Latest News

Saturday 7 January 2017

Masa Depan PBS


SEJARAH politik Sabah tidak boleh diketepikan. Tiada parti yang bertahan selepas 'Presiden' pertamanya melepaskan jawatan.

Apakah penggantian kepimpinan PBS akan mengikuti jejak parti-parti tempatan Sabah? Ini kerana sebelum berlaku penggantian kepimpinan parti itu, ramai yang berspekulasi bahawa parti yang diasaskan oleh Tan Sri Pairin Kitingan pada tahun 1984 itu akan terkubur bersama pengunduran beliau.

Memang sebelum PBS menyertai semula BN pada tahun 2002, kekuatan parti itu sangat bergantung kepada sokongan kaum KDM. Namun selepas itu, sokongan kaum itu terhadap parti itu sudah berkurangan. Perkara ini dapat dilihat pada jumlah undi yang diperolehi calon-calon parti itu pada PRU-13 lalu termasuk kekalahan  beberapa calon yang mewakili parti itu.

Pengganti Pairin, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, walaupun telah menyandang jawatan Timbalan Presiden parti itu selama 23 tahun, namun diragui kekuatan beliau di peringkat akar umbi. Mungkin Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu mendapat sokongan di peringkat kepimpinan parti namun sokongan itu belum tentu dapat diterjemahkan di peringkat akar umbi.

Memang Pairin masih bersama parti itu khususnya menjelang PRU-14 tetapi kedudukan beliau sebagai mantan Presiden adalah tidak sama ketika mana beliau sebagai Presiden.

Maximus berdepan dengan keadaan rumit bagi mendapatkan sokongan kaum KDM atas sebab kaum itu, majoritinya “sudah” membuat keputusan untuk berubah. Mungkin asas itu dirasakan oleh Pairin bagi mendorong beliau melepaskan jawatan.

Parti-parti KDM yang bergabung dalam BN untuk masa ini telah kehilangan kemampuan menarik sokongan majoriti kaum itu. Malah, ada yang mengatakan daripada 10 pengundi kaum itu hanya empat (4) sahaja yang menyokong. Jika di kawasan-kawasan majoriti kaum itu berlaku pertembungan satu lawan satu, maka akan ramai calon-calon BN mewakili parti-parti itu akan kecundang.

Pada PRU-14 akan datang, sebanyak 73 kawasan DUN dipertandingkan dan daripada jumlah itu, 25 akan ditandingi parti-parti yang diwakili kaum KDM.

Kekuatan BN Sabah tidak sama seperti pada PRU-13 lalu akibat perpecahan dalaman parti tunjang UMNO. Meskipun perpecahan itu tidak mengundang kekalahan calon-calon parti tunjang itu tetapi ianya berimpak pada kawasan-kawasan majoriti KDM. Swing votes yang diakibatkan perpecahan dalaman dalam parti UMNO berimpak negatif kepada calon-calon BN daripada KDM.

Analisa tetap analisa. Pemimpin BN kena mencari jalan tepat khususnya semasa kempen pilihan raya dan kerana keadaan Sabah yang cukup unik, setiap kawasan perlu ada pendekatan yang berbeza. Fikir-fikirkanlah!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook