Latest News

Thursday 9 February 2017

PERKEMBANGAN POLITIK SABAH


KALAU dilihat keputusan rakyat Sabah pada PRU-13, semacam berlaku “politically divided” antara kaum, yang mana kaum KDM dan Cina berkecenderungan memilih parti-parti pembangkang.

Menerusi PRU itu juga, walaupun beberapa pemimpin utama BN daripada KDM menang akan tetapi kehilangan undi popular. Sebagai misalannya, Tan Sri Pairin Kitingan di DUN Tambunan hanya memperoleh undi 5,586 berbanding 5,905 yang mengundi parti pembangkang. Demikian juga bagi DUN Liawan, calon BN juga kehilangan undi popular apabila mendapat 5,383 berbanding jumlah yang mengundi pembangkang iaitu seramai 5,982 undi. Manakala yang mencemaskan di DUN Kiulu, undi calon BN hanya berjumlah 3,745 berbanding yang mengundi pembangkang 5,372 undi.

Setiap pilihan raya berlainan isu. Jika PRU-13, dominasi oleh parti PKR dan DAP akan tetapi pada PRU-14 terdapat tambahan parti yang dikira hampir sama kuat dengan dua parti itu iaitu Parti Warisan Sabah dan Parti Cinta Sabah sebagai pilihan kaum KDM. Manakala parti DAP masih merupakan pilihan kaum Cina.

Memang dari segi nisbah, daripada 10 pengundi kaum KDM, 6 masih memilih parti pembangkang manakala 4 memilih Parti BN. Jika berlaku “free contest” antara berbagai parti atau berbagai penjuru, maka secara teknikalnya calon-calon BN akan menang seperti mana keadaan di DUN Tambunan, Liawan dan Kiulu dan beberapa kawasan lain.

Kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal bahawa parti pimpinan beliau akan bergerak solo, ertinya akan meletakkan calon bagi semua kawasan yang dipertandingkan. Ini juga bermakna peluang calon BN yang mewakili kaum KDM mempunyai harapan untuk menang termasuk di kawasan Moyog, Inanam, Kepayan, Tamparuli, Kadamaian, Matunggong dan kawasan-kawasan lain.

Memang di atas kertas, bagi kawasan KDM, 6 pengundi kaum itu condong kepada parti pembangkang. Namun, jika timbul pertembungan antara parti-parti pembangkang, besar kemungkinan pengundi akan memilih calon-calon BN kerana pertimbangan bahawa memilih calon-calon parti-parti pembangkang tidak akan kemana-mana, kerana tidak akan mampu mencapai kemenangan, akibat undi pecah.

Jika pengundi mempertimbangkan bahawa parti pembangkang tidak akan ke mana-mana kerana saling bertembung, maka pada PRU-14, akan didapati para pemimpin pembangkang yang berstaus wakil rakyat pada masa ini akan sayonara kedudukan itu termasuk Darell Leiking di Parlimen Penampang, Terrence Siambun di Moyog dan Junz Wong di DUN Likas. Jangan cerita lagi berkaitan Datuk Seri Shafie Apdal, Dato' Jaujan Sambakong atau Datuk Seri Lajim Ukin, kedudukan mereka itu telah hanyut awal-awal lagi!

Sebenarnya, BN tidak sangat bergantung kepada perpecahan parti-parti pembangkang, namun BN mempunyai kesukaran di kawasan-kawasan KDM kerana kaum itu bukan mempertimbangkan kepada kemajuan atau pembelaan yang dibawa kerajaan Parti Barisan Nasional tetapi pertimbangan hanya mahu menukar kerajaan. Sifat psikologi inilah yang menjadi halangan utama Parti Barisan Nasional menembusi kawasan-kawasan KDM. Manakala kaum Cina pula, mereka sebenarnya tidak perlu sangat wakil rakyat mereka bersama kerajaan kerana matlamat mereka hanya keperluan perniagaan dan ekonomi. Melalui wakil rakyat yang membangkang kerajaan, maka isu-isu yang berkaitan dengan kaum itu akan senantisa ditimbulkan. Maka dengan itu, kerajaan of the day terpaksa menyelesaikan isu-isu dari masa ke semasa. Jika wakil rakyat yang mereka pilih mewakili kerajaan, isu-isu yang ditimbulkan terpaksa disuarakan secara berlapik atau melalui perbincangan tertutup. Atas sebab itulah, di kawasan bandar pilihan pengundi senantiasa kepada parti yang membangkang.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook