Latest News

Friday 20 January 2017

MASA DEPAN NEGARA


MASA depan sesebuah negara perlu ditentukan oleh pemimpin negara apakah sesuatu cara itu terhasil daripada meja bulat sahaja atau melalui pendapat 'ramai/kumpulan pendapat'.

Pemuktamadan sesuatu visi perlu mengikut perkembangan zaman yang sama juga dengan harapan Transformasi Nasional 2050 (TN50), pemimpin negara masa kini mengikuti perkembangan zaman. Sebab itu, untuk memuktamadkan TN50 diambil maklum atau input daripada rakyat yang akan diperkirakan mengalami masa itu, tahun 2050.

Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, visi itu bersandarkan kepada keadaan masa itu lalu kemudiannya disimulasikan berasaskan derap pembangunan atau kemajuan yang diharapkan bakal berlaku dalam masa atau tempoh sepanjang masa dasar itu berjalan.

Kita maklum bahawa  DEB tidak tercapai atas sebab kek ekonomi negara yang membesar tidak menepati ratio/nisbah seperti mana diperkirakan semasa dasar itu diperkenalkan. Demikian juga Wawasan 2020 semasa diperkenalkan, asasnya adalah sama dengan mengambil kira kemampuan negara dan rakyat mencapai sasaran itu. Wawasan 2020 pendekatannya hampir sama dengan DEB. Ianya cetusan idea atau perancangan daripada kepimpinan negara yang hanya terhasil daripada perbincangan meja bulat dan bukannya tercetus yang melibatkan berbagai strata kehidupan.

Melihat kepada tidak tercapainya dua (2) dasar kerajaan yang diperkenalkan itu, perkara ini telah diambil iktibar oleh Perdana Menteri dengan memuktamadkan kepada penggantian Transformasi Nasional tahun 2050 (TN50). Beliau telah mengubah pendekatan itu di mana bagi memuktamadkan dasar ketiga negara ini, maka telah mengambil berbagai input melibatkan seluruh strata kehidupan di negara ini khususnya generasi yang berdepan dengan keadaan sepanjang pelaksanaan dasar itu. Tujuannya, agar seluruh strata masyarakat merasa memiliki dasar itu (sense of belonging). Jika perasaan memiliki dirasai, sudah tentu semua pihak akan bekerja keras untuk mencapainya kerana terpanggil sebagai pemilik kepada dasar itu.

Bertempat di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur pada 19 Januari 2017, Perdana Menteri ditemani Peneraju TN50, saudara YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkomunikasi secara langsung dengan mereka yang dikira mewakili generasi yang berdepan dengan dasar itu. Dalam komunikasi dua arah itu, AFS tertarik pendapat wakil daripada Sabah iaitu seorang doktor perubatan walaupun hujahannya tidak begitu lancar. Namun, pendapat beliau dianggap mewakili keperluan generasi akan datang khususnya rakyat Sabah dan Sarawak.

Sehingga kini, apa yang didapati jurang antara luar bandar dan bandar adalah sangat ketara di Sabah dan Sarawak sehinggakan kenampakan sangat perbezaan itu antara negeri-negeri di Semenanjung dengan dua negeri yang mengasaskan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Asas kepada pembangunan dan perkembangan ekonomi selain terletak kepada sumber daya sesebuah negara juga terletak kepada sistem perhubungannya. Di Semenanjung, mengapa pembangunan dan kemajuan di Pantai Barat wilayah itu cepat berkembang? Sebabnya, di samping tersedianya pelabuhan antarabangsa juga tersedianya jaringan lebuh raya yang menghubungkan antara bandar dari Selatan ke Utara. Mengingat kepada impak kepada jaringan perhubungan itu, maka telah dibina lebuh raya yang menghubungkan Pantai Timur dan kini ditambah dengan hubungan jalan kereta api yang bakal siap dalam beberapa tahun lagi.

Sementara di Sabah dan Sarawak hanya ada Lebuhraya Pan Borneo sejauh lebih 2000 km yang menghubungkan berbagai pekan dari Sabah ke Sarawak dan itupun akan hanya siap selepas tahun 2021.

Nampak gayanya, menjelang tahun 2050 nanti walaupun derap pembangunan negara secara umumnya bertambah canggih dan maju, namun jika nisbah pembangunan yang tempang seperti mana berlaku semasa DEB dan Wawasan 2020 dilaksanakan, kemungkinan besar TN50 juga akan mengikuti hasil dua dasar negara sebelumnya.

Mengingat kepada pengalaman pelaksanaan DEB dan Wawasan 2020, di mana derap pembangunan dan kemajuan bagi Sabah dan Sarawak adalah jauh ketinggalan, maka adalah wajar melalui pemuktamadan TN50 nanti sewajibnya peruntukan untuk Sabah dan Sarawak dilipatgandakan. Jumlah RM38 bilion untuk Sabah dan Sarawak ditransformasikan perlu dilipatgandakan jika TN50 tidak mahu mengikuti apa yang berlaku pada DEB dan Wawasan 2020.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook