Latest News

Tuesday 16 May 2017

PRU-14 Sabah: Faktor Yang Mempengaruhi Keputusan Rakyat


FAKTOR utama yang mempengaruhi keputusan rakyat pada sebarang keputusan adalah faktor-faktor yang mempengaruhi kehidupan harian.

Faktor itu, tidak lain tidak bukan yang berkaitan dengan sara hidup, peluang mendapatkan pendidikan tinggi, peluang mendapatkan pekerjaan dan selain peluang keamanan.

Di Sabah akibat pelaksanaan Goods and Services Tax (GST) yang kurang penjelasan berkaitan tujuan dan pelaksanaannya. Sehinggakan setiap orang keliru dan menjadikan satu sistem percukaian yang baik menjadi buruk.

Kenyataan awal daripada pihak pelaksana, kononnya, apabila sistem itu menggantikan Sales and Services Tax (SST), maka harga barangan keperluan harian turun, namun hakikatnya, bukan harga turun, sebaliknya meningkat.

GST adalah cukai barang dan perkhidmatan, sementara SST adalah cukai jualan dan cukai perkhidmatan. GST adalah cukai yang dikenakan kepada pengguna yang menggunakan barang dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian sehingga pengguna. Manakala SST adalah cukai satu aras yang mana cukai ini hanya dikenakan kepada pengilang sahaja dan tidak boleh dituntut. SST sebenarnya sebahagian daripada kos perniagaan.

Sebelum pelaksanaan GST, syarikat yang membayar SST di seluruh negara dalam lingkungan 60 ribu, manakala selepas pelaksanaan GST jumlah syarikat yang terlibat naik ke angka lebih 600 ribu. Bayangkan sejak dahulu kala, lebih 500 ribu syarikat, tidak membayar cukai.

Apabila syarikat-syarikat ini perlu membayar cukai, maka cukai SST tidak ditolak, akan tetapi ditambah dengan GST. Ertinya cukai telah menjadi 15+6=21 peratus. Maknanya, peniagalah yang menyebabkan harga barangan naik.

Melihat kepada keadaan itu, maka kerajaan menyenaraikan barangan yang tiada GST, akhirnya dalam semua senarai itu adalah keperluan harian rakyat. Persoalannya, mengapa harga naik sedangkan kosong cukai? Sebabnya, peniaga tidak mengerti apa itu GST!!!.

Akibat kecelaruan itu, maka kerajaan memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kumpulan sasar. Kerajaan sudah mempertimbangkan daripada sekian banyak barangan yang dibeli pengguna sasaran itu, RM12 ribu setahun adalah barangan bercukai. Ertinya mereka perlu mengeluarkan tambahan RM720 setahun. Bagi menampung bayaran cukai itu kerajaan memberikan RM1200 melalui BR1M. Bermakna pengguna sasaran itu masih untung RM480 setahun. Persoalannya, mengapa isu GST melekat pada minda mereka? Sebabnya, mereka keliru berkaitan sistem cukai itu.

Selain itu, kempen tidak langsung syarikat-syarikat yang sebelum ini tidak membayar cukai, kerana mereka kehilangan keuntungan. Kerana cukai yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan menjadi keuntungan sendiri. Sebab itulah, bertahun-tahun, kita menyaksikan syarikat-syarikat yang sentiasa mengemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bahawa operasi mereka tidak pernah untung. Tetapi, pemilik syarikat mempunyai berbagai harta mewah, dapat bercuti saban tahun ke luar negara, anak-anak mereka belajar di luar negara atas tanggungan sendiri.

Kepada rakyat sebagai pengguna sedarkah mereka ini bahawa sebanyak lebih 500 ribu syarikat mempergunakan pengguna untuk memperkaya diri sendiri namun, tidak pernah membayar cukai pendapatan.

Apabila, kerajaan menggunakan sistem percukaian baru demi keadilan semua pihak, mereka inilah juga menghentam sistem itu. Melalui cara mereka sendiri, menaikkan harga barang, sedangkan kebanyakan barangan yang mereka jual itu bebas GST.

Restoran makanan dan minuman misalnya, barangan  mentah yang mereka jual, hampir 99.9% bebas GST, termasuk gas memasak, namun mereka menaikkan harga sewenang-wenangnya, tanpa alasan yang kukuh.

Andainya semua pengguna sepakat tidak makan di restoran, sebaliknya masak sendiri sudah tentu restoran-restoran ini kehilangan pelanggan dan pendapatan.


Oleh kerana, pendapatan rakyat negera ini memungkinkan mereka makan di restoran, walaupun harga dinaikkan sewenang-wenangnya. Kerana pendapatan mereka itu mencukupi untuk berbelanja di kedai-kedai makan, maka restoran-restoran bukannya kehilangan pelanggan malah terus bertambah.

Melihat keadaan yang demikian, jika ada pihak yang mendakwa, bahawa kerana GST yang disalah guna oleh pihak peniaga. Maka menyebabkan harga barangan naik akhirnya rakyat terbeban tidaklah betul 100%. Kerana terbukti kedai-kedai yang menjual barangan yang mengenakan GST, tidak juga tutup atau lingkup.

Sudah tiga tahun pelaksanaan GST, tiada laporan bahawa restoran-restoran atau keda-kedai yang menjual barangan yang mengenakan GST lingkup atau tutup. Demikian juga, tiada laporan bahawa belaku kebuluran, kerana ada rakyat tidak mampu beli barang makanan akibat GST. Apa yang ada, ramai pengguna suka menularkan makanan mereka di laman-laman sosial yang menggiurkan.

Kalaulah diamati dengan jelas kerana pelaksanaan GST, maka kerajaan mampu membela rakyat sasar atau kumpulan sasar. Khususnya mereka yang berada di bawah kumpulan 40% (B40), yakni keluarga yang berpendapatan bawah RM4000.

Pembelaan itu berupa pembinaan rumah mampu milik, rumah-rumah rakyat, bantuan pra sekolah, bantuan baucer buku dan banyak lagi.

Hakikatnya, melalui sistem percukaian baru negera dapat sumber pendapatan baru untuk dipulangkan semula kepada rakyat. Selain itu, setiap rakyat dapat menyahut tanggungjawab kepada negara, walaupun sedikit tetapi ianya juga merupakan satu sumbangan.

Jika semua rakyat adil, khususnya kumpulan sasaran, GST yang mereka bayar setahun paling banyak pun RM720. Namun cukai yang dibayar itu dikembalikan semula dalam bentuk BR1M. Manakala kumpulan rakyat seperti petani, penoreh dan nelayan masih mendapat bantuan tambahan bulanan daripada pihak kerajaan. Seharusnya, rakyat negara ini khususnya kumpulan sasar perlu bersyukur atas nikmat yang diperolehi.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook