Latest News

Tuesday 28 February 2017

Kemajuan Semporna DIBONGKAR!!! Mesti Baca!


SELEPAS 30 tahun, AFS kembali melawat daerah Semporna. Lawatan kali ini kerana menghadiri Pecah Tanah Pasar Awam Sejahtera, Semporna yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah pada Selasa lalu iaitu 28 Februari 2017.

Sebelum acara pecah tanah itu, Ketua Menteri mempunyai acara lain termasuk mendengar taklimat pembangunan dan kemajuan daerah daripada Pegawai Daerah

Di Dewan Masyarakat Semporna bermula daripada 8 pagi, orang ramai telah berkumpul menunggu kedatangan Ketua Menteri bersama beberapa ahli kabinet negeri antaranya Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Pairin Titingan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Nor, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Radin Maleh, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Haji Ahmad Ayid, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ariffin Arif dan sudah tentunya Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ramlee Marahaban atas kerana acara itu adalah anjuran beliau.

Selain itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan juga turut hadir.

Bagi AFS yang pernah bertugas di Semporna pada tahun 80-an, sudah tentunya mengharapkan satu perubahan luar biasa di kawasan itu. Sebabnya, selain kawasan itu merupakan kawasan bekas Ketua Menteri, bekas TYT tetapi juga bekas Menteri KKLW Persekutuan.

Memang ada hotel-hotel, rumah kedai dan stadium sudah dibina. Manakala balai polis sudah berpindah ke tempat lebih cantik, pejabat Jabatan Kastam Diraja (Semporna) turut siap dan pejabat Jabatan Tanah Dan Ukur juga demikian. Namun, kedai-kedai di kiri kanan di mana stesen minyak Shell tetap sama. Cuma, beberapa kedai telah bertukar barangan yang dijual akan tetapi kedai “ahbon” (hanya orang Semporna tahu), Kopi O dan pau manisnya tetap sama rasanya walaupun “ahbon” telah meninggal kerana terkena renjatan elektrik lebih sedekad lalu. Kedai “ahbon” walaupun kedai Cina, namun pelanggannya hampir 100% penduduk Islam sejak dahulu lagi.

Seperkara yang menonjol bahawa jalan ke Restoran Terapung sudahpun beraspal dan jambatan juga sudah dibina.

Semasa bertugas di Semporna, kerajaan negeri masih diperintah parti PBS dan kawasan daerah Semporna kurang mendapat kemajuan kerana merupakan kawasan pembangkang kepada kerajaan PBS. Namun, selepas PBS tumbang pada tahun 1994, Semporna telah diwakili seorang Ketua Menteri, seorang menteri penuh di peringkat negeri dan seorang wakil Parlimen yang diberi peranan di peringkat persekutuan dengan berbagai kapasiti.

Tempoh masa 30 tahun, sebenarnya satu masa yang cukup panjang. Pada tahun 1987, tahun terakhir AFS bertugas di Semporna dan masalah-masalah utama adalah bekalan air, kawasan pekan yang kotor dan pasar ikan yang daif.

AFS terfikir selepas 30 tahun, masalah utama tahun 80-an itu sudah selesai. Apa yang memeranjatkan AFS, keadaan tahun 87 itu masih sama dengan keadaan sekarang. Bekalan air juga merupakan masalah yang sama serta pekan yang kotor. Malah, tiada pasar ikan sama sekali. Kini, pasar ikan baru dilakukan acara pecah tanah.

Semporna, sebenarnya pengeluar ikan di kawasan Pantai Timur selain Sandakan dan Lahad Datu. Bayangkan kawasan pengeluar ikan tidak mempunyai pasar ikan?!! Mungkin atas sebab itu, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Musa Aman terfikir sungguh memalukan satu kawasan pengeluar ikan tetapi tidak ada pasar ikan secara rasmi.

Satu pertanyaan di benak AFS, apa yang dilakukan oleh wakil-wakil rakyat Semporna khususnya Ahli Parlimen Semporna? Sedangkan, wakil rakyat itu pernah menjadi menteri yang mempunyai dana berbilion ringgit dan dana itu memang dikhususkan memajukan luar bandar termasuk prasarana luar bandar.

Kalaulah Semporna hanya diwakili wakil rakyat di peringkat kabinet negeri tidak juga banyak yang boleh ditanya. Ini kerana memang kerajaan negeri kekurangan dana untuk memajukan sesuatu kawasan dengan pantas. Namun, apabila Semporna yang diwakili wakil rakyat yang menjadi menteri yang menjaga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang bukan setahun tetapi lebih sepenggal, maka, cukup pelik mengapa prasarana seperti Bekalan Air Luar Bandar (BALB) tidak selesai? Sedangkan, kemudahan itu merupakan tugas utama kementerian itu.

Dalam lawatan kali ini, memang AFS mengalami perubahan luar biasa daripada aspek lain khususnya harga makanan di Restauran Terapung. Jika pada tahun 80-an, jumlah yang perlu dibayar untuk makanan yang sama (menu yang sama) hanya dalam lingkungan RM50. Tetapi, kali ini sudah menjadi RM216.95 iaitu kenaikan sebanyak 334 peratus.

Seperkara lagi, sebuah teksi sewa dari bandar Tawau ke Semporna berkos RM150 sekali jalan berbanding tahun 1987 hanya RM50. Ini bermakna selama 30 tahun, sewa teksi hanya meningkat 200% dan jenama kereta teksi juga bukanlah Mercedes-Benz tetapi masih Proton!

Semporna merupakan destinasi pelancongan kerana di kawasan inilah terletaknya Pulau Sipadan. Sebagai kawasan pelancongan, seharusnya aspek-aspek keselesaan pelancong diambil kira khususnya kebersihan pekan dan juga tandas-tandas awam di setiap restauran. Tetapi malangnya, tidak begitu apabila tandas di Chalet Restauran Terapungpun tandasnya begitu kotor dan sebagai tambahan, sudah tentunya ketiadaan air.

Kepada para pemimpin kawasan ini khususnya Datuk Nasir Tun Sakaran dan Datuk Ramlee Marahaban perlu memberitahu rakyat Semporna bahawa kawasan ini perlu diwakili oleh wakil rakyat yang mahu memajukan kawasan ini dan bukannya wakil rakyat yang hanya mahu mengambil kesempatan untuk diri sendiri. Sebenarnya, rakyat Semporna merasa dirugikan kerana menyokong seseorang itu sejak tahun 1995 lagi. Justeru, aspek memajukan Semporna suda alpa dilupakan. Bayangkan, sebuah 'Pasar Ikan'pun tidak ada. Sungguh memalukan dan mengecewakan!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook