Latest News

Wednesday 5 October 2016

Mampukah Shafie Gabung Semua Pembangkang Sabah?


PEMIMPIN pembangkang Sabah terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik yang veteran, malah semua mereka itu lebih kanan berbanding Datuk Seri Shafie Apdal.

Datuk Seri Lajim Ukin, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Datuk Dr. Jeffery Kitingan dan Datuk Seri Yong Teck Lee, semuanya pemimpin kanan berbanding Shafie. Selain itu, masing-masing pemimpin itu mempunyai parti sendiri (parti Lajim bakal dinamakan).

Shafie, tidak boleh bersandar kepada pengalamannya menjadi Menteri atau Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan atau pernah menjadi Naib Presiden UMNO kerana keadaan sangat berbeza di peringkat negeri.

Dalam sejarah politik Sabah hanya dua (2) pemimpin yang mampu menumbangkan kerajaan yang sedang memerintah. Pemimpin itu adalah Allahyarham Tun Fuad Stephens melalui parti Berjaya tahun 1976 dan Tan Sri Pairin Kitingan melalui parti PBS pada tahun 1985.

Umum mengetahui bahawa setiap parti pembangkang di Sabah mempunyai matlamat sendiri iaitu parti tunjang kerajaan negeri jika pembangkang mampu menumbangkan BN Sabah. Parti tunjang bermakna pemimpinnya adalah Ketua Menteri Sabah.

Matlamat utama parti pembangkang Sabah, sebenarnya mahu menduduki jawatan Ketua Menteri. Sebab itulah mereka itu menubuhkan parti masing-masing. Mereka itu bukannya membela rakyat Sabah seperti mana diwar-warkan. Kenyataan membela rakyat Sabah atau Save Sabahan atau Sabah for Sabahan hanya merupakan gimik politik atau satu kenyataan retorik.

Berasaskan matlamat masing-masing parti pembangkang Sabah iaitu jawatan Ketua Menteri, maka pemimpin seperti Datuk Seri Shafie Apdal berdepan dengan kesukaran menyatukan parti-parti pembangkang. Kesukaran pertama adalah menentukan kawasan-kawasan yang bakal ditandingi. Mereka itu akan berdepan dengan komposisi calon di banyak kawasan. Ini bermakna mereka tidak mampu membuat keputusan berdepan satu lawan satu dengan calon-calon BN. Mungkin di satu dua kawasan, mereka mampu berkompromi, namun di banyak kawasan khususnya kawasan terpencil akan berlaku pertembungan free for all.

Pada PRU-14, kawasan yang bakal ditandangi adalah sebanyak 73 kawasan di mana 38 kawasan itu majoriti Bumiputera Islam. Parti Shafie sudah tentu mahu bertanding di kawasan-kawasan itu demikian juga parti Lajim. Tetapi, jangan lupa parti Shafie adalah gabungan antara Bumiputera Islam dan bukan Islam, ertinya parti itu akan bertanding di kawasan majoriti Bumiputera bukan Islam. Dalam keadaan demikian, maka parti Shafie akan bertembung dengan parti pimpinan Bumburing dan Jeffrey. Di lain pihak, Bumburing dan Jeffrey juga saling bersaing merebut kawasan-kawasan majoriti Bumiputera bukan Islam. 

Parti SAPP, Yong juga tidak ketinggalan kerana parti SAPP bukan parti Cina walaupun presidennya kaum Cina. Pengalaman lalu, SAPP bertanding di semua kawasan. Baiklah, parti Yong dianggap parti Cina  tetapi bagaimana kedudukan mantan pemimpin DAP? Sudah tentu mereka itu mahu bertanding di semua kawasan Cina. Benar, bukan?

Hingga setakat ini, tiada kesepakatan daripada parti pembangkang bahawa Shafie bakal dilantik sebagai Ketua Menteri kerana jawatan itu diintai juga oleh Lajim, Bumburing, Jeffrey dan Yong. Tiga pemimpin kanan pembangkang itu terlalu sukar berkompromi untuk menjadikan Shafie sebagai Ketua Menteri. Atas sebab itu, akan berlaku bertembungan sesama sendiri seperti mana berlaku pada tahun 1985 iaitu antara PBS dan USNO semasa melawan parti Berjaya.

Melihat kepada senario politik Sabah dan sejarah para pemimpin pembangkang yang sedia ada tidak mudah menyatukan pembangkang. Oleh sebab itu, rakyat jangan mudah menerima janji-janji mereka kerana pada akhirnya rakyat yang menjadi korban apabila pemimpin pembangkang akan bersengketa dan berpecah untuk menentukan haluan masing-masing. Jika demikian berlaku, maka adalah menjadi kerugian besar kepada rakyat kerana diumpamakan seperti, "terdengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan".
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook