan ke mana-mana dan terlalu jauh bagi rakyat Sabah memberikan mereka mandat untuk memerintah negeri.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook