Latest News

Saturday 18 February 2017

Berdolak-Daliknya Pembangkang...


PADA PRU-13, parti pembangkang dengan rasa yakin dan bersemangat bahawa tiada parti lain yang boleh menjadi pengganti kepada Parti Barisan Nasional selain parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat (PKR, DAP dan PAS). Melalui berbagai dakyah, maka ada rakyat Sabah yang terpancing dengan dakyah mereka sehinggakan 3 kawasan Parlimen dan 12 DUN dimenangi. 

Kini, ada para pemimpin yang menang itu tidak lagi mengguna pakai parti-parti yang membangkang itu sebagai alternatif kepada Parti Barisan Nasional dan beralih kepada parti tempatan, yakni Parti Warisan Sabah pimpinan mantan pemimpin Parti UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.

Sebenarnya, para pemimpin parti tempatan tidak melihat kepada trend sokongan rakyat kepada parti tempatan pada PRU-13 lalu. Daripada 342,000 yang mengundi parti pembangkang hanya 93,000 mengundi parti tempatan (STAR, SAPP dan Bebas) manakala 248,000 mengundi parti dari Semenanjung (PKR, DAP dan PAS). Ertinya, daripada sekian ramai pengundi pembangkang hanya 27 peratus memilih parti tempatan manakala 72 peratus mengundi parti yang berdaftar di Semenanjung.

Apakah Parti Warisan mempunyai lampu Aladdin mampu mengubah trend itu? Apa faktor yang mereka bawa sehingga mampu mengubah kecenderungan para pengundi? 

Sebenarnya, pengundi Sabah yang berpihak kepada pembangkang mahu menjadi sebahagian daripada parti nasional dan bukannya hanya berbaur pada parti tempatan. Sebabnya, rakyat Sabah sudah belajar daripada pengalaman mereka apabila menyokong parti tempatan - "Sabah  menjadi mundur, terbelakang, jatuh miskin dan menduduki kedudukan tercorot dalam negara". Rakyat Sabah yang mengundi pembangkang mahu juga bersama dengan perahu besar, bukannya mahu bersandar kepada perahu layar! Entah-entah akan menjadi kapal katamaran yang tenggelam bersama pelancong ketika menuju Pulau Mengalum beberapa ketika yang lalu.

Pada PRU-13 lalu, daripada 774,000 pengundi yang mengundi, seramai 432,000 mengundi parti Barisan Nasional. Bermakna parti Barisan Nasional Sabah mempunyai undi popular seramai 90,000 atau 12 peratus daripada keseluruhan pengundi. Berasaskan trend politik semasa, tidak mudah menterbalikkan keadaan itu kerana rakyat Sabah sebenarnya sudah jelak dengan politik para pemimpin pembangkang yang tiada hala tuju, berdolak-dalik serta membawa penyokong pembangkang ke arah imaginasi kosong. Lalu, kemudiannya mereka itu ditinggalkan terkapai-kapai, "bagaikan anak ayam dibiarkan berkeliaran". Fikir-fikirkanlah!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook