Latest News

Monday 26 February 2018

PRU-14: BN KENA CALONKAN PEMIMPIN KAYA JIWA BERBANDING STATUS PERIBADI


Bagi menjamin Umno/Bn kekal relevan sepanjang masa, gabungan 13 parti itu kena memilih calon untuk PRU-14 mewakili parti itu, calon yang kaya jiwa berbanding status.

Di kalangan wakil rakyat Bn yang ada, ada di antara mereka itu mempunyai status setinggi gunung, namun miskin jiwa. Sebenarnya, gejala inilah yang menjadi faktor, mengapa rakyat beralih sokongan, khususnya generasi muda.

Memang tidak dapat dielak, bahawa isu-isu semasa yang bersifat glamour menjadi tarikan generasi muda menyokong parti yang melawan Bn, namun hakikat sebenarnya, faktor penolak utama adalah sifat sesetengah wakil rakyat Bn yang mementingkan STATUS berbanding kaya jiwa.

Fakta dan hakikat perlu diterima Bn, ramai calon-calon 13 parti itu tewas kepada calon-calon yang hanya menunggang motorsikal kapcai. Di Sabah, berlakunya giant killer semasa PRN tahun 1985, hanya kerana pengundi berada dalam pertembungan memilih seseorang yang kaya jiwa atau memilih seseorang kerana status.

Kekalahan dua Presiden serta pemimpin kanan parti komponen Bn Sabah pada PRU-13, juga adalah impak status.

Perlu diingat, pengundi adalah hakim mutlak pada sesebuah pilihanraya. Mana-mana calon yang disokong majoriti, maka calon itulah yang bakal menang. Memang diakui, calon-calon Bn yang mempunyai status masih menang, namun kemenangan itu hanya kerana faktor parti, faktor jentera. Kata seorang pemimpin veteran, berkempen untuk calon yang mempunyai status tetapi miskin jiwa, darah sahaja tidak keluar daripada mulut, sedangkan calon yang dilawan, hanya dikenali semasa pilihanraya.

Faktor status boleh menjadi kekuatan atau kelemahan seseorang calon. Faktor kekuatan, bila mana status itu diiringi dengan jiwa besar, manakala kelemahan,kerana status disertai dengan miskin jiwa.

Bn tidak seharusnya terikat dengan status seseorang untuk dijadikan calon, sebaliknya, calon adalah seseorang yang mendapat kepercayaan menyeluruh daripada rakyat. Tiada faedah seseorang calon yang hanya hebat berpidato, hebat mengeluarkan kenyataan-kenyataan, namun, disebaliknya, sentiasa takut pada bayang-bayang, sentiasa curiga pada rakyat, sentiasa menghindari rakyat, termasuk pengundi yang peranah memenangkannya dalam pilihanraya.

Memilih calon yang berjiwa besar boleh menjamin Bn sentiasa releven di masa-masa akan datang.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook