Latest News

Friday 10 March 2017

MESEJ JELAS "Jangan Jadi Seperti Tikus Membaiki Labu"


RAKYAT Sabah perlu mengambil iktibar bahawa akibat mengubah kerajaan dengan kerap, maka rakyat sendiri menjadi korban.

Kalaulah parti Berjaya tidak tumbang pada tahun 1985, kadar pembangunan dan kemajuan Sabah sudah berkali ganda.

Akibat perubahan kerajaan sekitar tahun 1985, maka Perdana Menteri pada masa itu membalas dendam terhadap parti yang menumbangkan parti Berjaya. Rentetan pembalasan dendam itu, maka peruntukan pembangunan untuk Sabah disekat.

Walaupun parti yang menumbangkan kerajaan parti Berjaya diterima sebagai anggota Barisan Nasional, namun tingkah laku pemimpin parti berkenaan suka sangat mengambil jalan konfrontasi terutama Dr. Jeffrey Kitingan.

Selain tindakan konfrontasi, cara pemerintahan parti itu semacam pilih bulu sehinggakan menimbulkan ketidakpuashatian rakyat khususnya kaum Bumiputera Islam.

Kerajaan Sabah masa itu hanya bergantung pendapatan dengan menebang hutan. Apabila hutan semakin habis, maka pendapatan juga semakin berkurang.  

Aktiviti ekonomi ketika itu cukup perlahan sehingga banyak agensi kerajaan terpaksa ditutup, malah ada yang diswastakan.

Pada masa itu, hanya sebuah agensi persekutuan yang aktif di Sabah, yakni Felda tetapi sumbangan agensi itu terhadap negeri dalam bentuk cukai masih cukup rendah atas kerana harga kelapa sawit pada masa itu juga rendah.

Kadar pengangguran masa itu cukup tinggi sehinggakan mereka yang ada kelulusan 'Sarjana' terpaksa mengambil jawatan sebagai kerani hanya semata-mata untuk hidup.

Huluran kewangan daripada Persekutuan hanya sekadar sambung nyawa dan itupun disalurkan melalui jabatan persekutuan yang ditadbir oleh para pegawai kerajaan.

Nasib rakyat Sabah berubah apabila parti yang memerintah keluar daripada parti Barisan Nasional. Peluang itu diambil kesempatan oleh Allahyarham Tun Datu Mustpaha Datu Harun dengan menjemput parti UMNO masuk ke Sabah. Alasan Tun ketika itu adalah penyokong dan ahli USNO kena berpindah daripada kapal kecil kepada kapal besar.

Walaupun parti UMNO Sabah dipimpin oleh pemimpin Sabah tetapi masih diberi nasihat oleh para pemimpin UMNO pusat yang berpengalaman khususnya bagaimana membangun dan memajukan negeri.

Selepas parti UMNO dan parti-parti komponen BN Sabah membentuk kerajaan pada tahun 1994, maka langkah memajukan negeri dimulai. Kelajuan pembangunan dan kemajuan ditingkatkan melalui pacuan dana daripada persekutuan yang disalurkan melalui kementeraian-kementerian persekutuan.

Tindakan pertama kerajaan negeri dengan bantuan persekutuan adalah memasang bekalan elektrik di semua kawasan termasuk luar bandar termasuklah membina jalan raya perhubungan. Tujuan kepada semua itu adalah untuk merancakkan aktiviti ekonomi.

Pembangunan dan kemajuan Sabah dipacu lagi apabila YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dilantik ke jawatan Ketua Menteri pada tahun 2003. Musa membawa bersama beliau pengalaman sebagai ahli perniagaan.

Berbagai perancangan telah dibuat termasuk 'blueprint' pembangunan dan kemajuan Sabah, Halatuju Sabah.

Agensi kerajaan negeri ditadbir urus dengan baik sehingga mampu membayar dividen kepada kerajaan. Berbagai sektor diterokai termasuk pelancongan. Hasilnya, Sabah dapat membentangkan bajet sehingga RM4.088 bilion pada tahun 2012. Selain itu, Sabah dapat mengumpul simpanan kewangan lebih RM3 bilion sedangkan pada tahun 2003 simpanan kerajaan hanya RM180 juta.

Mengapa kerajaan Sabah boleh mengumpul simpanan kewangan di atas RM3 bilion? Sebabnya, dengan adanya kesinambungan kerajaan dan kestabilan politik. Sebenarnya, kerajaan negeri Sabah yang ditubuhkan pada tahun 1994 sudah menjangkau usia hampir 23 tahun. Tempoh pemerintahan itu merupakan satu rekod sejak Sabah merdeka pada tahun 1963 atas kerana sebelum ini, usia pemerintahan hanya dua penggal sahaja.

Sejak akhir-akhir ini, ada usaha-usaha daripada parti pembangkang untuk mengubah kerajaan yang telah berjaya membangun dan memajukan negeri. Mereka mendakwa, kononnya mereka boleh membangun negeri dengan lebih baik apabila diberi mandat. Mereka itu lupa bahawa sebahagian besar daripada mereka itu suatu masa lalu adalah juga sebahagian daripada kerajaan, namun telah meninggalkan kudis kepada kerajaan.

Sebagai contoh, Presiden Parti Warisan Sabah. Menurut ADUN Kunak, Datuk Haji Nilwan Kabang, oleh kerana cita-cita MP Semporna itu mahu menjadi Ketua Menteri Sabah, maka beliau sanggup mensabotaj pembangunan luar bandar supaya rakyat marah terhadap kerajaan yang diterajui Datuk Seri Musa Aman.

Cuba bayangkan, dana KKLW sebesar RM3.3 bilion yang sepatutnya untuk menyelesaikan bekalan air luar bandar Sabah tidak digunakan sewajarnya. Sehinggakan, ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan menyeleweng dana itu untuk kepentingan peribadi.

Seandainya dana itu disalurkan kepada kerajaan negeri, sudah tentu penggunaannya akan lebih teratur dan adalah pasti masalah air luar bandar Sabah telah diselesaikan.

Bagaimanakah rakyat Sabah boleh menyokong pemimpin yang mempunyai nawaitu buruk itu? Yakinlah, apabila mereka itu diberi peluang yakinlah jua mereka akan bertindak seperti tikus membaiki labu dan rakyat pula akan berputih mata dek kerana yang digendong berciciran. 

Ambil iktibarlah apa yang berlaku selepas parti Berjaya ditumbangkan!.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook