Latest News

Wednesday 25 January 2017

Parti Warisan Sabah Mahu Mengikuti Perjuangan Parti PBB Sarawak


PERBEZAAN yang cukup ketara, Parti PBB sejak ditubuhkan merupakan sebahagian daripada 'Parti Kompnen Parti Barisan Nasional' manakala Parti Warisan Sabah merupakan parti yang melawan Parti Barisan Nasional, yakni sebuah parti pembangkang tempatan.

Bagaimana Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal mahu mencontohi perjuangan Parti PBB? Sedangkan, parti itu berjuang menumbangkan parti yang sebahagian daripada Parti Barisan Nasional? Fikir-fikirkan!

Mungkin yang mahu dicontohi adalah menghalau keluar Parti UMNO daripada Sabah kerana Parti PBB tidak membenarkan Parti UMNO memasuki Sarawak.

Terlupakah Shafie bahawa Parti UMNO tidak pernah memasuki Sarawak. Selain itu, parti tunjang Parti Barisan Nasional itu tidak ada hasrat untuk memasuki Sarawak.

Memang timbul gerakan para pemimpin tertentu daripada Sarawak mahu membawa masuk UMNO, namun tindakan itu bukanlah keputusan UMNO.

Parti PBB perjuangannya sama dengan Parti UMNO. Di samping itu, kedua-dua parti itu adalah rakan dalam Parti Barisan Nasional. Melihat kepada situasi itu adalah tidak masuk akal bahawa UMNO akan masuk ke Sarawak atas sebab  perjuangan parti itu sudah diwakili Parti PBB.

Di Sabah, sebelum tahun 1991 semasa Parti USNO yang mempunyai perjuangan yang sama dengan UMNO masih wujud, tidak timbul bahawa UMNO akan mengembangkan sayapnya ke Sabah. Namun, atas permintaan USNO sendiri dengan kesanggupan membubarkan parti untuk diganti UMNO, maka pada tahun 1991 UMNO mengembangkan sayap ke Sabah. Ertinya, selagi Parti PBB masih kekal maka UMNO tidak akan mengembangkan sayap ke Sarawak.

Hujah Parti Warisan Sabah mahu mencontohi Parti PBB sama sekali tidak relevan kerana Parti Warisan Sabah sama sekali berbeza dengan perjuangan Parti PBB dek kerana perjuangan parti tunjang Barisan Nasional Sarawak itu adalah sama seperti perjuangan Parti UMNO di mana PBB merupakan parti kembar UMNO di Sarawak.

Shafie terlupa bahawa Parti Warisan Sabah merupakan lawan Parti UMNO yang bermaksud juga lawan Parti PBB. Di mana logiknya parti pimpinan Shafie itu mencontohi perjuangan Parti PBB?

Berasaskan kepada pengakuan Shafie mahu mencontohi perjuangan Parti PBB membawa erti secara tidak langsung bahawa tiada parti yang boleh mewakili Bumiputera atau parti yang boleh membela rakyat Sabah melainkan Parti UMNO. Ini fakta!

Rakyat Sabah perlu mengerti akan parti yang mahu ditumbangkan Shafie adalah parti yang boleh mewakili aspirasi rakyat Sabah. Malah, mantan pemimpin Umno itu walaupun bertindak sebagai musuh UMNO sekarang tetapi di benak dan jiwanya masih terkesan bahawa tiada parti setanding dengan Parti UMNO.

Tindakan Shafie berhujah mahu mencontohi perjuangan Parti PBB seperti ibarat, "pukul anak sindir menantu". Melalui hujah itu, memang beliau menerima bahawa perjuangan Parti Warisan Sabah tidak akan ke mana-mana kerana bertindak memusuhi UMNO yang membawa makna mahu mengenepikan parti yang berjasa kepada rakyat.

Kenyataan  Presiden Parti Warisan Sabah itu mahu mencontohi Parti PBB adalah juga membawa erti atau memberi isyarat kepada rakyat adalah sia-sia menyokong parti pembangkang termasuk parti beliau sendiri.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook