Latest News

Thursday, 26 January 2017

Dalam Sistem Demokrasi Rakyat Berkuasa MUTLAK


DALAM sistem demokrasi, semua pihak mengakui bahawa kuasa mutlak hanya berada di tangan rakyat. Atas sebab itu, pihak-pihak yang mendapat sokongan rakyat pada asasnya adalah pihak-pihak yang membela rakyat. Namun, pada keadaan tertentu di mana rakyat yang telah dibela merasakan bahawa pembelaan itu merupakan tanggungjawab kerajaan semasa (government of the day) dan tidak perlu dihargai, maka dalam situasi demikian faktor persepsi, isu, fintah dan pembohongan mempengaruhi keputusan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demokrasi khususnya dalam pilihan raya.

Sebelum 2008, tidak dinafikan bahawa kekuatan jentera dan kewangan sesebuah parti boleh menjadi faktor yang membolehkan sesebuah parti mendapat sokongan dan seterusnya menang dalam gelanggang atau pesta demokrasi, yakni pilihan raya. Namun selepas itu, kekuatan dua faktor itu tidak menjamin lagi kemenangan sesebuah parti kerana ada rakyat tidak mengambil maklum faktor pembelaan melainkan faktor persepsi dan isu.

Faktor persepsi dan isu telah dimainkan khususnya oleh pihak pembangkang dengan mengguna pakai media sosial atau media alternatif. Sebabnya, media itu merupakan perantara yang paling cepat sehinggakan menjadikan media arus perdana sebagai penyalur media basi. Malah, media sosial/media alternatif menggelar pendekatan mereka sebagai “berita esok dibaca hari ini” atau “Berita Perdana pukul 8 malam dibaca sekarang” bagi menyindir media arus perdana.

Benar juga pendekatan pembangkang yang menggunakan media sosial/media alternatif yang hampir menumbangkan kerajaan Parti Barisan Nasional pada tahun 2008 dan 2013. Pada tahun 2008, untuk pertama kali selepas merdeka, Parti Barisan Nasional kehilangan kuasa 2/3 di Dewan Rakyat juga kehilangan banyak negeri termasuk negeri terkaya Selangor. Manakala pada tahun 2013, meskipun Parti Barisan Nasional masih dapat menubuhkan Kerajaan Persekutuan dan berjaya mengambil kembali Kedah, namun jumlah kerusi Parlimen berkurangan berbanding keputusan tahun 2008. Malah, untuk pertama kalinya Parti Barisan Nasional sudah kehilangan undi popular.

Mengakui kehebatan pendekatan media sosial/alternatif, dengan mengambil kira bahawa rakyat kehilangan keghairahan berkaitan dengan istilah “membela rakyat”, maka pendekatan yang dilakukan pihak pembangkang dengan mempergunakan perang persepsi dan minda melalui media pesaing media arus perdana itu boleh menumbangkan kerajaan Parti Barisan Nasional jika tidak ditemukan jalan terbaik bagi menyanggahnya.

Nampak gayanya, banyak pihak dalam Parti Barisan Nasional belum dapat menjumpai rentak berlawan dengan cara pihak pembangkang yang mempergunakan media sosial/alternatif. Malah, ramai pemimpin Parti Barisan Nasional “downplay” kekuatan media sosial/alternatif sehinggakan mereka masih terikat dengan penonjolan peribadi apabila menggunakan saluran itu berbanding penonjolan polisi, kemajuan atau perkhidmatan yang disediakan kerajaan kepada rakyat. Atas sebab itu, apabila Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa penguasaan media sosial/alternatif 93.4% dikuasai pembangkang dan AFS tidak hairan serta mengakui kenyataan itu.

Gerakan media tidak boleh dilakukan hanya bersandarkan kepada segelintir tetapi perlu dilakukan secara massa. Mungkin atas sebab itulah, pembangkang merekayasa akaun-akaun palsu yang dinamakan red bean army bagi menggambarkan kemeriahan setiap isu yang mereka timbulkan melalui media maklumat alam maya itu.

Namun, AFS tidak sepenuhnya yakin bahawa penetrasi media sosial/alternatif selamanya menjadi pautan rakyat walaupun dibuktikan melalui PRU-12 dan 13 atas sebab keadah itu telah tidak terguna pakai pada PRN Sarawak tahun 2016 dan pada dua PRK berkembar iaitu Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak. Lagipun, parti PAP Singapura juga telah membuktikan pada pilihan raya negara itu tahun 2015 bahawa kuasa media sosial/alternatif bukan penentu kepada keputusan pilihan raya. Juga, melalui pilihan raya Presiden Amerika Syarikat antara Hillary Clinton dan Donald Trump, kuasa media sosial/alternatif serta isu persepsi telah ditolak ke tepi oleh pemilih sebenar.

Mengambil pengalaman Singapura dengan acara turun padang dan bersemuka dengan rakyat merupakan pendekatan terbaik. Atas sebab itu, pemimpin Sabah khususnya YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman memberi penekanan bahawa acara turun padang perlu dijadikan sebagai media paling efektif bagi memenangi hati nurani rakyat. Acara turun padang, sebagai gambaran bahawa esok adalah pilihan raya kerana melalui cara itu setiap pemimpin merasakan senantiasa siap siaga setiap masa.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook