Latest News

Monday 23 January 2017

MEDIA SOSIAL Celarunya Pendapat...


BUKAN seorang tetapi ramai pemimpin kerajaan termasuk bertaraf menteri kerap membuat kenyataan meminta rakyat, jangan percaya sangat maklumat yang terdapat dalam media sosial atau media alternatif! Namun, pada yang sama menggesa pihak kerajaan mempergunakan media itu sebagai saluran maklumat yang benar dan tepat.

Seharusnya, para pemimpin tidak wajar membuat kenyataan umum sedemikian. Sebaliknya, apa yang perlu dinyatakan meminta rakyat menapis maklumat daripada media sosial dan seterusnya menyatakan bahawa hanya melalui maklumat daripada pihak-pihak yang sah dan sahih sahaja yang disertai fakta yang betul dan benar yang boleh dipercayai.

Pada masa ini, setiap rakyat yang tahu menulis dan membaca serta mempunyai kelengkapan telefon pintar secara automatik boleh menjadi jurugambar dan boleh menjadi wartawan. Selain itu, melalui kepakaran multimedia mereka juga mampu menghasilkan gambar-gambar palsu/superimpose dan menciplak logo berita rasmi dengan membuat berita palsu dan fitnah.

Pendek kata, apakah caranya rakyat atau pengguna media sosial dapat mengenal pasti yang mana satukah cerita/berita/laporan palsu?  Bagi mengelak atau merungkai keadaan ini, maka pihak kerajaan khususnya mereka yang mempunyai tauliah atau mereka yang mempunyai maklumat/berita asli/benar perlu lebih proaktif dengan menyalurkan maklumat-maklumat benar secara online cepat dan pantas agar berita/cerita/laporan berfakta itu dapat dikongsi berbagai pihak yang mahukan setiap rakyat menerima maklumat berfakta dan sahih. Namun, apa yang berlaku ada sesetengah daripada mereka ini cukup “segan” untuk berkongsi maklumat sahih walaupun diminta sehinggakan, jika ada pihak yang memviralkan sesuatu berita/cerita/laporan palsu atau fitnah berkaitan sesuatu, apa yang berlaku adalah “damage has been done”. Ertinya, pihak-pihak kerajaan tidak bertindak mencegah sebaliknya bertindak sebagai pengubat. Mereka terlupa bahawa mencegah itu adalah jauh lebih baik daripada mengubati.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Zahid Hamidi, di ruang media sosial di negara ini jika diperatuskan hanya 6.6% pengamal/komen di media mempertahankan polisi kerajaan. Selebihnya, berkecenderungan untuk mengutuk. Mungkin, hanya sangkaan bahawa 93.4% pengamal/komen itu bersandarkan kepada cybertrooper jelmahan palsu kerana dalam perang dunia siber boleh sahaja seseorang mengklonkan dirinya sehingga 100 malahan 1000. Tetapi, apa yang pasti terjahan media sosial hampir mengorbankan Kerajaan Parti Barisan Nasional pada PRU-12 dan 13. Pada PRU-12, Parti Barisan Nasional kehilangan kuasa 2/3 di Dewan Rakyat dan kehilangan negeri Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan kalah teruk di Kelantan walaupun belum kehilangan undi popular. Manakala pada PRU-13, selain jumlah kerusi Parti Barisan Nasional berkurangan juga kehilangan undi popular.

Punca kehilangan kuasa 2/3  dan undi popular Parti Barisan Nasional telah dikenal pasti sebagai impak daripada media sosial/media alternatif.

Tidak dinafikan, para pemimpin dan pro-Parti Barisan Nasional juga menggunakan media sosial/media alternatif tetapi bukannya suatu platform mesra rakyat atau mesra maklumat. Akan tetapi, lebih menjurus kepada mesra peribadi seperti menonjolkan aktiviti peribadi termasuklah berbelanja sakan dan makan-makan di hotel-hotel/restoran-restoran berbanding menonjolkan massa dan kebajikan yang dibina oleh kerajaan.

Jarang berlaku “update” daripada pemimpin kerajaan atau pro-kerajaan atau pegawai kerajaan dengan memaparkan gambar-gambar prasarana atau infrastruktur atau kemudahan yang dibina/disediakan oleh kerajaan bersama maklumat perkhidmatan yang disediakan sesuatu kemudahan. Sebaliknya, setiap “kemaskini” lebih menonjolkan “selfie” atau “wefie” dengan keterangan/maklumat berunsur peribadi. Mereka ini tidak tersedar, semakin banyak tindakan seumpama ini bukanlah dapat menggamit keterujaan melainkan mengumpul kecemburuan yang kemudiannya menimbulkan penolakan. 

Mungkin berasaskan kepada keadaan itu, maka Timbalan Perdana Menteri mendapati seperti mana kenyataan beliau bahawa kurang 7% pengamal/komen di media sosial/media alternatif mempertahankan/menonjolkan polisi kerajaan.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook