Latest News

Sunday 11 June 2017

Sambungan: Kemelut FGV


SEMALAM di Johor, Perdana Menteri menyatakan bahawa kemelut FGV perlu diselesaikan pada bulan Ramadhan ini juga. Kenyataan itu, membawa makna bahawa kemelut FGV bukan sahaja sangat serius akan tetapi pada tahap genting.

Pengundi FELDA bukan sahaja penting bagi parti Barisan Nasional, malah kawasan itu sebagai penentu kepada gabungan 13 parti itu untuk terus menerajui kerajaan Persekutuan.

Kawasan FELDA menyumbang 54 kawasan parlimen atau hampir 33% daripada 165 kawasan Parlimen di Semenanjung.  Pada PRU-13, 48 kerusi parlimen di kawasan demikian dimenangi parti BN.  Pada PRU-13, daripada 85 kerusi BN di Semenanjung, 48 kerusi (56.5%)  daripadanya datangnya daripada kawasan Felda.

Goncangnya kawasan FELDA kerana kemelut FGV menyebabkan Perdana Menteri bertindak pantas. Sejak kewujudan FELDA kawasan itu merupakan wilayah utama parti BN. Hanya pada PRU-13, 6 kawasan berjaya ditembusi parti pembangkang.

Walaupun Perdana Menteri mengumumkan bantuan hari raya kepada keluarga FELDA sebanyak RM500 di tambah RM280 sebagai dividen. Khabar gembira itu, hanya mampu mengubati keluarga para penorka, bukannya pelabur yang membeli saham FGV.

Pada tahun 2012, apabila saham FGV disenaraikan harga seunit saham adalah RM4.55. Menerusi harga itu, menjadikan "market capitalization" syarikat itu sebesar RM16.6 bilion. Namun, penguasaan pasaran itu merundum kepada RM6 bilion, apabila harga saham menurun ke RM1.66 pada jumaat (9 Jun) kesan kemelut FGV yang timbul. Dalam tempoh lima tahun selepas penyenaraian, syarikat peladangan ke tiga terbesar di dunia itu, kehilangan nilai pasaran sebesar RM10 bilion.

Sebenarnya, tiada sebab nilai pasaran FGV merundum, kerana syarikat itu mempunyai lebih 2 juta ekar ladang di seluruh Malaysia dan merata tempat di luar negara. Selain itu, permintaan terhadap minyak kelapa sawit sungguh memberangsangkan, malah dalam negeri ramai sangat rakyat merungut tidak mendapat minyak paket 1kg.

Pelabur pasaran saham sebenarnya sangat dipengaruhi keyakinan pada sesebuah syarikat. Jika keyakinan lebur, maka penyebab saham syarikat itu tidak diminati. Harga saham sangat bergantung kepada hukum permintaan dan penawaran. Jika permintaan kurang berbanding penawaran, maka jawapannya harga turun.

Mengamati merundumnya harga saham FGV adalah indikasi atau petunjuk berlakunya krisis keyakinan. Krisis keyakinan itu bertambah-tambah lagi, apabila berlaku kemelut dalam syarikat itu, antara pengurusan dan lembaga pengarah.

Pertembungan antara pengurusan dan lembaga pengarah, bukan sahaja mendedahkan berbagai “perkara buruk” dalam syarikat itu, malah mengundang SPRM masuk. Menerusi kemasukan SPRM, krisis keyakinan yang melanda syarikat itu, kini ditambah lagi dengan persepsi bahawa memang berlaku “kong ka likong” dalam syarikat itu.

Semasa FGV menerbitkan IPO pada tahun 2012, negara mendapat nama kerana berjaya menerbitkan IPO kedua terbesar di dunia selepas Facebook. Namun, kini akibat krisis keyakinan dan persepsi, FGV bukan sahaja memalitkan imej buruk pada kerajaan, akan tetapi mengundang impak politik yang dahsyat kepada parti BN, apatah lagi PRU-14 hanya menghitung hari. 

Kemelut FGV, bukan sahaja berimpak kepada 54 kawasan Parlimen. Namun, usaha merampas semula 6 kawasan parlimen yang dimenangi pembangkang pada PRU-13, mungkin hanya boleh dihitung di atas kertas. Fikir-Fikirkan Lah!!!
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook