Latest News

Friday 26 May 2017

Bolehkah Kehendak Rakyat Dihalang???


SIAPA kata Kerajaan Parti USNO tidak menghalang kehendak rakyat? Siapa kata kerajaan Parti Berjaya tidak menghalang kehendak rakyat, demikian juga parti PBS?  Namun, apabila rakyat telah membuat keputusan, maka tiada siapa yang boleh menghalang.

Perbezaan yang ketara antara parti USNO, Berjaya dan PBS dengan parti-parti pembangkang yang ada sekarang yang mengajak rakyat untuk berubah atau mengubah kerajaan. Bahawa parti pembangkang yang ada tidak mempunyai kepimpinan yang boleh dihandalkan. 

Para pemimpin pembangkang yang ada seperti Datuk Seri Yong Teck Lee, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburung, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin, Datuk Dr Jeffery G Kitingan semasa berkuasa dulu tidak juga membawa bersama mereka kepimpinan yang menonjol. Malah biasa-biasa sahaja, demikian juga Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak membawa kepimpinan yang boleh menggamit fenomena.

Mengapa parti pembangkang, khsususnya Parti Warisan Sabah mendapat sambutan? Sebabnya, sifat rakyat Sabah sendiri yang telah melekat pembawaan pragmatik, suka mencuba-cuba. Kerana mereka itu, hanyut dengan perasaan, sekali banjir, maka pantai berubah. Setiap yang baru, maka ada pendekatan baru atau "new deal". Bukan keganjilan bagi rakyat Sabah mengubah kerajaan, kerana rakyat Sabah telah membuktikannya sebelum ini. 

Semasa kerajaan parti Berjaya, bukan sedikit sokongan daripada pemimpin Persekutuan, malah mantan Perdana Menteri masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkempen di WP Labuan, “we will sink and swim with Berjaya”. Namun, pada PRN tahun 1985, parti Berjaya hanya dapat 6 kerusi daripada 44 sebelum PRN tersebut.

Berdepan dengan PRU-14, parti Barisan Nasional (BN) membawa bersama 48 kerusi yang dimenangi pada PRU-13 lalu. Di mana antaranya, lebih lapan kerusi dimenangi secara teknikal, yakni kemenangan melalui berbagai penjuru.

Pada PRU-13, isu-isu yang didepani parti BN, tidak sebanyak isu-isu yang didepani sekarang. Rakyat masih suka sangat bercakap soal-soal GST, soal-soal kenaikan harga barang, soal-soal kemudahan asas. Malahan soal-soal peluang pekerjaan bagi lepasan pendidikan tinggi. Selain itu, ada pihak-pihak yang menggunakan pendekatan suku kaum dan agama.

Bagi rakyat luar bandar yang merupakan “bank simpanan” parti Barisan Nasional, perkara utama yang sangat menganggu mereka, apabila berdepan dengan kenaikan kos sara hidup. Selain kemudahan asas yang kurang, kalaupun ada, akan tetapi kerap terganggu.

Kalaulah laman sosial diambil kira, saban hari berlonggok dakwaan-dakwaan terhadap kerajaan yang meliputi semua aspek. Namun, kita percaya suara-suara di laman sosial itu, tidak mewakili suara ramai. Namun, suara-suara itulah yang di bawa para pemimpin pembangkang masuk kampung keluar kampung.

Para pemimpin parti Barisan Nasional tidak boleh mengambil mudah keadaan ini, jangan dulu menghitung anak ayam sebelum menetas. Kerana Sabah mempunyai pengalaman, rakyat boleh bertindak mengubah kerajaan, walaupun kelihatan di lapangan semacam air tenang, namun air tenang itu, tidak semestinya tiada buaya.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook