Latest News

Friday 2 June 2017

Kad Pengenalan Palsu, Penculikan, Harga Barangan Mahal & Minyak Masak Bersubsidi


PENULIS kerap sangat menulis kewujudan kad pengenalan palsu  di Sabah. Kerana aktiviti itu merupakan satu bentuk perniagaan pihak-pihak tertentu, selain menguntungkan, ianya juga satu bentuk perniagaan yang cepat dan sudah mempunyai pelanggan. Demikian juga, aktiviti penculikan di perairan Sabah, ianya satu perniagaan yang melibatkan jutaan ringgit wang tebusan. Aktiviti itu, mungkin meniru cerita filem P. Ramlee “Tiga Abdul” bahawa berniaga orang lebih lumayan berbanding berniaga unta.

Berkaitan harga barangan mahal di Sabah, ianya sangat berkait rapat dengan sistem pengangkutan yang tidak efisien di negeri ini, selain kurangnya gudang penyimpanan. Manakala kekurangan minyak paket bersubsidi, kerana tindakan pihak-pihak tertentu termasuk pengilang menyeludup barang komoditi itu keluar. Kerana lebih menguntungkan berbanding menjual komoditi itu pada pengguna dalam negeri. Menjual minyak paket 1kg bersubsidi maksima keuntungan 20 sen dan keuntungan itu dibahagikan antara peruncit, pembekal termasuk syarikat pengangkutan, berbanding keuntungan antara 50 sen hingga RM1 sekilogram jika diseludup ke luar negeri.

Sebenarnya barangan bersubsidi dalam negara merupakan komoditi perniagaan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, kerana terdapatnya perbezaan yang amat ketara bagi komoditi serupa di negara-negara jiran. Selain itu, jumlah pengguna di negara jiran yang jauh lebih ramai, memungkinkan barang komoditi yang bersubsidi  bukan sahaja dapat dijual dengan harga lebih tinggi, juga mendapat keuntungan daripada segi bayaran subsidi.

Persoalannya mengapa semua ini boleh berlaku?  Siapa yang boleh dipersalahkan?  Para peniaga yang bermatlamatkan keuntungan semata-mata. Mereka itu tiada tanggungjawab lain, selain menumpuk atau mengumpul sebanyak mungkin keuntungan. Persoalannya, mengapa akitiviti mereka sukar dibenteras? Apakah kerana adanya pihak-pihak tertentu yang bertindak HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI!!!

Akibat tindakan pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab ini, kerajaan mendapat imej buruk di mata rakyat, kerana nila setitik, maka rosak susu sebelanga.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook