Latest News

Monday 12 February 2018

PRU-14 SABAH: FAKTOR TUN DR MAHATHIR


MENILAI pemimpin hanya boleh dibuat menerusi tindakan dan keputusan yang telah dibuat semasa ada kuasa, bukannya janji-janji semasa mahu merebut kuasa.

Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun (1981-2003). Rakyat Sabah perlu menilai apa sumbangan beliau kepada rakyat Sabah.

Tidak dinafikan, ramai pemimpin sekarang menjadi pemimpin dan ada kuasa kerana kemasukan Umno ke Sabah pada tahun 1991. Memang semasa Umno masuk, Presidennya adalah Tun Dr Mahathir.

Memang diakui, kemasukkan Umno dapat menyatukan ramai pemimpin yang berlainan ideologi, khususnya para pemimpin bumiputra islam.

Kekuatan Umno di Sabah bukanlah disebabkan kerana Tun Dr Mahathir atau pemimpin lain di luar Sabah, akan tetapi kekuatan Umno Sabah, kerana bergabungnya ramai pemimpin menjadi satu pasukan yang kuat.

Umno Sabah adalah gabungan daripada parti Usno, mantan pemimpin parti Berjaya dan parti-parti lain, impak gabungan itu, maka satu pasukan yang kuat dapat diwujudkan.

Jika benar, kekuatan Umno Sabah kerana kepimpinan Tun Dr Mahathir dan Dato Seri Anwar masa itu, maka sudah pasti pada PRN Sabah tahun 1994, parti Bn yang ditunjangi Umno menang pada pilihan raya itu. Sebagai mana yang rakyat ketahui, pada PRN itu, Bn tidak berjaya menumpaskan parti PBS.

Hakikat yang perlu diterima, bahawa kekuatan Bn Sabah yang ditunjangi Umno, bukan kerana kepimpinan Tun Dr Mahathir, akan tetapi sebagai impak bersatunya ramai pemimpin dan parti dalam Bn Sabah.

Jika sekiranya, kepimpinan Tun Dr Mahathir itu kuat, maka parti Berjaya tidak akan kalah pada PRN Sabah tahun 1985, kerana masa itu Tun Dr Mahathir menyokong penuh parti itu, sehinggakan kenyataan popular beliau semasa kempen di WP Labuan pada tahun 1985, “I will sink and swim with Parti Berjaya”.

Umno Sabah semakin mantap, apabila para pemimpin bumiputera islam seperti Datuk Salleh Tun Said, Datuk Abdul Ghafur Salleh, Datuk Lajim Ukin, Datuk Baharom Titingan, dan ramai lagi bukan pemimpin parti Usno menyertai parti itu.

Puncak kekuatan parti Umno dan Bn apabila pada tahun 2002, parti PBS menyertai semula Bn Sabah, dan kemudiannya pada PRU 2004, telah menang 59 kerusi daripada 60 DUN yang dipertandingkan, sementara di peringkat parlimen menang 24 daripada 25.

Melihat kepada pencapaian Umno dan Bn Sabah, pada PRU itu menunjukkan, bahawa kekuatan Bn Sabah dan Umno bukanlah faktor kepimpinan Tun Dr Mahathir, kerana PM ke-4 itu telah besara pada Oktober 2003.

Kekuatan Umno dan Bn Sabah dibuktikan lagi bukan kerana faktor Tun Dr Mahathir apabila pada PRU 2008, kemenangan PRU 2004 berulang, meskipun masa itu berlaku tsunami politik di Semenanjung, sehingga menyebabkan kehilangan kuasa 2/3 Bn di Dewan Rakyat.

Hakikat perlu diterima, bahawa kekuatan Umno dan Bn Sabah kerana kebersatuan antara para pemimpin Sabah, bukannya kerana faktor pemimpin luar Sabah.

Apabila kebersatuan para pemimpin Sabah mula retak, terlihat pada PRU-13, apabila kalah 12 Dun dan 3 parlimen, ekoran sebahagian pemimpin Bn telah bertukar menjadi pembangkang, antaranya Datuk Yong Teck Lee, Datuk Lajim Ukin, Datuk Wilfred Bumburing. Pada PRU-14 ini pula, salah seorang lagi pemimpin Bn, iaitu Datuk Shafie Apdal juga telah bertukar menjadi pembangkang.

Jika pada PRU-13, para pemimpin pembangkang Sabah berpaut pada Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala pada PRU-14 berpaut pula pada Tun Dr Mahathir, khususnya parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (PH).

Kalau lah rakyat Sabah mengingati kembali, apa yang pernah dilakukan Tun Dr Mahathir terhadap Sabah, khususnya dalam period 1985-1994, syogianya rakyat Sabah tidak memberi tempat pada parti-parti yang berafiliasi dengan beliau. Demikian juga, rakyat luar bandar Sabah jika mengambil tahu berkaitan kegagalan Datuk Shafie Apdal menjalankan amanah semasa beliau menerajui KKLW, kerana dana untuk rakyat

luar bandar berjumlah RM1.5bilion telah diselewengkan, sehinggakan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan jalan raya luar bandar tidak dapat disediakan untuk kemudahan rakyat.

Pendek kata, rakyat Sabah perlu menolak pemimpin seperti Tun Dr Mahathir dan Datuk Shafie.
  • Facebook Comments
Scroll to Top

Like FB Anti Fitnah Sabah

Informasi terkini Sabah di Facebook