Latest News

Monday 30 January 2017

Sedikit Sejarah Felda Di Sabah


FELDA telah mula meluaskan kegiatannya di Sabah sejak tahun 1965 apabila seorang pegawai ditempatkan di Kota Kinabalu untuk meninjau keperluan dan kemungkinan bagi program pembangunan tanah dan penempatan dijalankan. Pada masa yang sama sebuah agensi kerajaan negeri iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) telah ditubuhkan pada tahun 1969. Oleh itu, agensi persekutuan itu tidak lagi diperlukan untuk melaksanakan program yang sama. Pada masa yang sama, Felda tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan tanah di Semenanjung Malaysia bagi memenuhi matlamat pembangunan tanahnya.

Sekitar tahun 70an, LKTNS pula menghadapi kesulitan untuk memenuhi dengan segera akan pembukaan tanah serta penempatan rakyat luar bandar di Sabah. Berdasarkan latar belakang inilah timbulnya keperluan bagi Felda semula untuk membantu kegiatan LKTNS dan mempercepatkan program pembangunan tanah dan penempatan di negeri ini. Berikutan perbincangan yang diadakan antara Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Harris Salleh) dan Menteri Kemajuan Tanah dan Pembangunan Wilayah (Tan Sri Haji Abdul Kadir Yusuf) dalam bulan Februari 1979, satu persetujuan bagi pelaksanaan pembangunan tanah dan penempatan oleh Felda di Sabah telah dicapai. 

Antara tahun 1979 dan 1984, kerajaan negeri telah meluluskan kepada Felda seluas 209,393 hektar. Tanaman utama yang dipersetujui ialah 'Kelapa Sawit' yang mana merupakan jenis tanaman yang paling sesuai dan mudah dikendalikan untuk rancangan penempatan.

Felda mula memajukan tanah pada pertengahan tahun 1979 berdasarkan kelulusan Kerajaan Negeri Sabah melalui Warta Kerajaan Negeri Sabah No. 148 dan 223. Sehingga tahun 2000, Felda telah membuka tanah seluas 124,389 hektar yang mana 98% adalah kawasan perladangan terutama tanaman sawit dan 2% adalah kawasan penempatan dan bandar. Lebihan kawasan tidak dapat dimajukan oleh pihak Felda atas sebab kesesuaian kawasan serta pengambilan balik oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Kawasan yang telah dimajukan oleh Felda hanya ditumpukan di kawasan Pantai Timur Sabah. Jarak jauh Kompleks Sahabat ialah 100 kilometer daripada pekan Lahad Datu manakala Kompleks Umas-Umas ialah 76 kilometer dari bandar Tawau.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook