Latest News

Friday 10 March 2017

PRU-14 SABAH: Mengapa Timbul Siapa Yang Mengetuai??


WARISAN tikam belakang para pemimpin politik Sabah tidak pernah pudar. Sejarah politik Sabah diwarnai tikam belakang.

Parti USNO tumbang kerana tikam belakang. Parti Berjaya tumbang juga kerana tikam belakang. Dan, parti PBS juga tumbang kerana tikam belakang.

Kini, berlaku secara sembunyi-sembunyi antara pemipin UMNO Sabah berkaitan siapa yang mengetuai BN Sabah pada PRU-14. Sedangkan, sudah jelas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabahlah yang mengetuai parti Barisan Nasional pada PRU-14 nanti.

Mengapa timbul isu siapa yang mengetuai BN Sabah pada PRU-14? Satu isu yang perlu dirungkai oleh kepimpinan Sabah sendiri.

Cerita kedai kopi, kononnya Musa tidak akan mengetuai BN Sabah pada PRU-14. Entah daripada mana sumber cerita demikian. Para pencerita kedai kopi seolah-olah mewakili Presiden UMNO dengan berbagai dalil dan sebab-musabab punca mengapa Musa tidak boleh mengetuai BN pada PRU-14.

Para pencerita kedai kopi tidak akan terlalu berani, jika tiada dalangnya. Mereka itu memperkuat suatu kata peribahasa, "kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang". Merekalah itu!

Bukan susah sangat mencari dalang. Pemimpin yang berkeinginan jawatan Ketua Menterilah dalang yang paling dekat. Bagaimana carapun, para pemimpin yang mahukan jawatan Ketua Menteri menafikan cerita-cerita ini tidak mudah diterima. Fikir-fikirkan!

Cerita Musa tidak akan mengetuai pilihan raya bukan timbul pada kali ini sahaja. Ianya bermula sejak PRU-12 dan kemudiannya disambung lagi pada PRU-13. Mereka yang menjajah cerita demikian adalah mereka yang itu-itu juga. Sebenarnya, jika diperhatikan betul mereka ini bukan penyokong parti Barisan Nasional yang setia tetapi mereka ini bersifat multi-parti. Kata peribahasa, "di mana ada gula, di situ ada semut".

Di Semenanjung atau Sarawak, jarang betul memperkatakan menjelang Pilihan Raya Umum, maka pemimpin ini dan pemimpin itu akan mengetuai pilihan raya.  Di Sarawak atau di Semenanjung, setiap Ketua Menteri atau Menteri Besarnya adalah pemimpin yang mengetuai pilihan raya.

Mengapa di Sabah setiap kali menjelang pilihan raya, maka diisukan siapa yang bakal mengetuai? Sebabnya, warisan turun-temurun politik Sabah yang tidak setia kepada kerja berpasukan dan tidak sabar menunggu. Sebagai contoh, apa yang berlaku kepada mantan-mantan pemimpin UMNO yang telah keluar daripada parti. Datuk Seri Lajim Ukin, satu ketika kemaruk sangat dengan jawatan Ketua Menteri demikian juga Datuk Seri Shafie Apdal sehinggakan beliau tergamak mensabotaj pembangunan luar bandar Sabah supaya rakyat menuding jari kepada Datuk Seri Musa Aman kerana gagal memajukan luar bandar. Pemimpin veteran Sabah, Datuk Haji Nilwan Kabang yang juga ADUN Kunak mengakui bahawa keinginan Shafie menjadi Ketua Menteri Sabah bukan rahsia lagi. Malah, Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa MP Semporna itu pernah meminta jawatan Ketua Menteri Sabah suatu ketika dulu.

Berbalik kepada isu Musa bakal tidak mengetuai BN Sabah pada PRU-14 menjadi rancak apabila “cadangan” mengadakan pilihan raya mengejut bagi Sabah terpaksa sorong tarik kerana ada pemimpin Sabah tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Adalah biasa apabila berlaku pertembungan keinginan, maka akan dicari cara penyelesaian melalui  kaedah “menang-menang”.

Isu pertembungan keinginan sebenarnya adalah produk permainan politik Sabah. Faktor ini bukan cara politik yang matang kerana politik matang akan senantiasa mengikut cara pertukaran jawatan secara harmoni seperti mana pelantikan Perdana Menteri dan atau juga Ketua Menteri/Menteri Besar di Sarawak dan negeri-negeri di Semenajung.

Sebenarnya, di Sabah jika dilihat daripada segi kepimpinan parti, parti PBS telah menunjukkan bagaimana sistem kepimpinan tersebut. Tan Sri Pairin Kitingan sejak menjadi Presiden parti itu, tidak ada seorangpun yang pernah bertanding melawan beliau kecuali mereka yang menentang kepimpinan beliau dengan mengambil tindakan keluar daripada parti. Sehinggalah Tan Sri Pairin Kitingan menyerahkan kepimpinan parti kepada timbalan beliau, tidak terdengar selama 30 tahun bahawa beliau dicabar bagi jawatan Presiden parti.

Persoalannya, mengapa timbul tanda tanya Pengerusi Perhubungan UMNO  Sabah yang juga Ketua Menteri tidak bakal mengetuai BN Sabah pada PRU-14? Sedangkan, Musa sudah membuktikan melalui tiga (3) Pilihan Raya Umum yang lalu dan BN Sabah menang dengan kuasa 2/3 di Dewan Undangan Negeri (DUN). Malah, jumlah wakil Parlimen adalah penyumbang yang signifikan terhadap BN Pusat.

Apakah yang menjadi “dalang” kepada penyebaran isu ini adalah mereka yang termasuk pemimpin yang tiada kesabaran dan tidak setia kepada satu pasukan?

Seharusnya, para pemimpin Sabah perlu memupuk politik matang ke arah kestabilan politik kerana melalui kestabilan politiklah Sabah boleh membangun dan maju!

Tindakan “politicking”  sebenarnya punca kepada ketidakstabilan dan boleh berakhir kepada tindakan tikam belakang.

Sepatutnya, politik Sabah tidak ada lagi pemimpin yang bersifat "musang berbulu ayam" dan "gunting dalam lipatan". Ini kerana pengalaman politik Sabah yang mengamalkan politik sedemikian telah mengorbankan rakyat dan negeri sehinggakan satu ketika dahulu Sabah merupakan negeri termiskin dan termundur. Renung-renungkanlah!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook