Latest News

Thursday 12 January 2017

PRU-14: Apa Pilihan Rakyat Sabah?


ASAS membangun negeri apabila adanya kestabilan politik. Kestabilan politik bukan sahaja membolehkan pemimpin dapat merancang dengan tenang bahkan juga pemikiran bernas akan terlahir. Selain itu, kestabilan politik menjadi penarik kepada pelabur luar negeri untuk membawa wang untuk melabur. 

Kadar pembangunan Sabah meningkat berkali ganda sejak tahun 2003 atas sebab telah berlakunya kestabilan politik. Para pemimpin saling dapat membantu antara satu sama lain dengan niat yang satu, yakni membangun negeri.

Dalam keadaan kestabilan politik yang sedang dinikmati rakyat, ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadi. Mereka menyandarkan kepada konsep demokrasi melalui penubuhan berbagai parti kononnya bertujuan mahu mengubah kerajaan. Tindakan mereka itu adalah mahu membunuh angsa yang sedang bertelur emas.

Kepada rakyat Sabah, lapangkan fikiran dan cuba berfikir sejenak, lihat sekeliling dan renungkan keadaan lebih 20 tahun lalu. Apakah yang anda rasa, apa yang anda lihat atau nampak dan apa yang anda nikmati? 

Kalaulah semua rakyat berfikiran secara rasional, sebenarnya tidak nampak sebarang kekurangan. Kalau mengkambinghitamkan harga barangan yang meningkat bermakna perubahan telah berlaku. Mengapa perubahan itu telah berlaku? Sebabnya, biarpun harga barangan meningkat, apa yang pasti ada pembeli! Anda perlu ingat, hukum ekonomi. Harga ditentukan oleh kuasa permintaan dan kuasa penawaran. Titik temu antara penawaran dan permintaan adalah harga. Ertinya, harga yang melekat pada barangan itu adalah harga yang disepakati antara pengguna dan pembekal. Mengapa ada antara kita mempersoalkan sesuatu yang disepakati? Benar, bukan? Fikir-fikirkan!

Lihat bagaimana daya beli rakyat sehinggakan ada barangan yang cepat kehabisan stok. Keluhan yang kita nampak bahawa stok untuk sesuatu barangan kurang yang bermaksud rakyat ada wang untuk membeli tetapi hanya barangan yang dibeli kurang. 

Dalam kehidupan sekarang, pemilikan wang adalah pengukur kepada status seseorang kerana melalui pemilikan wang akan mengukur kuasa beli.

Ekonomi sesebuah negeri/negara atau rakyat apabila mudahnya mendapatkan wang. Wang boleh diperolehi dengan melalui pertukaran barang atau pertukaran perkhidmatan secara asasnya. Semakin cepatnya peredaran wang, maka menunjukkan sesebuah ekonomi itu berkembang maju.

Melihat kepada keadaan yang kita rasakan sekarang, mengapa ianya perlu diubah? Mengapa ada di antara kita terpengaruh dengan dakyah pemimpin politik yang mahu mengubah keadaan? Kita perlu mengambil iktibar satu kata peribahasa, "mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan". Sebabnya, kita tidak tahu apa yang berlaku seterusnya. Jangan kita menjadi alat uji kaji seperti seekor tikus membaiki labu.

Jangan kita terpengaruh dengan sepak terajang sahaja akan para pemimpin yang hanya mahu mementingkan diri sendiri. Kita perlu melihat latar belakang mereka itu sejauh mana perjuangan mereka membela rakyat. Kita perlu faham bahawa mereka yang konon mahu mengubah kerajaan itu adalah terdiri daripada kontraktor-kontraktor. Kontraktor itu adalah sinom dengan projek.

Kepada rakyat Sabah, pertahankan kerajaan yang membawa kemajuan. Pertahankan pemimpin yang senantiasa membela rakyat. Jangan terperangkap kepada pemimpin yang handal terjun ke laut kerana jambatan reput. Sedangkan, jambatan reput itu, persis di depan matanya ketika ada kuasa. Jangan terperangkap dengan pemimpin yang menjanjikan bulan dan bintang. Sedangkan, wang untuk bekalan air bersih luar bandar yang sudah dikhaskan untuk rakyat hilang begitu sahaja. 

Fikir-Fikirkanlah!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook