Latest News

Wednesday 2 August 2017

IMPAK DATUK SERI MOHD SHAFIE APDAL TERHADAP BN SABAH


1.  Menganalisa politik Sabah tidak mudah.  Mereka yang tidak mahir berkaitan politik Sabah, cenderung membuat kesimpulan salah. 

2.  Tahun 2012, Merdeka Center telah membuat kajian berkaitan politik Sabah, khususnya kedudukan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.  Terbukti, semua kesimpulan pusat itu ke laut, apabila tidak terbukti pada PRU-13 lalu.

3.  Pada kali ini, pusat yang sama juga membuat kajian. Hasil kajian itulah diguna pakai wartawan “freemalaysiatiday” menerbitkan artikel pada  2 Ogos, dengan tajuk “ Shafie might be key to breaking Umno”s stranglehold on Sabah”.

4.  Memang Datuk Seri Mohd Sahfie Apdal telah menjadi pemimpin Umno selepas Dato Sakaran Dandai (kini Tun) dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Sabah selepas Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba.

5.  Mohd Shafie Apdal dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Sabah, dan kemudiannya sebagai Setiausaha politik kepada Ketua Menteri ( semasa Tun Sakaran Ketua Menteri).

6.  Tahun 1995, Mojd Shafie Apdal dicalonkan di Parlimen Semporna mewakili parti Umno. Atas tiket Umno, beliau terus menang sehinggalah pada PRU-13 lalu. Kini, beliau masih merupakan MP Semporna.

7.  Memang benar, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal julung kali pemimpin Umno Sabah, menang Naib Presiden parti. Kemenangan beliau, kerana sebagai impak daripada Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, kerana suatu ketika lalu, MP Semporna itu merupakan “blueboy” Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

8.  Selain beliau dianggap dalam “inner circle’ Najib Razak, Shafie Apdal juga mendapat sokongan padu daripada Umno Sabah, termasuk Bahagian Libaran yang diketuai Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

9.  Asas kepada sokongan padu Umno Sabah kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah julung kalinya seorang pemimpin Sabah yang bertanding jawatan itu mendapat sokongan penuh daripada Presiden parti. Ahli Umno Sabah, tahu menghargai peluang, sebabnya Umno Sabah, bukan pengamal seperti ketam dalam baldi.

10.  Terlihat juga semasa Mohd Shafie Apdal bertanding jawatan Naib Presiden parti, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman juga turut bertanding, tetapi hanya jawatan AMT. Apabila dilihat daripada segi jumlah undi, undi yang diperolehi Musa jauh lebih tinggi berbanding yang diperolehi Shafie Apdal. Namun perbandingan itu, tidak adil, kerana jawatan yang ditandingi berbeza.

11.  Politik Sabah, tidak boleh dilihat pada senario yang digambarkan di atas. Politik Sabah, perlu mengimbau latar belakang seseorang pemimpin. 

12.  Dalam politik Sabah, seseorang yang kelihatan kuat dalam parti, tidak semestinya pilihan rakyat.  Tahun 1985, Datuk Harris Salleh (kini Tan Sri) adalah Presiden parti Berjaya, namun tewas pada pilihan raya.  Allahyarham Salim Bacok, bukan pun Presiden parti, akan tetapi tidak tewas pada sebarang pilihan raya.

13.  Politik Sabah, dalam kedudukan kritis, akan melihat sumbangan dan perjuangan seseorang pemimpin. Sebab itu, Datuk Pairin Kitingan (kini Tan Sri), boleh menewaskan parti Berjaya pada tahun 1985.

14.  Kriteria yang ada pada Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, tidak terdapat pada Mohd Shafie. MP Semporna itu, terlahir didulang emas, bukannya diperolehi melalui perjuangan beliau.

15.  Berlainan dengan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman. Ketua Menteri Sabah ke-14 itu, melalui liku-liku perjuangan yang pahit, kerana menjadi pemimpin sebuah parti pembangkang.  Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, terlibat secara langsung bagaimana memperkuat parti Umno, semasa parti itu mula mengembang sayap ke Sabah, di mana masa itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih sebagai pegawai kerajaan.

16.  Ahli Umno secara umumnya tahu, peranan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman memperkuat dan memperkasa parti, berlainan dengan Shafie Apdal yang hanya menumpang kepada perjuangan pemimpin lain, khususnya bersembunyi di belakang Tun Sakaran Dandai.

17.  Kini, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berjuang secara solo, pemimpin yang mengangkat beliau, masih merupakan pemimpin utama Umno Sabah, malah Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, anak mantan TYT Sabah itu dan sepupu sekali Mohd Shafie Apdal, siang malam memastikan agar Umno terus kukuh bukan sahaja di Semporna akan tetapi di bumi Sabah.

18.  Kajian Merdeka Center yang diguna pakai wartawan Freemalaysiatoday itu, langsung tidak menyebut adik kandung Shafie yang juga ADUN Lahad Datu, dan merupakan Ketua Bahagian Umno Silam.

19.  Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa keluar daripada Umno dan menubuhkan Parti Warisan Sabah, tiada keluarga yang turut sama. Dalam keadaan demikian, bagaimana MP Semporna itu boleh menarik sokongan rakyat, sedangkan keluarga sendiripun tidak terpengaruh dengan perjuangan beliau.

20.  Perkara seumpama inilah, yang terlepas padang oleh kajian pusat itu. Dan atas sebab itulah, kajian itu, tiada asas mendakwa, bahawa Mohd Shafie Apdal mempunyai impak terhadap kekuatan Umno Sabah.

21.  Bagi rakyat Sabah,  peristiwa Pairin tidak akan berulang lagi, untuk masa yang panjang. Keadaan tahun 1985, di mana impak sosok tubuh seorang pemimpin boleh mengalahkan parti kerajaan yang sedang memerintah, belum ada tanda-tanda untuk berulang.

22.  Parti Mohd Shafie Apdal, tidak dinafikan akan dapat undi pada PRU-14 akan datang, kerana parti bebaspun boleh mendapat undi. Namun, undi yang diperolehi tidak menjadi kerusi.

23.  Dalam pilihan raya menerusi sistem demokrasi, kelebihan satu undipun adalah pemenang. Pilihan raya di negara ini, dicerminkan melalui kerusi yang dimenangi.

24.  Bagi rakyat Sabah, kehadiran parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bukan merupakan ancaman apatah lagi menumpaskan parti BN, akan tetapi kehadiran parti berlambangkan perahu layar itu, hanya merupakan saingan dalam pesta demokrasi.

  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook