Latest News

Monday 22 May 2017

BN Sabah: Jangan Fikir Soal Siapa Calon


APA yang paling mustahak adalah parti. Kemenangan parti merupakan matlamat utama. Penerimaan rakyat kepada parti merupakan tujuan utama.


Oleh kerana sistem pilihan raya negara berasaskan kawasan atau kerusi, maka calon-calon diperlukan. Kepada ahli dan penyokong parti semasa membuang undi, hanya perlu melihat kepada lambang parti. Kerana calon parti hanya mempermudahkan cara menyahut sistem demokrasi negara.

Jika kiblat kita adalah parti, maka soal-soal calon merupakan perkara kedua.  Oleh kerana calon merupakan perkara kedua, maka tidak timbul soal berkaitan umur dan sebagainya, kerana yang dilihat adalah parti.

Di zaman pemerintahan Tun Mustapha Datu Harun, semasa pilihan raya, tidak pun melihat siapa calon melainkan parti, sebab itu ada istilah masa itu, “topi” Tun Mustapha pun menjadi calon.  Maka calon parti tetap menang sebabnya, rakyat telah diberi tahu dan demikian juga keinginan rakyat serta kemenangan parti merupakan perkara pokok.

Berdepan PRU-14, seyogianya atau seharusnya penentuan siapa calon yang bakal mewakili parti BN akan terserah sepenuhnya kepada Pengerusi Barisan Nasional, sama ada di peringkat negeri (Dun) mahupun Pusat (Parlimen).

Siapa sahaja calon-calon yang terpilih, natijahnya mewakili parti.  Jika parti menang menggambarkan bahawa rakyat memberi amanah kepada parti untuk menubuhkan kerajaan. Sebab itulah, kerajaan yang ditubuhkan parti Barisan Nasional, disebut kerajaan parti Barisan Nasional, dan negeri yang dimenangi parti pembangkang, disebut kerajaan Pakatan Rakyat.

Dalam penentuan calon seharusnya tidak timbul, peratusan ini mewakili kumpulan ini dan itu, kerana pertimbangan kapten parti, adalah satu pasukan yang mantap, saling dapat bekerjasama sebagai satu pasukan yang utuh dan solid.

Jika pucuk pimpinan memilih para calon bagi mewakili parti, jangan sama sekali dipersoalkan, kerana para calon itu merupakan yang terbaik daripada kumpulan terbaik. Fikir-fikirkan lah!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook