Latest News

Wednesday 3 January 2018

PRU-14: SABAH- MASIH KAH SIMPANAN TETAP BN?


1. Masihkah Sabah dapat digantung harap sebagai simpanan tetap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang? 


2. Jika pada PRU 2013, pembangkang menzahirkan slogan, ‘Ini Kalilah’, namun yang sebaliknya pula berlaku, iaitu ‘Lain Kalilah’. 

3. Adakah ‘Ini Kalilah’ akan berlaku dalam PRU akan datang? Atau sekali lagi, akan berlaku “Lain Kalilah’? 

4. Sabah mempunyai 26 kerusi termasuk WP Labuan. Pembangkang kini menguasai tiga kerusi, iaitu Sandakan, Penampang dan Kota Kinabalu.

5. Jika 10 kerusi sahaja tumbang, bermakna impian Pakatan Harapan yang kini dibelenggu pelbagai isu, akan menjadi kenyataan. 

6. Di pihak telah meramalkan BN boleh kalah sehingga 10 kerusi Parlimen di Sabah, manakala bagi kerusi Dewan Undangan Sabah, BN diramalkan boleh tumbang.

7. Apakah asas keyakinan pembangkang itu, atau ia tidak lebih sebagai omong kosong dan angan-angan Mat Jenin? 

8. Keyakinan pembangkang untuk menumbangkan BN bukan cerita baharu. Pada PRU-12 dan PRU-13, mereka begitu yakin untuk menang. 

9. Pengundi termasuk rakyat Malaysia di luar negara kembali ke tanah air, dan berpusu-pusu ke peti undi sehingga peratusan yang turun mengundi mencecah rekod baharu pada 2013, iaitu 84 peratus.

10. Tetapi apa yang terjadi? Pengundi terus memberi kepercayaan kepada BN dan BN terus berkuasa.

11. Parti Warisan pimpinan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal cuba melebarkan pengaruh di kawasan Pantai Timur Sabah, termasuk di Lahad Datu, Kunak, Semporna, Libaran dan beberapa kawasan lain.

12. Persoalannya, sejauh manakah Parti Warisan Sabah dapat memperluaskan pengaruhnya di Pantai Timur dan juga dalam kalangan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM), masih lagi menjadi tanda tanya, sebabnya Shafie sama dengan kedudukan Datuk Mark yang mahu menarik sokongan KDM daripada Datuk Pairin, semasa mantan TKM Sabah itu menubuhkan parti AKAR (serpihan parti PBS). Parti Umno masih ditunjangi pemimpin Umno seperti Tan Sri Musa Aman, Datuk Salleh Tun Said, Datuk Abdul Ghafur Salleh dan pemimpin pelapis lain, atas sebab itu, sukar bagi Shafie mendapat sokongan daripada kawasan bumiputera islam termasuk di kawasan Pantai Timur.

13. Memandangkan mantan Semporna itu sukar mendapat sokongan daripada kaum bumiputera yang rata-rata penyokong Umno, maka beliau berusaha untuk memujuk pengundi KDM, kerana kaum itu mewakili sekitar 30-40 peratus daripada keseluruhan penduduk Sabah. Namun demikian, Shafie tiada cara mendekati KDM, walaupun Timbalan Presiden dan Naib Presiden beliau daripada kaum itu, kerana itu, bukanlah pemimpin yang mendapat kepercayaan daripada kaum itu.

14. Dalam keadaan demikian, maka impian untuk memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, tentu hanya tinggal impian, walaupun mereka dapat memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru, kerana keadaan sedemikian disedari hanya akan menguntungkan BN.

15. Parti tempatan Sabah berazam untuk bekerjasama dan seterusnya melawan satu lawan satu. Jika keadaan ini berlaku, BN tidak boleh mengambil ringan gugatan parti pembangkang sesuai dengan perubahan dinamika politik yang sedang bertiup sekarang. 

16. Hakikat bahawa kemungkinan parti pembangkang dapat meningkatkan jumlah kerusi yang kini dimenanginya, tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana perlu diakui, dinamika politik Sabah sejak beberapa tahun terakhir sudah berubah. Harus juga diingat bahawa, pengundi Sabah, cukup dinamik.

17. Pengundi Sabah lebih berani melakukan perubahan sebagaimana dapat disaksikan daripada perubahan kepemimpinan dan dominasi daripada Usno ke Berjaya ke Parti Bersatu Sabah (PBS), dan akhirnya ke UMNO pad
a dekad 1990-an hingga kini. Adakah ini yang menyebabkan pembangkang di Sabah yakin untuk menghakiskan penguasaan BN?


18. Menjelang PRU-14, isu politik pembangunan masih lagi relevan, terutama di kawasan luar bandar di Sabah. Rakyat, terutama dalam kalangan masyarakat KDM mendakwa mereka dipinggirkan.

19. Berlaku ketidakseimbangan pembangunan bukan sahaja antara Sabah dengan Semenanjung, tetapi antara bandar dengan luar bandar dan antara etnik. Isu ini sebenarnya cuba ditangani tanpa henti oleh kerajaan BN.

20. Satu lagi isu yang mudah menangkap imaginasi politik pengundi di Sabah ialah berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan juga Perjanjian 20 Perkara.

21. Pakatan Harapan Rakyat Sabah dan Warisan memperjuangkan MA63, manakala Perjanjian 20 Perkara diperjuangkan oleh parti STAR pimpinan Datuk Dr Jeffery Kitingan.

22. Pada PRU-13 Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Reformasi Negeri (STAR) untuk mereliasasikan ‘Agenda Borneo’. Mereka kononnya cuba mempertahankan hak-hak autonomi dan kedaulatan negeri itu.

23. Ternyata, isu federalisme turut dijadikan bahan kempen, termasuk oleh Shafie Apdal yang sekian lama berada dalam kerajaan sehingga timbul persoalan, apakah yang dilakukannya ketika menjadi menteri dahulu?

24. Pelbagai isu bakal dibangkitkan dalam kempen oleh parti yang bakal bertanding khususnya BN dan pembangkang, dengan sebahagiannya lanjutan daripada isu dalam PRU-13.

25. Satu daripada isu utama yang dimanipulasikan Pakatan Rakyat dalam PRU-13 ialah ketidakupayaan BN membawa pembangunan sesudah Sabah mencapai kemerdekaan pada 1963.

26. Rakyat di luar bandar masih merungut dan kecewa dengan kegagalan parti pemerintah menunaikan janji mereka membawa pembangunan.

27. Setiap kali pilihan raya untuk lebih 40 tahun lalu, ini merupakan isu utama dan kontroversi yang sentiasa dimainkan kedua-dua pihak. Di pihak BN, ia mendakwa hanya BN sahaja mampu membawa pembangunan kepada rakyat, selain menghujahkan bahawa ia telah berjaya membawa pembangunan infrastruktur, seperti jalan raya, bekalan api, air, klinik dan sekolah.

28. Di setiap ceramah dan kempen, termasuk melalui media massa, pemimpin dan calon BN melaungkan rekod dan prestasi mereka membawa pembangunan dalam pelbagai bidang. BN mengingatkan, jika rakyat mahu terus menikmati pembangunan, maka mereka perlu terus menyokong BN.

29. Namun, pembangkang menuduh BN tidak berjaya membawa pembangunan sehingga sebahagian besar penduduk di luar bandar masih mundur, tertinggal dan tidak menikmati kemudahan asas berkenaan.

30. Berdasarkan perkembangan semasa, BN di Sabah terus menggunakan strategi dan pendekatan yang telah digunakan sejak berpuluh-puluh tahun untuk memancing undi di kawasan luar bandar dan pedalaman, di kampung di pesisiran dan rumah panjang.

31. Mereka juga segera membaiki dan menurap jalan raya pada waktu kempen ketika pengundi mendesak calon dan wakil calon untuk segera melakukannya, kerana di sesetengah tempat pengundi tidak lagi percaya dengan janji yang ditaburkan.

32. Dalam hubungan ini, isu berkaitan dengan janji ketika Sabah dipujuk sama-sama membentuk Malaysia pada 1963, membabitkan isu Perjanjian 20 Perkara terus berkumandang. 

33. Pemimpin pembangkang dan aktivis terbabit mendakwa bagaimana kandungan dalam perjanjian itu telah terhakis dan tidak diberi perhatian berat oleh pemimpin pusat. Untuk sekian lama, pemimpin pembangkang menganggap bahawa pemimpin pusat mengabaikan kandungan Perjanjian 20 Perkara.

34. Dalam keadaan demikianlah, Pakatan harapan Jun lalu,mengemukakan tawaran baharu – new deal – untuk penduduk Sabah sebagai salah satu manifesto mereka pada pilihan raya umum akan datang.

35. Sabah kononnya menjadi mangsa Kerajaan Persekutuan sejak berdekad-dekad lalu. Pemuda Pakatan Harapan yang mengumumkan tawaran baharu itu percaya demi mencapai tujuan asal penubuhan Malaysia, Sabah dan Sarawak mesti diberi autonomi yang lebih kukuh dan bermakna berbanding apa-apa yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

36. Selain isu berkenaan, satu lagi isu kontroversi yang sentiasa menggelegak ialah

isu tanah adat bumiputera (NCR). Sejak sekian lama isu ini sentiasa panas menjelang pilihan raya dan dieksploitasikan sepenuhnya oleh pembangkang.


37. Rakyat di luar bandar mengkritik dasar kerajaan yang disifatkan ‘merampas’ tanah milik mereka sejak turun-temurun.

38. Dalam pada itu, ketika Pakatan Harapan begitu yakin akan menang, mereka sibuk menentukan bakal Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim? Itulah persoalan yang bermain dalam kepala para pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan, terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

39. Kelemahan utama pembangkang ialah ketiadaan jaringan dan jentera penggerak kempen akar umbi yang berkesan. Berbanding BN yang memiliki jentera akar umbi yang mantap melalui parti komponen masing-masing,pembangkang begitu lemah dari segi jentera akar umbi disebabkan faktor geografi dan hambatan sistem pengangkutan.

40. Parti komponen pembangkang di Sabah tidak mempunyai banyak cawangan di luar bandar. Malah, kebanyakan mereka hanya turun ke akar umbi menjelang pilihan raya.

41. Sesungguhnya, Sabah akan kekal menjadi `simpanan tetap’ BN. Rakyat di negeri ini berasakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ialah Perdana Menteri yang memahami aspirasi mereka. Malah, Najib secara terbuka mengiktiraf bahawa Sabah dan Sarawak ialah rakan penubuhan negara Malaysia menerusi perisytiharan 16 September sebagai cuti umum bagi mengingati tarikh bersejarah itu.

42. Selain itu, terealisasinya Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungan Sabah dan Sarawak terlaksana menerusi PM ke-6 negara itu. Bukan perkara mudah bagi rakyat, melupakan jasa DS Najib Razak, walaupun hanya 8 tahun menjadi Perdana Menteri, akan tetapi sumbangan beliau terhadap Sabah dan rakyatnya melangkaui sumbangan 5 Perdana Menteri yang lalu.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook