Latest News

Thursday 9 March 2017

Air Oh Air


BAYANGKAN, sejak merdeka rumah ibu bapa saya tidak pernah dipasang paip air untuk menyalurkan air bersih daripada Jabatan Air. Bukan singkat masa sejak sebelum merdeka, sehingga kini, ibu bapa saya yang tinggal di kampung tidak pernah merasakan apa itu air bersih daripada Jabatan Air. (Nota; Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 dan membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963).

Kalaulah dana RM114 juta untuk bekalan air bersih luar bandar (BALB) Kota Belud pada tahun 2010 digunakan betul-betul oleh kontraktor yang dilantik KKLW, kemungkinan besar selepas 54 tahun rumah ibu bapa saya dapatlah menyambung paip terus ke rumah.

Jika bekalan air yang dirawat boleh sampai ke dapur dan tandas, maka warna karat di lantai tandas dan juga sinki dapatlah kelihatan bersih.

Sebenarnya, pada tahun 1981 sebaik sahaja Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dilantik ke jawatan Perdana Menteri dalam satu lawatan beliau di luar negara dan kebetulan berjumpa dengan para pelajar Malaysia, saya secara peribadi memberikan semacam artikel berkaitan dengan keperluan air bersih bagi kampung-kampung di daerah saya. Pada masa itu, saya berfikiran bahawa Perdana Menteri akan bertindak atas sebabnya cadangan atau keluhan itu datangnya daripada pelajar. Namun, sehinggalah beliau bersara keadaan bekalan air bersih di kampung saya masih seperti di zaman penjajahan.

Siapa yang harus dipersalahkan? Para wakil rakyatkah? Sebenarnya, wakil rakyat tiada salahpun. Mana ada wakil rakyat tidak meminta atau mencadangkan kemajuan untuk rakyat yang diwakilinya.

Pada tahun 2008 semasa kempen pilihan raya, calon Parti Barisan Nasional masa itu dalam satu ucapan di kampung saya, “Beri saya sokongan dan jika saya menang, maka dalam tempoh 100 hari masalah bekalan air bersih bagi kampung ini akan diselesaikan”.

Masa berlalu, malah saya pernah menulis satu artikel di blog saya www.one-kotabelud.blogspot.my dan dipetik oleh MP Kota Belud serta disiarkan melalui blog beliau www.mpkotabelud.blogspot.com. Melalui artikel itu, saya menulis panjang lebar dan atas pengesahan Jurutera Air Kota Belud masa itu bahawa masalah bekalan air bersih Kota Belud akan diselesaikan paling lewat pada Mei 2013. Namun, tulisan semacam laporan itu sehingga kini tidak terealisasi.

Kini, mejelang PRU-14, saya yakin, isu bekalan air bersih ini akan menjadi kemusykilan pengundi. Saya sendiri tidak tahu lagi apa alasan yang akan diberikan kecuali menyalahkan kontraktor yang dilantik KKLW semasa Datuk Seri Shafie Apdal menerajui kementerian tersebut.

Masalah bekalan air bersih di Kota Belud bukan sahaja dihadapi oleh perkampungan seperti kampung saya, akan tetapi juga di kawasan berdekatan loji penapisan air. Malah tahun lalu, berlaku sedikit protes daripada rakyat kerana tidak mendapat bekalan air.

Sebenarnya, bekalan air bersih merupakan keperluan asas yang perlu disediakan oleh kerajaan. Kesilapan KKLW tidak perlu ditangisi, kerajaan perlu mencari jalan untuk mengatasi keperluan asas itu.

Mungkin agak keterlaluan untuk mengatakan kerana kenyataan ini bukan melalui kajian saintifik bahawa kebanyakan penduduk kampung saya pada usia muda sudah kehilangan gigi termasuklah saya. Mungkinkah penduduk tidak tahu merawat gigi?

Merawat gigi sudah lama diwar-warkan oleh pengeluar pasta gigi Colgate, di mana apabila seseorang menggunakan Colgate membersihkan atau mengosok gigi, maka gigi bukan sahaja menjadi putih malah berkilau. Penduduk sudah terbiasa mengosok gigi dengan menggunakan berbagai jenama termasuk jenama Closeup namun pada hari ini jenama itu tidak kelihatan lagi di kedai-kedai runcit.

Apakah kerosakan gigi ada hubung kait dengan penggunaan air? Sebabnya, air yang digunakan penduduk lebih setengah abad lalu bersumber daripada air tanah dan sudah tentunya tidak terawat. Sehingga kini, belum ada kajian daripada jabatan kimia atau air, apakah kandungan air tanah tersebut alkali atau asid. Besar kemungkinan air tanah itu lebih condong kepada berasid kerana faktor asidlah yang boleh merosakkan gigi.

Sumber artikel: Saudara Musram Rakunman
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook